Usaha BN pujuk Adun PKR Perak diteruskan
Rundingan untuk memujuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR keluar parti di negeri itu masih berterusan, kata Ketua Penerangan Umno Perak, Datuk Sarani Mohamad.
Sehingga ini, katanya, Adun berkenaan belum membuat keputusan muktamad untuk meninggalkan PKR.
Bagaimanapun, Sarani enggan menamakan Adun terbabit ketika ditanya lanjut mengenainya.
Manakala bekas ketua Pemuda Umno Beruas, Mohd Ali Mansor pula mendakwa, seorang Adun PKR telah menyatakan hasrat untuk keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, katanya, Adun berkenaan kini mendiamkan diri ekoran kemelut politik yang berlaku di Perak.
Katanya, rundingan dengan Adun terbabit sebelum ini menunjukkan tanda-tanda positif beliau akan meninggalkan pembangkang.
“Seorang Adun PKR yang mulanya telah setuju meninggalkan parti itu, kini telah mendiamkan diri.
"Saya tidak tahu sebabnya, tetapi dipercayai ekoran kemelut politik yang berlaku sekarang.
“Bagaimanapun, usaha memujuk dan berunding dengan Adun itu perlu diteruskan kerana kerajaan baru BN dalam keadaan yang tidak cukup kuat," katanya.
Baru-baru ini, empat Adun pembangkang iaitu dua dari PKR dan seorang dari DAP telah keluar dari parti itu dan menjadi Adun bebas.
Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang) dan Osman Zailu (PKR- Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) telah menyatakan sokongan kepada BN.
Manakala Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim - yang menyertai PKR selama 10 hari, kembali semula ke pangkuan Umno, mengikut jejak tindakan tiga bekas Adun Pakatan itu.
-malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment