Sunday, March 14, 2010

Perhimpunan bantah GST esok ditangguhkan



Perhimpunan aman bagi membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di Parlimen esok ditangguhkan, kata penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli.

Katanya, ini ekoran keputusan kerajaan untuk tidak membentangkan rang undang-undang GST bagi bacaan kedua di sidang parlimen yang bermula esok.

Dr Hatta yang juga ahli parlimen Kuala Krai menyifatkan penangguhan pembentangan rang undang-undang GST itu sebagai satu kemenangan rakyat.

"Mereka (kerajaan) nak bentang untuk kali kedua, tetapi kita buat bantahan dan berjaya. Jadi (mereka) tak jadi bentang... mereka dah mengaku kalah, kita terima," katanya.

gst protest dr hattaBercakap dalam satu sidang akhbar di ibunegara hari ini, Dr Hatta berkata perhimpunan tersebut ditangguhkan kepada satu tarikh yang belum ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, perhimpunan akan diadakan sekiranya timbul keperluan.

Turut hadir dalam sidang media tesebut adalah setiausaha agung PSM, S Arutchelvan; setiausaha Dewan Pemuda PAS, Kamaruzzaman Mohamad; ahli jawatankuasa Muslimat PAS, Aiman Athirah dan beberapa aktivis reformasi dan NGO dari Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT).

Mengulas mengenai sebab khusus perhimpunan esok ditangguhkan, Dr Hatta berkata: "Kita kena bersifat reasonable (munasabah) kerana kita sedia menimbang suasana yang berubah ini".

"Kita sentiasa mengikuti apa yang berlaku di negara kita. Kita sentiasa bersedia dan mengambil sikap tunggu dan lihat," katanya.

Dr Hatta menyifatkan penangguhan pehimpunan tersebut adalah satu keputusan yang besar yang dicapai oleh sekretariat Protes, ekoran perkembangan terbaru yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengenai penangguhan pembentangan rang undang-undang GST semalam.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa mereka tidak akan berhenti daripada menentang pelaksanaan GST itu.

Menurutnya, semua bentuk kempen akan diteruskan seperti ceramah dan pengedaran risalah mengenainya.

Beliau juga memohon maaf kepada orang ramai yang telah telah membuat persediaan untuk menghadiri perhimpunan esok termasuk yang telah menempah bas dan memohon cuti untuk menghadiri perhimpunan tersebut.

Dr Hatta juga berharap penangguhan perhimpunan esok tidak akan melemahkan semangat rakyat dalam menentang pelaksanaan GST.

"Sekianya kerajaan bermain-main dengan keputusan ini, saya yakin rakyat akan marah dan akan turun dengan lebih besar.

"Jika mereka beriya-iya sangat nak bentang, kita akan beri respond dengan berlipat kali ganda," katanya.

Dr Hatta menambah berdasarkan maklumbalas yang diterimanya kira-kira dua atau tiga kali daripada anggaran 2,000 orang yang akan menyertai perhimpunan tersebut.

Kelmarin, Dr Hatta dilaporkan berkata semua perancangan untuk mengadakan perhimpunan telah dilakukan dan beliau menganggarkan kira-kira 2,000 orang akan turut serta dalam perhimpunan tersebut.

Mengulas mengenai penangguhan pembentangan rang undang-undang GST itu, Dr Hatta menyifatkan sebagai satu kemenangan rakyat termasuk parti-parti politik dan NGO yang terlibat.

"Saya mengucapkan syabas di atas kejayaan ini," katanya.

Sementara itu Arutchelvan pula kesal dengan kerajaan yang tidak mendapatkan maklumbalas rakyat terlebih dahulu berhubung cadangan usul tersebut sebelum dibaca buat kali pertama di Dewan Rakyat pada sesi lalu.

"Kerajaan gagal dapatkan maklum balas daripada rakyat. Mereka membaca buat kali pertama terlebih dahulu, sebelum dapat maklum balas daripada rakyat" katanya.

-malaysiakini

Ajijoi ~ Diharap kepada rakyat prihatin yang dah tak sabar-sabar nak turun untuk demo tu akan tetap istiqamah dengan perjuangan ini sehinggalah akta yang zalim ini dapat dibatalkan.

1 comment:

Panglima7 said...

Salam Tuan Hamba Ajijoi,
Hamba Panglima7 masuk mengadap.

Apa sudi kiranya tuanhamba melinkkan blog hamba dengan blog tuanhamba. Mudah-mudahan dapat memeriahkanlah alam blogger demi menegakkan kebenaran. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas saudara.

Followers