KUALA LUMPUR, 19 Feb: Sebagaimana dijanjikan semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan tiga bukti dalam Dewan Rakyat yang menunjukkan BN memang berusaha dengan pendekatan rasuah dan ugutan untuk menarik Adun Pakatan menyertai BN.
Ketiga-tiga bukti itu adalah rakaman CCTV, peluru hidup dan penculikan. Namun, Anwar mendakwa, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berminat dengan bukti-bukti ini.
Anwar berkata demikian ketika membahaskan ucapan titah Yang Dipertuan Agung di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam kes CCTV, Anwar berkata, pihaknya dengan kerjasama SPRM telah memasang CCTV untuk merakam perbualan antara Adun Kulim, Lim Soo Nee dari PKR dengan bekas MB Kedah, Datuk Seri Mahatzir Khalid.
Rakaman itu dibuat di sebuah hotel di Seberang Jaya, Pulau Pinang yang menunjukkan Mahatzir dan Adun itu.
Kata Anwar, agen kepada Mahatzir telah menawarkan Lim Soo Nee RM5 juta untuk melompat parti dan menyertai BN.
Lim, kata Anwar, telah menolak tawana itu dan membuat laporan polis kemudiannya tetapi tidak ada tindakan sehingga kini.
Anwar mendakwa, Adun Bukit Selambau, V Arumugan telah diugut dengan bermacam cara termasuk ugutan bunuh sebagaimana yang dialami oleh bekas Adun Lunas, Joe Fernandez yang mati dibunuh jika kekal dengan aktiviti politiknya.
Anwar mendakwa, semua laporan ini tidak diambil tindakan oleh polis dan SPRM selepas mendapat tekanan dari pemimpin atasan BN.
-siasahdaily.blogspot.com
No comments:
Post a Comment