Monday, April 30, 2012

Bersih 3.0: Ditembak gas pemedih mata semasa bersurai


KUALA LUMPUR (28.04.12): Setelah diisytiharkan himpunan Bersih 3.0 kali ini sebagai berjaya dan desakan yang diutarakan telah didengari oleh kerajaan dan seluruh dunia oleh Pengerusi Bersama Bersih Datuk S. Ambiga, peserta himpunan sekaliannya diarahkan untuk bersurai secara aman.

Oleh kerana lautan manusia yang terlalu padat dan rapat, berhimpit-himpit, amat payah untuk kesemuanya berpatah balik ke arah Dataran Maybank. Oleh yang demikian, arus manusia perlahan-lahan meneruskan perjalanan untuk bersurai dengan menuju ke hadapan, iaitu Dataran Merdeka.


Tiba-tiba, kedengaran bunyi tembakan yang kuat dan kepulan asap mula keluar daripada kelongsong gas pemedih mata yang melekat di bawah laluan lrt berhampiran. Dengan resapan pedih dimata, orang ramai mula menolak-nolak untuk berpatah balik.

Langkah masing-masing bertambah laju apabila 2 lagi bunyi tembakan kedengaran. Dikala ini, nafas semakin perit, mata semakin pedih dan kulit (terutamanya muka) terasa gatal. Ramai yang tidak bersedia dengan kain penutup hidung, garam, air dan sebagainya. Lebih teruk lagi warga tua dan kanak-kanak yang tidak tertahan dengan keperitan terjahan wap dan asap gas tersebut.

Dengan semangat dan hati yang bersih, ramai yang membantu mereka-mereka yang terseksa akibat gas itu.

Dikala ini, tiada Melayu, tiada Cina dan tiada India. Semuanya adalah bangsa Malaysia yang saling bantu membantu dalam menyelamatkan diri daripada amukan gas pemedih mata itu.


Masing-masing berkongsi air, garam dan ada juga memberikan penutup mulut kepada yang memerlukan.


Suasana menjadi tidak menentu, namun masing-masing bekerjasama dalam mencari ruang untuk melepaskan diri daripada gas pedih itu. Mujur tiada yang panik, berjalan dengan tertib tanpa tolak-menolak sesama mereka.


Mangsa gas




Ramai yang terkepong di dalam Masjid Jamek

Stesen LRT Masjid Jamek ini ditutup pintunya, menyukarkan orang ramai untuk beredar. Semuanya terkepung di sini. Ketiga-tiga jalan keluar telah dikepung dan ditembak dengan gas

Seorang mangsa penghidap asma yang tenat akibat tembakan gas tersebut

Keadaannya yang nazak sambil diperiksa oleh kumpulan Medic


Bagi saya sendiri, semasa meloloskan diri melalui Pasar Seni, terpaksa lalu dihadapan sekumpulan pasukan polis FRU yang sedia berbaris memerhatikan setiap langkah yang diatur oleh orang ramai. Sebaik hampir tiba dipersimpangan berhampiran Pasar Seni, terdengar bunyi 3 das tembakan dari arah belakang, salah satu kanister gas pemedih mata jatuh betul-betul dibelakang saya, kaki ini membuka langkah seribu berlari sepantas mungkin dalam kepayahan untuk bernafas dan mata yang pedih berlinangan dengan airmata. Penat tadi belum habis, terpaksa pula berlari pantas untuk keluar daripada radius gas tersebut.

Cacatan dan bukti bergambar serta video rakaman saya mengenai perhimpunan Bersih 3.0 ini diharap berguna dan menjadi bukti sejarah yang terpahat lekat disanubari kita rakyat Malaysia. Kini hak kita bukan lagi dijamin tetapi perlu dituntut. Tuntutan itu juga bukanlah suatu yang melampau dan diluar akal fikiran. Yang dituntut hanyalah KEADILAN.

Tuntutan kami ini juga bukanlah semata-mata untuk diri kami sendiri, tetapi lebih kepada masa depan negara tercinta, MALAYSIA.

Saya berbangga sebagai diantara 300,000 rakyat Malaysia yang menyertai himpunan duduk bantah di BERSIH 3.0 ini.



No comments:

Followers