Monday, March 29, 2010

Tuan Guru Nik Aziz, Harun Din kekal Mursyidul Am dan Timbalan


KUALA LUMPUR, 29 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Dr Haron Din mengekalkan jawatan mereka masing-masing sebagai Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am PAS untuk tempoh lima tahun dari 2010 hingga 2015.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat kedua Majlis Syura untuk sesi ini yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata, pemilihan semula Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana kelayakannya dan tidak mahu Mursyidul Am PAS itu bersara dari perjuangan.

"Ramai yang layak, tetapi kita anggap beliau yang lebih layak dari orang lain kerana dalam budaya perjuangan Islam tiada persaraan dalam perjuangan.

"Kita tidak mahu tok guru kita bersara dari perjuangan," katanya pada sidang media memaklumkan keputusan tersebut di parlimen hari ini (gambar bawah).

Turut serta pada sidang media tersebut, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.

Mengulas lanjut beliau berkata, keuzuran Tuan Guru Nik Aziz bukan masalah besar kerana beliau akan dibantu ahli mesyuarat yang lain.

"Keuzuran beliau boleh dibantu ahli-ahli yang lain kerana keputusan majlis syura bukan individualistik tetapi dibuat secara kolektif," tambahnya lagi.

Selain mereka berdua, turut dilantik ke dalam Majlis Syura dalam mesyuarat mereka yang pertama adalah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Ustaz Hashim Jasin dan Ustaz Hassan Shukri.

Kelima-lima mereka dilantik sebagai ahli Majlis Syura dalam mesyuarat pertama mereka minggu lepas. Mesyuarat hari ini membuat perlantikan untuk dua jawatan utama iaitu Mursyidul Am dan timbalannya.

Selain mereka ahli Majlis Syura adalah Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (mewakili Jawatankuasa PAS Pusat).

Mewakili Dewan Ulamak adalah Datuk Harun Taib, Datuk Ahmad Yaakub, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan Ustaz Nik Mohd Zawawi Salleh, mewakili Dewan Pemuda Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi dan Ustaz Zaharudin Mohamad dan dua wakil Dewan Muslimat yang nama mereka belum diperolehi.

Ditanya berhubung kenyataan Tuan Guru Nik Aziz semalam yang bersedia berundur, Abdul Hadi berkata ianya menunjukkan sikapnya yang tinggi akhlaknya sesuai dengan tuntutan Islam yang mengajar umatnya untuk tidak meminta jawatan.

"Itu satu moral yang tinggi yang sangat kami hargai. Memang kita dalam Islam diajar tidak meminta jawatan, tidak berebut jawatan dan Islam mengajar orang yang tidak meminta jawatan itu yang layak kita lantik," jelasnya lagi.

Sesi baru Majlis Syura bermula dengan mesyuarat pertama mereka minggu lalu. Dalam mesyuarat di kalangan 12 anggota yang telah dilantik oleh AJK PAS Pusat (4), Dewan Ulama (4), Dewan Pemuda (2) dan Dewan Muslimat (2) itu, lima anggota tambahan dilantik.

Majlis Syura adalah badan tertinggi dalam PAS. Mengikut pindaan terbaru Perlembagaan PAS, anggotanya menjadi 17 orang berbanding 12 sebelum ini dan tempoh sepenggal dipanjangkan dari tiga tahun ke lima tahun.

-Harakahdaily

No comments:

Followers