Tuesday, February 3, 2009

MB, Adun Pas Perak janji tak keluar parti


IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memberi jaminan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas, termasuk dirinya tidak akan keluar parti dan memberi sokongan penuh kepada Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bagi memanggil semua Adun dalam Pakatan Rakyat pada masa terdekat bagi membincangkan berhubung sokongan memantapkan kekuatan Pakatan Rakyat.


"Kestabilan politik Perak tidak akan tergugat dengan apa yang berlaku kerana kerajaan Pakatan Rakyat masih kukuh.

"Tindakan Barisan Nasional (BN) yang mengadakan perjumpaan dengan dua Adun itu Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jong, Osman Mohd Jailu lebih melahirkan perasaan simpati rakyat, sekali gus meraih sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat khas politik Pas membincangkan berhubung pergolakan politik di Perak, di kediamannya, malam tadi.

Selain itu beliau berkata, Perak menyokong penuh jika diadakan pilihan raya kecil di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan berikutan kesan positif yang sudah diberikan dalam pilihan raya sama di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, baru-baru ini.

"Saya yakin, kita mempunyai peluang cerah untuk memenangi dua kawasan itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas Pusat Nasaruddin Mat Isa berkata, mesyuarat khas Pas yang diadakan pada malam tadi bertujuan membincangkan pergolakan politik di Perak, sekali gus persediaan menghadapi pilihan raya jika ia perlu diadakan.

"Mesyuarat itu juga akan membincangkan bersama dengan ahli Pakatan Rakyat untuk menentukan calon sesuai sebagai persediaan pilihan raya kecil nanti," katanya.

No comments:

Followers