Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Thursday, October 14, 2010

Hari bergembira bertukar menjadi hari penyesalan



1.0 Pendahuluan

Bernikah adalah sesuatu yang menggembirakan. Jarang orang tidak bergembira pada hari pernikahan mereka. Masakan tidak, gelaran raja sehari disandang dan dijulang. Bagi pasangan yang sudah lama bertunang, detik persetujuan para saksi semasa majlis pernikahan amatlah melegakan!

Kadang-kadang, keluar air mata kegembiraan dari pasangan pengantin kerana terlalu gembira telah menyempurnakan sebahagian agama dan menuruti sunnah nabi. Seperti mana yang disabdakan oleh Nabi :

النكاح سنتى فمن رغب عن سنتى فليس منى ,nikah itu adalah sunnah ku, jika sesiapa yang menolak sunnah ku, maka ia bukanlah dari golonganku.

Namun awas, jangan disangka kegembiraan menuruti sunnah nabi itu membuka jalan ke syurga semata-mata, kerana ia juga mampu mengheret kita masuk ke dalam jurang neraka yang dalam lagi menakutkan, jika ia tidak dilaksanakan seperti yang diperintahkan.

2.0 Menangis bertukar gembira

Apabila dua merpati sejoli di ijab kabulkan... maka bergembiralah kedua-dua keluarga, dan menangislah sang syaitan. Menangisnya sang Syaitan adalah kerana tertutupnya peluang kepadanya untuk memujuk si lelaki dan si perempuan melakukan zina.


Tapi, adakah anda menyangka syaitan yang menangis melihat dua orang yang bernikah itu akan lari merajuk membawa diri? Tidak sama sekali, di hadapan sana ternanti banyak lagi perangkap untuk mereka. Satu persatu perangkap itu mengena, dan tangisan syaitan terhenti dan diganti pula dengan ketawa yang terbahak-bahak!

Sang Syaitan ketawa kerana geli hati melihat si pasangan yang terlalu gembira hingga terlupa segala ajaran agama walaupun kedua-duanya mengaku sebagai pejuang agama. Habis ditolak tepi agama yang selama ini menjadi perjuangan mereka. Syariat diletak tepi, adat yang sesat dijulang tinggi.

Sang Syaitan gelak terbahak-bahak melihat aksi manja si isteri menyuapkan nasi ke mulut si suami yang hanya layak menjadi koleksi peribadi mereka berdua menjadi tontonan semua orang. Habis ditolak tepi perasaan malu. Malah dibanggakan pula kenangan itu dengan meng'upload'kan pula di dalam facebook, untuk tatapan seluruh dunia. Kalau boleh, biar Presiden Amerika Barrack Obama tahu dia berkahwin hari itu dan makan bersuap dengan bangga.

Sang Syaitan bertambah galak gembira ketawa melihat si suami dengan ghairah mencium kepala si isteri tanpa menghiraukan puluhan mata yang menyaksikan adegan sulit ini. Malah bangga pula mengulang adegan ini apabila diminta photographer upahan dari kedai yang berdekatan. Diulang tayang tanpa segan, walaupun si muslimah itu dahulunya terkenal sebagai seorang yang paling pemalu dalam dunia ini.

Sang Syaitan hampir pecah perut suka sambil berguling-guling dengan adegan romantik si suami dan si isteri yang bergambar di tepi pantai, atas pokok, di sawah padi, dalam air, atas katil, tepi rumah dengan pelbagai pose yang difikirkan menarik. Entah mana silapnya, suara lantang si suami yang beriya-iya mahu menegakkan daulah islamiah dalam liqa dan usrah yang dikendalikannya, langsung tidak berbunyi bila gambar isterinya puas di raba oleh kamera orang yang bukan muhrim. Segala sisi bentuk isterinya habis dilapah oleh si photographer yang kemudiannya menguploadkannya di laman web untuk ditatap oleh seluruh isi dunia.

