Monday, February 2, 2009

Cinta dan sayangkan Allah dan Rasul - Dato Dr Harun Din


IPOH (1/2/2009) : Kehadiran Dato Dr Harun Din menyampaikan ceramah agama di Dewan Besar, Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak petang tadi berjaya menarik kehadiran begitu ramai muslimin dan muslimat. Hampir setiap sudut dewan tersebut penuh sesak sehinggakan ada yang terpaksa berdiri sepanjang ceramah berlangsung.


YAB Dato Seri Ir Nizar begitu berbesar hati dengan kesudian Dr Harun Din memenuhi undangan isteri beliau, Datin Seri Fatimah Taat selaku penganjur majlis ceramah bulanan ini. Di dalam ucapan aluannya, MB Perak meminta agar rakyat Perak berdoa supaya kerajaan negeri yang ada pada hari ini dapat dipertahankan walaupun terus menerus diganggu gugat oleh pihak pembangkang yang berusaha untuk menjatuhkan kerajaan dengan pelbagai cara termasuklah menggunakan taktik yang kotor.

Beliau juga menyatakan bahawa Perak menjadi negeri yang pertama yang mana Jabatan Agamanya diurus tadbir oleh ahli agama. Ini terbukti dengan perlantikan Dato Sheikh Mohd Nor sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Perak pada 1.1.2009 yang lalu.

Banyak perancangan oleh kerajaan negeri dan jabatan agama sedang diatur untuk manfaat rakyat Perak. Dengan itu, rakyat Perak diminta pertahankan kerajaan pilihan rakyat yang sedia ada hari ini untuk merealisasikan segala perancangan tersebut.

Dato Dr Harun Din menyampaikan ceramahnya dengan mengupas kisah-kisah nabi, malaikat dan juga ciptaan Allah diseluruh alam ini dengan tujuan agar kita semua cinta dan sayangkan Allah dan rasulnya kerana itulah sumber kekuatan kita sebagai manusia yang beragama Islam.

Sungguhpun nabi tidak menjanjikan dan memberikan apa-apa kemudahan dan kebendaan kepada pengikutnya, tetapi mereka tetap beriman dan menyayangi nabi.

'Dengan segala kemudahan dan teknologi terkini, segala-gala ilmu dan pengetahuan tentang agama Islam telah dapat disampaikan kepada semua umat, namun masih sedikit yang beriman dan mengikut sunah nabi, katanya'.



Selesai ceramah Dr Harun Din, Datin Seri Fatimah telah melancarkan Tabung Fatimah untuk kutipan dana bagi membantu rakyat yang kurang bernasib baik.



Penyampaian sumbangan Dana Palestin Perak oleh individu, syarikat dan juga pertubuhan telah diserahkan kepada MB Perak.


Di akhir acara, Dr Harun Din juga telah membacakan doa Syifa kepada botol-botol air yang dibawa oleh para hadirin.

Majlis kali ini juga dihadiri oleh ahli-ahli SMS Bikers Perak dan juga Satria Neo Club.




No comments:

Followers