Friday, February 27, 2009

Kemelut politik Perak diambang penghujung?

Sivakumar putus sidang DUN tergempar 3 Mac

IPOH:Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar berkata beliau akan memanggil satu sidang tergempar dewan itu pada 3 Mac ini bagi membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa kerajaan negeri itu.

Usul pertama daripada ADUN Titi Serong Khalil Idham Lim Abdullah daripada PAS, adalah bagi dewan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, manakala usul kedua oleh Chang Lih Kang (PKR-Teja) memohon supaya dewan itu dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Sivakumar memberitahu pemberita di sini bahawa sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan dalam keadaan DUN bersidang biasa dan bukannya untuk sidang tergempar.

Katanya arahan telah diberikan kepada Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong, untuk menghantar notis secepat mungkin kepada semua ADUN bagi menghadiri sidang tersebut.

Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exco yang telah digantung oleh Sivakumar serta tiga ADUN Bebas yang didakwanya telah meletak jawatan, tidak diberikan notis untuk hadir.

Ditanya sama ada tindakannya memanggil sidang tergempar itu tanpa perkenan Sultan Azlan terlebih dahulu akan dianggap sebagai tidak menghormati baginda, Sivakumar berkata beliau hanya mengikut Perintah Tetap dewan.

Beliau juga enggan mengulas ketika ditanya tindakan selanjutnya jika kesemua ADUN BN enggan menghadiri sidang tergempar itu ataupun jika kesemua 10 ADUN yang tidak dibenarkan hadir itu tetap menghadirkan diri mereka ke sidang tersebut.

Zambry ketika dihubungi enggan mengulas mengenai tindakan Speaker itu dan sekadar berkata : "Itulah sebenarnya watak mereka".BERNAMA

No comments:

Followers