Sang Syaitan kembali suka kerana berjaya memujuk si isteri yang terkenal dengan kepakaran membimbing usrah dan tamrin serta kuat berdakwah untuk bersolek dengan tebal. Habis hilang prinsip bersolek hanya untuk suami yang dijajanya kesana kemari di alam kampus dahulu. Kening dicukur sedikit, gincu dilanyak atas bibir, eye shadow, blusher, powder, maskara dan segala macam perhiasan bertenggek di mukanya. Itu belum dicampur dengan minyak wangi yang menarik perhatian segala makhluk yang ada di persekitarannya. Bila ditanya mengapa berbuat demikian, jawapan acuh tak acup diberikan.. mak yang suruh.

Itu belum dikira dengan majlis persandingan serta suasana majlis perkahwinan yang begitu mewah dan membazir.

Syaitan kembali tersenyum gembira.


3.0 Gembira bertukar Menyesal

Kadangkala, apabila sudah menjadi kebiasaan kita melakukan sesuatu perkara, tiba tiba datang pula satu peringatan memberitahu bahawa kebiasaan kita itu tidak benar, menyeleweng dan jauh dari panduan agama... kita akan cepat melenting, marah dan menyampah.

Apatah lagi sememangya selama ini terkenal sebagai juru dakwah yang popular. Berceramah pula di masjid dan surau. Maka pasti si juru dakwah itu segera mencari sebanyak mungkin kitab dan dalil untuk menghalalkan kebiasaan yang dia lakukan itu. Ahh.. mana boleh pendakwah seperti aku ditegur, malulah aku.

Maka dicapailah Mr Google mencari dalil menghalalkan perbuatannya. Bila tidak bertemu, dicarikan pula pendapat-pendapat yang 'gharib/asing' walaupun dari sumber-sumber yang tidak diyakini, asalkan mampu untuk menjadi hujah pelepas dari teguran yang diberikan.

Janganlah bersikap demikian ya akhi wa ukhti. Renungkan seketika majlis perkahwinan itu. Benarkah itu majlis yang dirahmati Allah ataupun dibenci oleh Allah. Jawablah dengan hatimu berpandukan kepada Nas yang benar lagi sahih. Sengaja tidak ditaburkan dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah dalam artikel ini (walaupun dalilnya terlampau banyak) supaya anda dapat menilai dengan penuh berhati-hati majlis pernikahan itu dengan hati nuranimu yang suci itu.

Jangan sampai pada suatu hari nanti, kegembiraan yang dinikmati bertukar menjadi satu penyesalan yang tidak terperi. Tetkala seluruh harta, sahabat handai dan kaum keluarga tidak lagi mampu menjadi pendinding dan hujah bagi dirimu... yang ada hanyalah iman yang senipis bawang itu. Mampukah untuk menepis dosa bertimbun yang tiba kerana kealpaan mengikuti arahanNya di hari pernikahan tersebut?

Ingatlah kembali firman Allah dalam Surah Syuaara ayat ke 88 : iaitu di hari dimana tidak berguna harta dan anak-anak.

Adakah berani kita berbetah pada hari tersebut dengan hujah yang rapuh seperti mengatakan terpaksa mengikut permintaan ibu dan ayah , kaum kerabat serta sahabat handai, walaupun kita tahu permintaan untuk bersolek tebal, bersanding di hadapan orang ramai, adegan mencium, bergambar dengan posing-posing yang sulit, itu semua jauh dari panduan Islam. Namun, jika anda yakin mampu berhujah dan memberikan alasan di hadapan tuhan Rabbul Jalil, silakanlah melakukannya...

4.0 Penutup

Tugas seorang pendakwah ialah menyampaikan ilmu yang dipelajarinya untuk kembali kepada Allah. Tidak lebih dari itu. Samada perkara yang disampaikannya mampu mengubah orang yang mendengar dan membaca, itu bukannya kerja pendakwah. Itu kerja Allah.

