Thursday, February 26, 2009

SPRM perlu siasat pengerusi perhubungan Umno Perak - Nik Aziz


KOTA BHARU, 26 Feb (Hrkh) - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu profesional. Mungkinkah peringatan Perdana Menteri itu menggambarkan badan tersebut belum mampu keluar dari dimensi lama.

Pertukaran nama baru daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR), belum memadai apabila banyak kes yang dilaporkan Pakatan Rakyat seperti disenyapkan.

Sebaliknya pantas sekali bertindak kalau melibatkan aduan daripada pemimpin Umno.
Buktinya Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar terus disiasat SPRM setelah menerima laporan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Seri Ahmad Said Hamdan membuat kenyataan pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa V. Sivakumar kerana menggantung Menteri Besar Perak dan enam anggota Exco daripada menghadiri persidangan Dun.

Mengulas perkembangan tersebut Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mempersoalkan mengapa SPRM tidak menyiasat orang yang dikatakan menjadi punca kepada tiga Adun Pakatan Rakyat di Perak berpaling tadah.

“Sepatutnya yang bertanggungjawab mencetus isu tersebut dan membawa tiga Adun terbabit ke Istana Perak perlu disiasat SPRM kerana segala masalah yang berlaku sekarang berpunca dari situ.

“Kita belum mendengar ada maklumat badan tersebut menyiasat Pengerusi Perhubungan Umno Perak yang baru dilantik, kerana difahamkan dia ada hubungan dengan tiga Adun tersebut hilang dan muncul di Putrajaya.

“Hilang ke mana.. tentunya ada hubung kait pemimpin tertentu. Jadi kita persoalkan kenapa tidak disiasat pihak terbabit, kalau benar-benar mahu lebih profesional,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka, semalam.

Beliau berkata, SPRM seolah-olah berfungsi menyiasat kes tertentu sahaja dan pembaharuan yang dilakukan sekarang tidak memperlihatkan badan itu benar-benar telus.

“Selama tidak ada sifat taqwa pada pengerusi dan jawatankuasanya, mereka tidak akan melakukan siasatan ke atas pemimpin negara. Yang disiasat hanya anak-anak bilis.

Habiskan duit rakyat

“Oleh itu, tubuh apa jenis badan sama ada polis atau badan pencegah rasuah, ia menjadi kerja sia-sia kalau dilihat terhadap apa yang berlaku sekarang. Habis masa dan wang rakyat,” katanya.

Sebelum ini tiga bekas Adun Pakatan Rakyat di Perak, Hee Yit Foong (Jelapang), Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) hilang dan tiba-tiba muncul bersama Dato’ Seri Najib Razak di Putrajaya.

“Tindakan itu tidak sah, tindakan yang tidak membawa ke syurga, bahkan tindakan yang boleh membawa ke neraka,” kata Menteri Besar Kelantan.

Menurutnya tindakan pemimpin yang menjatuhkan kerajaan di luar normal biasa jelas tidak ada dalam diari perjuangan Islam.

Beliau juga mempersoalkan adakah kerana Dato’ Seri Nizar Jamaluddin melakukan kesalahan rasuah sehingga Pengerusi Perhubungan Umno Perak bertindak merampas kerajaan negeri dengan cara tidak halal.

“Yang menjadi persoalannya kenapa Pengerusi Umno bertindak demikian. Adakah Nizar melanggar peraturan Kerajaan atau menyalahgunakan kuasa hingga menyebabkan berlakunya rampasan kuasa di Perak.

“Jika tidak demikian bermakna tindakan dilakukan pihak berkenaan berasaskan semata-mata nafsu. Memuja nafsu dan bertindak seperti gengster,” katanya.

Menurutnya segala yang berlaku kerana Umno membuang sifat taqwa kepada Allah menyerlahkan lagi amalan mereka memisahkan agama dan politik.

Beliau berkata, berdasar kepada tindak tanduk Umno itu membuat rakyat terutamanya golongan cerdik pandai semakin menjauhi parti tersebut.

Tindak tanduk Umno seperti gengstar

“Apabila Umno mencetuskan banyak isu, semakin dibenci golongan intelek, katanya.
Malah katanya, orang muda sekarang melihat pemimpin Umno semacam terkena allergic.

“Seorang bekas mufti mengatakan Umno sekarang sudah menjadi allergic dan saya pula anggap macam penyakit berjangkit yang mesti dijauhi orang ramai," katanya.

Beliau juga berkata, sekiranya seseorang pemimpin itu mendapat kedudukan tinggi kerana amalan rasuah yang diamalkan, mereka tidak layak hidup di muka bumi ini,” katanya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyifatkan Umno sekarang berada dalam kolam najis kerana amalan rasuah sudah sebati dengan pemimpin parti itu.

“Mana rakyat boleh menerima pemimpin sebegitu,” katanya.

http://www.harakahdaily.net/

No comments:

Followers