Tuesday, March 16, 2010

Memperingati Sejarah Peperangan Muktah di Jordan

Rombongan Badan perhubungan PAS Perak bergambar di tugu peringatan yang menceritakan sejarah Peperangan Muktah di Jordan.

Kekuatan tentera Islam seramai 3000 orang, manakala kekuatan tentera musuh seramai 200,000 orang (100,000 dari pasukan Rom dan 100,000 dari Arab Nasrani) yang berperang di Ma’rakah Muktah iaitu sebuah perkampungan dekat Syam(syria), yang sekarang bernama Kurk, terletak disebelah tenggara Laut Mati. Pada Awal tahun 8 Hijrah. Ada pandangan lain ianya berlaku di Jordan ditempat yang dikenali dengan Muktah yang terletak tidak berapa jauh dari Universiti Muktah mengambil sempenan peperangan bersejarah itu.

Kematian Harith bin Umair Al Azli sebagai utusan Rasulullah ke Basra yang telah dibunuh oleh seorang pemimpin Rom. Apabila sampai berita itu kepada Rasulullah, baginda amat berdukacita lalu mempersiapkan pasukan tentera seramai 3000 orang untuk mengajar Kerajaan Rom. Baginda meletakkan Zaid bin Harithah sebagai panglima perang dan berpesan:”Jika Zaid gugur sebagai gantinya Jaafar bin Abi Talib, jika Jaafar pula terkorban maka gantinya adalah Abdullah bin Rawahah”.

Baginda juga berpesan supaya tentera Islam berperang kerana Allah, tidak mengganggu ahli-ahli ibadat dalam kuil/rumah ibadat mereka, tidak membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua yang tidak berdaya, tidak merosakkan pokok, meruntuhkan bangunan atau binaan.

Setelah dilepaskan oleh Rasulullah, berangkatlah pasukan Islam menuju ke perkampungan Maan. Di situ mereka mendapat berita bahawa angkatan perang Heraklius (Maharaja Rom) telah siap menunggu mereka dengan pasukan yang besar berjumlahnya seramai 200,000 (dua ratus ribu) orang. Dikhabarkan juga bahawa pasukan musuh itu telah sampai di perkampungan Balqa’, Damsyik. Pasukan Islam menetapkan selama dua hari di Maan itu untuk bermesyurat. Ada yang mencadangkan agar dihantar utusan kepada Rasulullah meminta bantuan.

Abdullah bin Rawahah membantah dengan ucapannya yang penuh semangat:
“Saudara-saudara, apa yang tidak kita sukai, justeru itu yang kita cari sekarang ini, iaitu mati syahid. Kita memerangi musuh itu bukan kerana perlengkapan, bukan kerana kekuatan, juga bukan kerana jumlah tentera yang besar. Tetapi kita memerangi mereka hanyalah kerana agama ini yang dengannya Allah telah memuliakan kita. Oleh kerana itu mara. Kita akan memperolehi salah satu dari dua kebaikan: Menang atau Mati Syahid”.

Mendengar ucapan semangat dari Abdullah ini mereka terus mara ke medan perang dan berjuang bermati-matian. Di tengah pertempuran panglima pertama tentera Islam iaitu Zaid bin Harithah terkorban. Sebelum jatuh ke tanah, bendera yang dipegang Zaid disambut oleh Jaafar bin Abi Talib. Jaafar meneruskan serangan hingga tangan kanan dan kirinya putus terkena pedang musuh dan bendera terpaksa dipeluknya hingga beliau terkorban pula akibat luka-luka yang banyak mengenainya lebih 70 lubang. Bendera seterusnya disambut oleh Abdullah bin Rawahah, tetapi kemudian beliau juga turut terkorban. Pada saat itu, seorang lelaki dari Bani Ajalan iaitu Thabit bin Al Arqam tampil mengambil bendera dan melaungkan:”Saudara-saudara kaum muslimin, mari kita mencalonkan salah seorang dari kita” Ahkirnya pilihan jatuh kepada Khalid bin Al Walid. Bendera pasukan Islam lalu diserahkan kepada Khalid dan beliau meneruskan peperangan dengan sengit sekali.

