Wednesday, December 16, 2009

Umno terlalu sombong untuk mohon maaf - Pesuruhjaya Pas Perak

Pesuruhjaya PAS Perak hari ini menyatakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak terlalu sombong untuk memohon maaf di atas perkara yang berlaku mutakhir ini. Beliau juga menyifatkan kenyataan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir yang menyifatkan UMNO telah busuk hingga ke ususnya adalah kenyataan yang ikhlas dan relevan dengan situasi UMNO kini.

Mengulas lanjut mengenai hal ini, beliau mengatakan bahawa isu-isu yang dibawa oleh UMNO dan BN sejak akhir-akhir ini jelas melampaui adab dalam amalan demokrasi dan tidak menunjukkan kematangan berpolitik, malah lebih kepada politik samseng dan fitnah. Katanya lagi, jika dilihat kepada bentuk serangan UMNO kini, ia lebih kepada usaha untuk memburukkan PAS dan Pakatan Rakyat dalam siri-siri demonstrasi dan kenyataan berbaur fitnah terhadap PAS dan Pakatan Rakyat tanpa bukti yang dikemukakan.

Menurut beliau lagi, perkara ini jelas menunjukkan UMNO dan BN kini sudah ketandusan isu untuk menjatuhkan kredibiliti PAS dan Pakatan Rakyat. Beliau juga menyatakan, pimpinan PAS Perak berpendirian bahawa UMNO sepatutnya memohon maaf di atas siri-siri demonstrasi dan tuduhan berbentuk fitnah yang di ada-adakan oleh UMNO dan BN bagi memburukkan PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat.

Menceritakan mengenai demonstrasi pemuda Umno di Pejabat SUK Kelantan yang memohon Mursyidul Am PAS menarik balik kenyataan kerana mendoakan supaya Allah SWT, memberikan musibah kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana menzalimi rakyat Kelantan kerana tidak memberikan hak royalti minyak kepada rakyat Kelantan, beliau menyatakan bahawa perkara itu jelas menggugat ketenteraman awam . ”Tidak ada salahnya kita berdoa jika kita teraniaya. Malah, doa orang yang dizalimi lebih cepat
dimakbulkan oleh Allah”, katanya merujuk kepada isu doa Mursyidul Am PAS itu lagi.

Ditanya mengenai demonstrasi pemuda UMNO Pulau Pinang yang membakar gambar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan memijak gambarnya di Pulau Pinang baru-baru ini, beliau menyatakan tindakan itu adalah keterlaluan kerana simbolik kepada membakar gambar adalah suatu perkara yang amat menghinakan bagi situasi di Malaysia,
tambahan pula beliau merupakan seorang Ketua Menteri dan wakil rakyat.

Ia juga jelas menunjukkan UMNO dan BN tidak menghormati Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri yang merupakan pilihan rakyat.

Beliau juga menambah, UMNO memang terlalu sombong untuk memohon maaf kerana sehingga kini kita masih belum melihat atau mendengar kenyataan UMNO memohon maaf berhubung demonstrasi memijak kepala lembu yang jelas tidak menghormati perbezaan agama dan budaya yang berlaku di Selangor. Selaku Pesuruhjaya PAS Perak, beliau juga kesal dengan sikap UMNO dan BN yang sehingga kini dilihat tidak memohon maaf di atas rampasan kuasa yang dilakukan di Perak.

Selain itu, Pesuruhjaya PAS Perak itu juga mengecam sikap UMNO yang kerap kali memburukkan imej ulama’ seperti yang berlaku kepada Mursyidul Am PAS dan juga Presiden Parti Islam SeMalaysia. Beliau berkata, UMNO tidak sepatutnya menyerang keperibadian Tuan Guru Nik Abdul Aziz semata-mata untuk menguasai Kelantan. Mereka juga tidak sepatutnya menyerang peribadi Presiden PAS untuk menjatuhkan imej PAS
yang dilihat kian meningkat di mata rakyat. ”UMNO selaku komponen yang mewakili kelompok masyarakat Islam di dalam Barisan Nasional sepatutnya menasihati komponen lain BN bagaimana menghormati ulama’, bukan dengan mencerca mereka”, Tegas Pesuruhjaya PAS Perak itu. Katanya lagi, PAS akan sentiasa komited menjalankan amanah rakyat dan memperjuangkan keadilan Islam di Malaysia, bahkan yakin untuk memenangi hati rakyat menjelang Pilihanraya Umum ke-13.

1 comment:

Unknown said...

UMNO ni adalah Parti Dajal Akhir Zaman ,,kejanya buat kianat pada rakyat.setiap pelusok negeri dan daerah..tidak akah kamu semua membaca hadis 40 dan sifat sifat Dajal ???????

Followers