Saturday, March 13, 2010

Tangguh bacaan kedua GST adalah kemenangan rakyat

PETALING JAYA, 13 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan kerajaan menangguhkan serta-merta bacaan rang undang-undang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk kali yang kedua di Dewan Rakyat yang bermula Isnin ini adalah suatu kejayaan bersama rakyat, PAS dan Pakatan Rakyat.

“Ini suatu kejayaan bersama PAS serta Pakatan Rakyat kerana berpadu menjelaskan kepada rakyat tentang akibat perlaksanaan GST ini kepada rakyat,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika menghubungi Harakahdaily petang tadi.

Bagi beliau, perhargaan perlu dirakamkan juga kepada Lajnah Hal Ehwal Pengguna PAS Pusat kerana lajnah tersebut menganjurkan suatu sidang bulat di peringkat dalaman parti sehingga PAS membuat ketetapan yang begitu jelas berhubung sistem cukai tersebut.

“Disebabkan suatu sidang meja bulat (oleh) Lajnah Pengguna di peringkat parti inilah, kita berpendirian GST ini perlu ditolak kerana urus tadbir kewangan oleh Umno/BN pincang, bukan disebabkan sistem GST itu sendiri,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menganggap pengumuman yang dibuat Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah itu, membuktikan bahawa usaha-usaha bersama PAS dan Pakatan Rakyat banyak memberi impak kesedarangan dalam kalangan rakyat.

Disebabkan itu, beliau berkata, Ahmad Husni tidak perlu mencipta alasan kononnya kerajaan menangguhkan niat bacaan rang undang-undang GST untuk kali yang kedua itu demi mendapatkan lebih banyak pandangan awam daripada rakyat kebanyakan.

“Kalau nak dapat pandangan awam, tidak perlu menunggu sekarang, sepatutnya sebelum GST dibawa (ke Dewan Rakyat) untuk bacaan pertama lagi, kerajaan khususnya Husni sendiri perlu benar-benar mendapat pandangan awam yang tepat.

“Saya kira, Husni dan kerajaan mencipta alasan ini mungkin untuk menutup kelemahan dalam perancangan GST ini sendiri atau tidak pernah serius berkerja sebagai sebuah Kerajaan atau mungkin tak sanggup berdepan dengan demontrasi anti GST pada Isnin depan,” katanya.

Pun begitu, beliau berkata, penangguhan seperti yang diumumkan oleh Husni itu adalah bersifat sementara demi meredakan kebangkitan rakyat.

Sedangkan, beliau berkata, kerajaan sepatutnya membatalkan terus hasrat melaksanakan GST di Malaysia kerana sistem cukai itu ternyata membebankan rakyat.

Ekoran itu, beliau meminta seluruh kepemimpinan Pakatan Rakyat serta PAS sendiri terus memperkasakan aktiviti penerangan kepada rakyat tentang impak GST tersebut.

Ini kerana, menurut Mahfuz, kerajaan mungkin tidak melaksanakan GST dalam masa terdekat, tetapi kerajaan dijangka tetap akan melaksanakannya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kelak.

“Mungkin GST tidak dilaksanakan sekarang kerana kedudukan Umno/BN di parlimen dan negeri agak tidak kukuh, tetapi selepas PRU13 pada 2011 atau 2012 kelak, Umno/BN tetap akan melaksanakannya jika mereka kembali kuat di Parlimen dengan menipu rakyat bermula hari ini,” beliau menambah.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mohd Hatta Ramli (gambar kanan) selaku jurucakap bagi Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak dan Barangan (Protes) yang dihubungi kemudian berkata, jawatankuasanya akan membuat ketetapan malam ini sama ada untuk meneruskan atau tidak demontrasi bantah GST pada Isnin jam 9 pagi di perkarangan Parlimen.

Bagaimana pun, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai secara peribadi berkata, pendirian Protes bukannya menuntut kerajaan menangguhkan perlaksanaan GST, sebaliknya membatalkan serta-merta hasrat untuk melaksanakan GST kerana ternyata membebankan rakyat itu.

Ajijoi ~ Semoga tekanan yang diberikan rakyat demi melindungi hak mereka dapat diteruskan sehinggalah rang undang-undang GST yang merugikan rakyat berjaya diketepikan.

SYABAS kepada rakyat yang prihatin.

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...