Satu Himpunan BN Youth akan diadakan di Kediaman Menteri Besar Perak pada hari ini (14 April 2012) sepertimana banner yang tertera di atas. Sudah tentulah pada pemahaman kita semua, ianya adalah satu majlis perjumpaan di antara ahli-ahli Barisan Nasional. Tetapi ianya menjadi agak pelik apabila guru-guru sekolah sekitar Ipoh dikerah untuk hadir sama dan kehadiran tersebut pula di klasifikasikan sebagai WAJIB.
Apa kena-mengena di antara guru-guru dan Barisan Nasional? Dan persoalan yang lebih penting lagi adalah, apa kena-mengena di antara Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Utara dan Barisan Nasional? Dan apa pula kaitan penandatangan surat tersebut iaitu Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah dengan Umno dan Barisan Nasional?
Bagaimana pula nasib guru-guru yang telah disenaraikan sebagai wajib hadir itu jika mereka tidak dapat turut serta di dalam perjumpaan yang dikatakan bersama Menteri Dalam Negeri itu kerana urusan lain dihari mereka bercuti ini?
Mengapa pula Menteri Dalam Negeri mahu berjumpa dengan guru-guru di Ipoh dan bukannya Menteri Pelajaran?
Arahan agar guru-guru hadir di Kediaman Menteri Besar Perak untuk majlis Barisan Nasional ini sepertimana tertera di laman web Portal Rasmi Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Utara:
Klik [DISINI] untuk melihat surat arahan ini dengan lebih jelas
Untuk melihat surat rasmi beserta dengan senarai nama 58 guru-guru yang dikerah untuk hadir, klik [DISINI]
Pendedahan ini hanyalah bertujuan agar tiada guru-guru yang dipergunakan sewenang-wenangnya oleh pihak Barisan Nasional untuk kepentingan parti politik mereka. Dan lebih penting lagi, tiada guru-guru yang di aniaya dengan apa juga tindakan kerana tidak dapat turut hadir ke majlis tersebut.
Semoga para guru sedar agar kebijaksanaan, kewarasan dan professionalisma mereka sebagai pendidik tidak mudah diinjak-injak, diperkotak-katik dan dipergunakan oleh mana-mana juga pihak demi memartabatkan maruah guru, pembimbing dan pendidik generasi masa hadapan.
Seandainya ada tangan-tangan di dalam Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Utara yang menyalahgunakan kuasanya untuk mengerah guru-guru bagi kepentingan politik mereka, sesuatu perlu dilakukan agar perkara-perkara sebegini dapat dihentikan demi MARUAH para pendidik agama, bangsa dan negara kita.
*Lagi ulasan mengenai isu yang sama [DISINI]
No comments:
Post a Comment