Jangan pula timbul celaan dan kata nista selepas ini kepada orang yang menyampaikan seruan Islam ini, hanya kerana terkena pada batang hidung sendiri. Apatah lagi mengherdik dan memerli dengan kata-kata yang pedih lagi menyakitkan seperti , "Ko tak menikah lagi, bolehlah sembang. Tengok ar nanti bila ko kahwin...Macamana pula gayanya!" sambil tersenyum sinis bercampur geram.

Dan jangan pula bertindak mendoakan agar si pendakwah turut terjerumus dalam dosa yang sama supaya bila si pendakwah itu terbuat dosa yang sama, maka bolehlah diejek dan ditempik sekuat mungkin hingga di dengar seluruh penghuni dunia " Ceh, cakap orang lebih, kau pun sama aje!" dan berlalu dengan perasaan puas dan gembira.... kerana dendamnya telah berbalas.

Sesungguhnya, Aku hanya menyampaikan peringatan dari Allah dan risalah-Nya. Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya baginyalah neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. (Q 72 : 22)

Selepas Tengah Malam
13 Oktober 2010


Oleh : Mohd Hakim Bin Mohd Nor
Yang Di-Pertua Pertubuhan Muslim Professional Negeri Perak. (IMPROF)

Artikel ini diterima melalui e-mail.

Terima kasih kepada yang sudi berkongsi di blog ini.

Saturday, August 21, 2010

Dosa 24jam di Facebook



Buat penggemar Facebook, satu peringatan yang amat berguna dan bermanfaat untuk kita kongsi dan renungkan bersama.

Ingat-ingatlah. Janganlah terlalu ghairah untuk mendedahkan segala-galanya.

Friday, August 20, 2010

Surat Seorang Ibu



Sebuah filem pendek yang diarahkan oleh jurufoto perkahwinan, Saiful Nang bersama krew daripada CandidSyndrome. Juga bersama krew kamera daripada CST Production dan penolong pengarah daripada IDMopix.

Filem pendek ini ditujukan khas untuk Rumah Pengasih Warga Prihatin, Kajang.


Sebuah filem pendek yang dihasilkan oleh kumpulan amatur tetapi mempunyai jiwa yang begitu besar dan mesej yang begitu mendalam.

"Memandang ibubapa (dengan kasih sayang) adalah ibadah" hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Daud.

Airmata menjadi peneman dikala menontonnya. Sesuai untuk tontonan semua menjelang Aidilfitri ini.

Siapa binatang?

Berita mengenai kes pembuangan bayi bagaikan sudah menjadi perkara biasa dan wajib sebagai pelengkap dada-dada akhbar hari ini. Rakyat Malaysia telah menjadi lali dengan berita-berita sebegini sebagimana juga mereka telah lali dan biasa dengan perkara-perkara maksiat yang berlaku dihadapan mata kepala mereka sendiri.

Dunia kini semakin menghampiri akhir. Sebagaimana hadis Nabi yang bermaksud:

Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: Berhadap Rasulullah saw. kepada kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda; "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah swt., semoga kamu tidak menemui masa itu. Perkara -perkara itu ialah:
  1. Tiada terzahir (nampak) perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha'un yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.

  2. Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pepimpin mereka.

  3. Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tiada ada binatang (yang juga hidup diatas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah swt.

  4. Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasulnya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.

  5. Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri ".

    Hadis Riwayat Ibnu Majah

Mari kita lihat perbandingan diantara tabiat naluri manusia dan juga binatang hari ini melalui gambar-gambar yang dipaparkan disini:

Manusia: spesis mamalia (atau mama liar?) yang berakal

Bayi yang baru lahir dicampakkan mereta-rata
Tanpa sedikit rasa belas kasihan

Nyawa bagaikan tiada bernilai lagi.
Anak patung lebih disayangi dan dihargai daripada bayi

Anak dibuang bagaikan sampah.

Anugerah dan amanah Allah tiada bermakna bagi mereka

Sifat keibuan yang berakal dan hati tiada lagi tatkala ini


Beruk: binatang yang tidak berakal

Sang anak yang terjatuh ditengah jalan

Datang sang ibu memberikan pertolongan daripada marabahaya

Ancaman pelbagai bentuk menerpa. Nyawa sang anak dalam bahaya

Si ibu sanggup menggadaikan nyawa demi keselamatan anak tersayang

Si anak terselamat daripada bahaya kerana kasih ibu yang murni


Setelah menyaksikan gambar-gambar di atas, anda buatlah pertimbangan dan keputusan sendiri, yang manakah lebih binatang?

