Saturday, July 2, 2011

Pakatan: Fitnah KDN mahu halang Himpunan Bersih 2.0

Salahuddin berkata tuduhan yang dilemparkan terhadap Bersih adalah fitnah. — Foto fail
KUALA LUMPUR, 2 Julai — Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mencabar Putrajaya membuktikan propaganda yang didakwa dilakukan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sehingga ia diisytihar pertubuhan haram.

Beliau yang agak terkejut dengan tindakan drastik Kementerian Dalam Negeri melalui Pendaftar Pertubuhan Malaysia menegaskan dakwaan yang dilemparkan terhadap Bersih adalah satu usaha untuk menghalang rakyat menyertai Himpunan Bersih 2.0.

Menurut Pendaftar Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 berkuat kuasa semalam.

Tegas Salahuddin, dakwaan kononnya Bersih terlibat dengan propaganda yang mengancam keselamatan negara adalah tidak benar sama sekali.

“Saya menganggap itu tidak benar sama sekali kerana apa yang dituntut oleh Bersih tidak keluar daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Sepatutnya tuntutan Bersih ini dikaji dahulu kerana Bersih tidak melakukan sebarang propaganda...jadi saya cabar agar buktikan propaganda yang mengatakan Bersih ini melakukan perkara yang memberi ancaman kepada negara,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Justeru kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini, tuduhan yang dilemparkan terhadap Bersih yang diketuai Datuk Ambiga Sreenevasan adalah fitnah semata-mata.

“Apa yang mengatakan Bersih bertentangan dengan undang-undang? Propaganda yang dilemparkan ini hanya fitnah semata-mata, malah kita pernah membawa perkara ini di Parlimen, jadi ia tiada masalah.

“Ia sengaja diwujudkan untuk menggagalkan perhimpunan Bersih 2.0 dan ia adalah usaha terdesak yang dilakukan Umno-BN,” katanya.

Tindakan drastik yang diambil Putrajaya ini merupakan perkembangan terbaru dalam siri tindakan keras diambil sejak lebih seminggu lalu.

Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini menyenaraikan lapan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya, mendapatkan sokongan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun BN dan pertubuhan-pertubuhan yang pro perikatan itu membantah.

Awal minggu ini, Hishammuddin mengumumkan kemeja-T Bersih 2.0 yang dijual dan dipakai adalah bahan haram dan menjalani undang-undang negara.

Malah lebih 100 orang aktivis dan pemimpin politik Pakatan Rakyat telah ditahan. Semalam polis menegaskan pihaknya telah menutup segala bentuk perbincangan dengan sekretariat Bersih.

Dalam kenyataan hari ini juga, Abdul Rahman berkata Kementerian Dalam Negeri telah menyiasat pertubuhan Bersih 2.0 dan mendapati bahawa ia bukan satu pertubuhan berdaftar.

Bagaimanapun kata beliau, Bersih 2.0 memenuhi takrifan pertubuhan yang berdaftar di bawah Jadual 1, Akta Pertubuhan 1966.

Menurut Abdul Rahman, Bersih 2.0 telah bergerak aktif dan mencetuskan suasana gelisah dan kebimbangan masyarakat pelbagai kaum negara ini, menyebarkan propaganda menghasut rakyat bagi tujuan menjatuhkan kerajaan dengan mengedarkan risalah-risalah tertentu dan melalui aktiviti-aktivitinya telah memberi kesan buruk kepada imej negara, bahkan boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan negara malahan menjejaskan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum.

Sementara itu Naib Presiden PKR N. Surendran berkata pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kementerian Dalam Negeri yang mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan haram.

“Bagaimana sebuah pergerakan yang menuntut pilihan raya bersih dan adil boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara?

“Bagaimana satu perhimpunan aman dalam amalan demokrasi boleh memberi ancaman kepada ketenteraman awam?” soalnya.

Tegas Surendran, Hishammuddin tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan apa-apa arahan yang bermotifkan politik dengan tujuan menghalang kritikan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kami menuntut agar semua arahan ini dibatalkan segera dan kesemua yang ditahan dibebaskan,” katanya.

No comments:

Followers