Sunday, April 1, 2012

Imam Fahme, perginya seorang tokoh Pas Gopeng

Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya.
(Surah Ali Imran 3:185)

Dalam perjalanan balik untuk mengambil beberapa orang sahabat ke Hospital Batu Gajah bagi menziarahi Imam Fahme yang dilaporkan tenat (akibat strok) sejak semalam, hujan lebat petang itu bagaikan menangisi bersama kiriman sms yang singgah, Imam Fahme telah kembali kerahmatullah sebentar tadi. Tak sempat untuk menjengah beliau, Allah lebih menyayangi insan yang banyak berjasa kepada Pas Gopeng terutamanya Pasti (Pusat Asuhan Tunas Islam) ini.


Petang Jumaat (30.3.12) itu, jam 4.56 petang menjadi saksi pemergian seorang insan tua yang sehingga ke akhir usianya masih lagi menabur bakti buat Pasti Ammar, yang diasaskannya semenjak tahun 1989 lagi. Sayangnya beliau kepada Pasti bukan kepalang. Pernah menerima anugerah khas sebagai aktivis Pas daripada Pas Gopeng untuk jasa-jasa beliau menubuhkan Pasti.


Menurut menantunya, Ustaz Sazali, setiap pagi beliau ke Pasti Ammar untuk membuat kerja-kerja pembersihan, mencabut rumput, menyusun bata dan sebagainya. Dalam kesihatan yang sedikit terganggu, semangat beliau tetap teguh di Pasti yang kini dikelolakan oleh dua orang anak perempuannya. Apabila dinasihat agar tidak membuat kerja-kerja berat tersebut, "Nak mencari pahala" merupakan jawapan beliau.


Arwah yang mempunyai lebih daripada 40 orang cucu ini memang menyayangi kanak-kanak. Pemandangan yang biasa apabila melihat cucu-cucunya bermanja, bermain dengan menarik-narik lembut janggut atuk mereka itu. 


Arwah yang juga saya anggap sebagai bapa setiap kali pulang ke Kg Meranti Lapan, pasti akan terkesan kenangan bersamanya apatah lagi surau peninggalan arwah bakal sepi tanpa bacaan Al-Quran olehnya setiap sebelum masuknya waktu Subuh. Di surau tersebut, arwahlah imam, arwahlah juga bilal dan siaknya. Di kampung itu, arwahlah juga yang menjadi ketuanya. Semuanya bersaudara disana, mertua saya juga membahasakan diri arwah sebagai 'Nyah Mi'. 


Arwah kini telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Changkat Larang, berhampiran kubur anaknya, Allahyarhamah Safura yang meninggal bulan Mei tahun lalu. 


Rakaman hari terakhir Allahyarham Imam Fahme di bumi nyata ini saya kongsikan bersama-sama anda:-




Orang ramai dan sanak saudara memenuhi ruang dalam rumah

Anak Allahyarham, Fakhrul Razi dan abang iparnya Parvis menyediakan kain kafan sebelum memandikan jenazah

Jenazah Allahyarham dikafankan oleh anak-anak dan menantu

Jenazah yang telah siap dikafan diangkat ke pengusung




Jenazah diusung keluar



Menantu Allahyarham, Ustaz Zulkifli Ahmad mewakili ahli keluarga menyatakan sesuatu sebelum jenazah dibawa pergi

Ramai berjalan kaki ke masjid

Ustaz Zulkifli mengimamkan solat jenazah


Keranda diusung keluar ke tanah perkuburan


Tiga orang anak lelaki Allahyarham siap menanti di dalam liang lahad

Menyambut jenazah ayahanda 

Memperbetulkan posisi jenazah

Tanah dikambus

Bacaan talkin bermula



Anak, menantu dan cucu-cucu menyiram air ke kuburan 

Pandangan terakhir 

Selamat tinggal pejuang agama, perjuanganmu kini terletak dipundak kami untuk meneruskannya

Segalanya tinggal kenangan, semoga roh Allahyarham Fahme Bin Zakaria dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama-sama para solihin

Lagi gambar-gambar pengkebumian boleh dilihat di facebook Pas Gopeng [DISINI]

Followers