Manusia yang mempunyai akal dan hati ataupun sang beruk yang hanya mempunyai hati tanpa akal?

Monday, March 1, 2010

Bermula dengan Celik Mata Hati

Usaha memperbaiki diri bukan suatu suratan (destiny) tetapi suatu perjalanan (journey). Malah, tidak keterlaluan kalau dikatakan perjuangan memperbaiki diri adalah satu perjuangan nafas panjang (the long breath war). Kita akan sentiasa berubah, sama ada menjadi orang yang lebih baik atau sebaliknya. Jika tidak menaik, kita pasti sedang menurun.

Kata bijak pandai: "Orang yang berjaya ialah orang yang hari ininya lebih baik daripada semalam. Orang yang terpedaya, orang yang hari ininya sama seperti semalam. Dan orang yang celaka, ialah orang yang hari ininya lebih buruk daripada semalam."

Kita di golongan mana? Berjaya, terpedaya atau celaka? Terpulang pada kita untuk memilih.

Pintu kepada perubahan diri ialah kesedaran. Kesedaran (awareness) yang dimaksudkan ialah bila seseorang itu nampak dengan mata hati - pandangan hidup (worldview) yang sebenar. Celik mata hati inilah yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. melalui firman-Nya:
"Sesungguhnya penglihatan (mata kasar) itu tidaklah buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada (mata hati)." (Surah al-Hajj 22: 46)

Orang yang celik mata hati dapat melihat arah, tujuan, jalan, bekalan, dorongan, halangan dan akhiran hidupnya, yakni menurut pandangan Pencipta (Allah).

Seseorang yang telah sedar mempunyai satu dorongan yang menggelodak dalam fikiran, jiwa dan emosinya yang menuntut pada perubahan. Rasa menggelodak dalam jiwa itulah yang dikatakan "semangat".

Kesedaran adalah gerbang awal ke arah perubahan diri. Manusia umpama orang yang sedang tidur, tidak mungkin kita boleh terus mengajaknya bertindak tanpa mengejutnya terlebih dahulu. Kata Sayidina Ali k.w.j.: "Manusia kebanyakannya tidur, apabila mati barulah dia terjaga (sedar)."

Seseorang yang telah sedar, bermakna dia telah mendapat jawapan yang betul tentang dari mana ia datang, untuk apa dia dijadikan dan kemana dia akan pergi. Ia akan mendapat satu visi dan misi yang tepat dan jelas dalam hidupnya. Dia sedar hubungkait dan kesepaduan antara peranannya sebagai hamba dan khalifah Allah, kerohanian dan pembangunan, moral dan material, dunia dan akhirat, fardhu Ain dan fardhu kifayah, individu dan masyarakat. Pendek kata, di tahap kesedaran ini, seseorang itu sedar akan kebaikan perubahan dan betapa perlunya dia berubah!

Justeru, kita perlu kembali ke pangkal - back to basic. Bermulalah dengan diri sendiri. Mari kita selami dan kenali siapa kita yang sebenarnya? Kita hayati kata-kata hukama ini: "Untuk membaiki dunia, baiki manusianya. Dan untuk membaiki manusia, baiki hatinya."

Masalah manusia bermula dan berpunca daripada hati. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Dalam tubuh anak Adam, ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah seluruh anggota badan. Jika jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah, daging itu ialah hati."

Justeru, suatu masalah yang bersifat tersirat mesti diselesaikan dengan kaedah yang bersifat tersirat juga. Jalan dan proses untuk berubah itu panjang. Walau apa pun, langkah pertamanya ialah celik mata hati!

Pahrol Mohamad Juoi
Ketua Editor
Majalah Solusi Isu #9

Followers