Sunday, February 8, 2009

Penyokong DAP protes di depan SUK



Kira-kira 50 penyokong Pemuda DAP mengadakan protes di depan bangunan Darul Ridzuan, Ipoh jam 11.30 pagi tadi membantah kerajaan baru Barisan Nasional (BN) yang memerintah negeri itu.

Bantahan tersebut diketuai oleh ketua Pemuda DAP, Anthony Loke selama kira-kira 10 minit.

Mereka melaung-laungkan perkataan 'hidup rakyat' dan 'jatuh Umno/BN'.

"Kerajaan BN perlu dibubarkan kerana ia tidak mendapat mandat rakyat dan ia diperintah oleh katak-katak politik.

"Rakyat Perak tidak puas hati kerana mereka tuntut pilihanraya baru," katanya dalam ucapan kepada penyokongnya.

Mereka datang dari seluruh negara termasuk Melaka, Pulau Pinang dan Selangor.

Lima replika katak BN termasuk dua yang memegang wang, dipamerkan semasa protes tersebut.

Polis kawal keadaan

Kira-kira 100 anggota polis termasuk dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal keadaan.

Beberapa anggota polis trafik mengawal keadaan lalulintas di depan jalan berkenaaan.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Anthony berkata, pihaknya tidak mengiktiraf kerajaan baru Perak.

"Saya mencabar kerajaan mengadakan pilihanraya semula untuk menentukan sokongan rakyat.

"Tindakan merampas kuasa ini boleh mematikan amalan demokrasi di Malaysia," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabat DAP Perak tidak jauh dari bangunan Perak Darul Ridzuan.

Anthony berkata, jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak dibubarkan, kemelut ini tidak akan selesai.

Katanya, rakyat mahu melihat demokrasi hidup dan ia akan terjadi apabila DUN Perak dibubarkan.

cabar MCA

"Kerajaan baru Perak yang ditubuhkan dua hari lalu itu bukan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan juga tidak melambangkan kerajaan yang berbilang kaum," katanya lagi.

Anthony yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lobak, Negeri Sembilan berkata, beliau juga mencabar MCA supaya menyatakan pendirian mengenai kerajaan baru BN itu.

Katanya ini kerana, jika menerimanya, ia bermakna MCA setuju dengan rampasan politik Umno dan meruntuhkan sistem demokrasi di negara ini.

"Saya difahamkan seorang Adun MCA, Dr Mah Hang Seon akan dilantik sebagai seorang exco kerajaan negeri Perak," katanya.

Majlis angkat sumpah exco kerajaan negeri yang baru akan diadakan Selasa ini.

- malaysiakini.com

No comments:

Followers