Monday, July 11, 2011

Lebih 100,000 warga Facebook desak Najib letak jawatan

KUALA LUMPUR, 11 Julai — Lebih 100,000 pengguna laman sosial Facebook mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar meletakkan jawatan, hanya dua hari selepas Himpunan Bersih 2.0 diadakan.

Halaman itu, dipercayai dibentuk selepas ribuan orang membanjiri ibu negara Sabtu lalu, telah menarik sekurang-kurangnya lima pengguna untuk menekan butang “likes” setiap saat dan ia mencecah 100,000 kira-kira pukul 3.50 pagi tadi.

Sebaik sahaja menekankan butang “likes”, ratusan pengguna menulis “Anda Dipecat” pada laman itu dengan merujuk perkara itu kepada perdana menteri keenam.

Halaman itu juga menyasarkan sejuta pengguna untuk menyokong dan menarik perhatian Najib.

Malah ada juga pengguna yang mencadangkan kepada sesiapa yang menekan butang “likes”, menekan butang “unlikes” di laman Facebook Najib.

“Tik tok tik tok, bilangan semakin bertambah setiap saat,” kata pengguna Iven Leh.

“Kita boleh lihat berapa ramai yang mahu beliau meletakkan jawatan. Beliau sepatutnya berfikir apa yang telah beliau lakukan kepada rakyat yang tidak bersalah dalam perhimpunan aman,” katanya.

Kebanyakan yang menekan “likes” pada laman itu dipercayai penyokong Bersih 2.0 kerana ia turut memaparkan komen berbaur kemarahan terhadap pentadbiran Najib.

“Najib, saya menggesa anda untuk melihat laman rasmi penyokong Bersih 2.0. Tiada serangan fizikal? Tiada keganasan? Atau definisi keganasan anda adalah penghabusan, jadi apa yang berlaku ini tidak dipanggil keganasan?” kata pengunjung bernama Kenny Chong.

Najib telah menafikan polis telah melakukan kekerasan sementara Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan tindakan pihak berkuasa berjaya menangani perhimpunan itu.

Perdana menteri juga sempat menghabiskan masa melawat sekitar Kuala Lumpur, hanya 24 jam selepas pusat bandar menjadi pertempuran peserta Bersih 2.0 dengan pihak berkuasa.

Kedudukan Najib pada Mei tahun lalu adalah sebanyak 72 peratus, seolah-olah memberi gambaran sokongan semula kepada Barisan Nasional (BN) selepas melancarkan kempen 1 Malaysia bagi meraikan rakyat pelbagai kaum dalam negara.

Bagaimanapun jumlah itu jatuh sedikit pada Disember dengan 69 peratus selepas Putrajaya bertindak menghapuskan subsidi untuk keperluan harian seperti bahan api, gas dan gula.

No comments:

Followers