Sunday, March 21, 2010

Berjogging di Eco Park, Taman Seri Botani

IPOH: Kewujudan sebuah taman rekreasi yang diberi nama Eco Park dan terletak di Taman Seri Botani, Ipoh mampir ke pengetahuan saya sejak tahun lalu lagi.

Tetapi, kesempatan untuk ke sana sentiasa terhalang oleh kegiatan-kegiatan yang datang silih berganti.

Sempena cuti sekolah kali ini, dan juga setelah dengan berat hati menolak saranan-saranan yang dikemukakan oleh anak-anak untuk bercuti ke tempat-tempat yang memerlukan perbelanjaan, akhirnya kesepakatan di capai dengan sekadar kami sekeluarga beriadah tanpa perlu berbelanja. Alhamdulillah, anak-anak memahami keadaan ayahnya. Dan yang paling penting buat saya adalah kegembiraan anak-anak.

Seawal jam 7.15 pagi kami sekeluarga tiba di sana. Telah ramai yang kelihatan berpeluh-peluh. Mungkin mereka telah mula bersenam sejak awal-awal lagi.

Eco Park ini mempunyai sebuah tasik yang kelihatan sungguh damai. Sesekali airnya kelihatan berkocak apabila ikan-ikan yang berenang tenang di dalamnya melompat-lompat. Bermain agaknya.

Trek jogging yang disediakan mengelilingi tasik ini membuatkan bagai tidak terasa jauhnya jarak kita berlari. Anak saya yang berumur 7 tahun juga bisa menghabiskan lariannya.

Biarpun telah lama sungguh tidak berjogging, suasana nyaman di Eco Park membuatkan aktiviti jogging pagi ini suatu riadah yang begitu santai sekali. Apatah lagi, bila bertemu dengan orang-orang yang kita kenali. Cikgu Nahar dan anak-anak, Shukeri serta isteri antara yang berjogging di sini.

Eco Park juga menyediakan peralatan senaman untuk pengunjungnya. Deretan alat-alat seumpama yang terdapat di pusat-pusat gym sentiasa penuh digunakan oleh orang ramai di situ. Ada yang kegunaannya untuk otot-otot tangan, kaki, pinggang dan seluruh anggota badan yang lain. Tidak mengira usia, sesiapa saja boleh menggunakannya. Sepertimana gambar-gambar di bawah, anak-anak saya turut tidak ketinggalan mencuba peralatan senaman yang terdapat di sini.



Satu lagi tarikan di Eco Park ini adalah ikan-ikan di dalam tasiknya. Pelbagai jenis dan saiz. Sentiasa berenang berkawan menantikan makanan daripada pengunjung yang terhibur dengan gelagat mereka.

Anak-anak saya juga mengambil kesempatan dengan memberikan makanan berupa roti putih yang dicebis-cebis lalu dilontar ke dalam tasik. Bunyi kocakan air serta pemandangan gerombolan ikan-ikan yang berebut roti tersebut dapat menghiburkan hati si kecil.

Ikan-ikan yang banyak terdapat di dalam kolam ini bukanlah untuk sang pemancing. Notis larangan memancing yang terpacak di tepi tasik telah menyelamatkan spesis-spesis ikan yang banyak membiak di dalam kolam ini daripada menjadi mangsa kaki-kaki pancing.

Taman Eco Park ini amat sesuai untuk riadah sekeluarga. Bukan hanya semata untuk tujuan mengeluarkan peluh, tetapi ketenangan minda dan jasad juga boleh diperolehi dengan kunjungan ke sini. Kasih sayang juga bisa berkembang dengan suasananya yang damai.

Ikan-ikan di dalam tasik ini senantiasa menantikan kunjungan anda sekeluarga beriadah di sini. Ketenangan dan kedamaian mereka boleh dikongsi bersama anda sekeluarga.

Oh ya...sebelum saya terlupa, Taman Eco Park ini tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pengunjungnya. FREE for all. Selamat beriadah.

No comments:

Followers