Sunday, February 15, 2009

Tempoh menunggu yang panjang - siapa untung?


FEB 15 - Tempoh menanti kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah adalah antara yang paling panjang sejak Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengendalikan pilihan raya terakhirnya pada tahun 1969.

Apabila Suruhanjaya Pilihanraya pada 13 Februari lalu menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi bagi kedua-dua PRK itu, ia membuka ruang berkempen hampir dua bulan lamanya. Penamaan calon adalah pada 29 Mac manakala hari mengundi 7 April depan.

Walaupun begitu, tempoh hampir dua bulan ini hanya bersifat tidak rasmi kerana kempen sebenar tetap pendek. Hanya lapan hari bermula dari penamaan calon hingga tengah malam sebelum hari mengundi.

Hanya selepas penamaan calon, pengundi dapat mengetahui siapa calon-calon yang bertanding. Bagi parti-parti pula, hanya pada masa itu poster-poster gambar calon dapat dipasang.
Jadi siapa yang akan untung melalui tempoh menunggu yang lama ini?

Di segi tempoh untuk memujuk dan mempengaruhi pengundi, buat masa ini kelebihan ada pada Pakatan Rakyat. Itu pun dengan syarat bahawa DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat dapat mengambil kesempatan ini untuk bersetuju sebulat suara berhubung parti mana yang akan bertanding dan siapa calonnya.

Jika tempoh ini disia-siakan dengan pertelingkahan siapa kuat dan siapa layak, ia akan memberi ruang kepada Umno dan BN untuk menyerang balas kemudian. Sekarang Umno tidak ada masa untuk menumpukan kepada kedua-dua PRK itu kerana agenda memilih barisan kepimpinan baru mereka pada akhir Mac ini dianggap lebih penting.

Tidak silap dakwaan para pemimpin Pakatan bahawa SPR telah tunduk kepada Umno untuk membolehkan kedua-dua PRK itu diadakan selepas perhimpunan dan pemilihan parti Umno. Lazimnya SPR akan menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi dalam masa tidak lebih 20 hari selepas kerusi dikosongkan.

Baca seterusnya...

-malaysianinsider.com

No comments:

Followers