Saturday, July 2, 2011

MP Sg Siput, lima lagi ahli PSM ditahan bawah Ordinan Darurat

KUALA LUMPUR, 2 Julai — Polis menahan semula Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar dan lima lagi ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) selama 60 hari di bawah Ordinan Darurat hari ini, yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan.

Keenam-enam mereka hadir di mahkamah Butterworth pagi ini selepas perintah reman tujuh berakhir.

Mereka ditahan minggu lalu berhubung Himpunan Bersih 2.0 bersama 25 yang lain.

Seorang sudah dibebaskan Ahad lalu.

The Malaysian Insider difahamkan mereka akan dibawa ke Bukit Aman di Kuala Lumpur untuk tindakan susulan.

Seramai 24 yang lain dibawa ke mahkamah hari ini dan mereka diwakili oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, seorang bekas presiden Majlis Peguam.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan berkata kesemua mereka ditahan sebaik sahaja dibebaskan dari ibu pejabat polis daerah Kepala Batas kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.

“Ya...ya... mereka enam ditahan di bawah Ordinan Darurat yang bermaksud penahanan tanpa bicara yang bertentangan dengan hak asasi manusia.

“Mereka dibebaskan kira-kira pukul 1.30 tengah hari dan ditahan semula seminit selepas itu, mereka akan dibawa ke Bukit Aman petang ini,” katanya dengan nada kecewa ekoran tindakan terbaru yang diambil kepada ahli parti itu.

Ketika ditanya lebih lanjut mengenai tindakan seterusnya daripada pihak parti, Arutchelvan bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Mereka (polis) tidak boleh tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), jadi mereka gunakan Ordinan Darurat untuk menahan ahli kita.

“Tindakan ini sangat tidak betul dan tidak bertanggungjawab, selain bertentangan dengan undang-undang dan hak asasi manusia,” katanya.

Turut ditahan Timbalan Pengerusi PSM M. Saraswathy, ahli jawatankuasa pusat Choo Chon Kai, M. Sugumaran, G Pakialetchumy dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai Babu.

Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam Dan Mencegah Jenayah) 1969.

Sementara itu, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dalam kenyataan yang dikeluarkan membantah sekeras-kerasnya penahanan itu sambil menyifatkan ia bertentangan dengan undang-undang dan hak asasi manusia.

Justeru, Suaram menggesa menggesa kesemua mereka dilepaskan dengan segera dan menuntut akses untuk bantuan guaman kepada mereka selain dibenarkan menemui keluarga masing-masing.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar dipetik Bernama Online berkata mereka yang berumur 25 hingga 58 tahun itu ditahan semula sebaik sahaja mereka dibebaskan selepas tempoh reman terhadap mereka berakhir hari ini.

Bercakap kepada pemberita di Bukit Aman, Khalid berkata mengikut maklumat awal, mereka dikatakan terbabit dengan pihak dari luar negara dan telah diresapi anasir subversif.

Katanya, mereka ditahan untuk membantu siasatan lanjut berhubung maklumat awal yang diterima oleh pihak polis.

Mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat, polis boleh menahan suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

Khalid berkata polis akan memohon kepada mahkamah supaya baki 24 orang dari kumpulan tersebut disambung reman kerana terdapat sedikit lagi siasatan yang belum selesai.

Katanya, jumlah keseluruhan tangkapan yang berkait dengan Himpunan Bersih 2.0 di seluruh negara berjumlah 150 orang.

Mengenai penahanan anggota exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu pada Jumaat kerana didakwa menghasut orang ramai dalam satu ceramah di Hulu Selangor supaya menyertai perhimpunan haram itu, Khalid berkata apa jua tindakan dan aktiviti yang menjurus kepada hasutan supaya orang ramai menyertai Himpunan Bersih 2.0 adalah satu kesalahan.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya sehingga semalam, polis telah menerima sebanyak 2,389 laporan polis berhubung bantahan ke atas Himpunan Bersih 2.0.

No comments:

Followers