Apabila malam tiba kedua-dua pihak berhenti berperang. Khalid menyedari bahawa saf (barisan) pasukan Islam mesti diatur kembali. Pada pagi besoknya, dengan kebijaksananya Khalid menyusun kembali saf pasukan Islam dengan membuat taktik memperlihatkan kepada musuh seolah-olah bantuan tentera pasukan Islam telah datang dari Madinah. Musuh berasa gerun dan takut kerana menyangka bilangan tentera Islam bertambah dengan banyaknya. Sampai mereka jadi takut terhadap kaum muslimin dan sebahagiannya ada yang berkata, “Jika jumlah tentera sebesar 3,000 (tiga ribu) orang saja sudah cukup untuk membuat pasukan Rom dalam kesulitan dan kesukaran, apatah lagi pasukan tentera Islam ditambah”.

Maka pasukan Rom memilih untuk menarik diri dari medan peperangan. Sehingga peperangan Muktah berakhir. Akhirnya kedua-dua pihak berundur tanpa ada kemenangan dalam peperangan itu.

SATU PERSOALAN

Ada satu persoalan, berapakah tentera Islam yang syahid dalam peperangan ini????
100 orang, 500 orang, 1000 orang. Ini semuanya salah. Salah tu.Sebenarnya hanya seramai 12 (dua belas) orang saja.Cuba anda bayangkan, 3,000 orang melawan seramai 200,000 orang hanya 12 orang Islam yang mati (syahid). Hebat, bukan. Itulah seperti ucapan dari Abdullah bin Rawahah:

“Saudara-saudara, apa yang tidak kita sukai, justeru itu yang kita cari sekarang ini, iaitu mati syahid. Kita memerangi musuh itu bukan kerana perlengkapan, bukan kerana kekuatan, juga bukan kerana jumlah tentera yang besar. Tetapi kita memerangi mereka hanyalah kerana agama ini yang dengannya Allah telah memuliakan kita. Oleh kerana itu mara. Kita akan memperolehi salah satu dari dua kebaikan: Menang atau Mati Syahid”.


Ini contohnya kekuatan pemikiran Islam. Seperti yang saya selalu menyatakan bahawa, Pemikiran Islam ialah Aqidah dan penerapan hukum syarak. Contoh penerapan hukum syarak seperti pesanan Rasulullah :
1.Tentera Islam berperang kerana Allah,
2.tidak mengganggu ahli-ahli ibadat dalam kuil/rumah ibadat mereka,
3.tidak membunuh wanita, kanak-kanak,
4.orang tua yang tidak berdaya,
5.tidak merosakkan pokok,
6.tidak meruntuhkan bangunan atau binaan.
Ini hukum syarak dalam peperangan.

PENGAJARAN PEPERANGAN MUKTAH

Peperangan Muktah adalah contoh terbaik bagi kaum muslimin pada hari ini, yang menunjukkan bahawa Kebangkitan Islam kali kedua hanya boleh diwujudkan dengan ada PEMIKIRAN ISLAM bagi setiap kaum muslimin. Tanpa ada pemikiran islam, kita sedia ketahui sebagaimana terjadinya di Palestin, Iraq, Afgan, Bosnia, Somalia, Chechen dan juga penganiayaan umat islam secara umumnya. Lihatlah peperangan Muktah, pertempuran yang tidak seimbang dan melawan kerajaan Rom yang terkenal dengan kegagahannya masih juga tidak dapat mengalahkan pasukan Islam yang sekecil itu. Dan bilangan kematian dari pasukan Islam seramai 12 orang sahaja. Kalau kita hendak samakan pada zaman sekarang ini, kerajaan Rom itu samalah seperti Amerika Syarikat.

KESIMPULAN

Peperangan Muktah berlaku pada 8 hijrah, iaitu selepas Rasulullah berhijrah ke Madinah. Dengan menunjukkan hal ini, ialah membuktikan Rasulullah telah mewujudkan Negara Islam dan beliau sendiri menjadi Ketua Negara. Dipendekkan cerita, adanya Negara Islam yang memiliki sistem yang tersendiri.

Kehebatan Islam dapat dikembalikan dengan adanya Negara Islam yang berkhalifah serta penerapan hukum syarak secara total dilaksanakan hasil dari pancaran aqidah yang benar.

Petikan dari : Bicara MyKhilafah

1 comment:

Unknown said...

Salam sdr

Izinkan saya copy n3 ini.

Followers