Saturday, February 7, 2009

Surat Terbuka buat Tuanku Sultan Perak

Daulat Tuanku,

Dengan kalimah Bismillah saya menyatakan dan meluahkan perasaan hati saya sebagai anak jati negeri Perak yang masih mempunyai rasa hormat terhadap Tuanku.

Sudilah kiranya Tuanku Sultan dapat meluangkan sedikit masa bergembira Tuanku menyambut perayaan jubli 25 tahun pemerintahan tuanku untuk bersama rakyat memikirkan nasib negeri Perak yang tercinta ini.

Sepanjang 25 tahun Tuanku memegang tampuk pemerintahan beraja di negeri Perak ini, pernahkah rakyat Perak menyatakan apa-apa bantahan mahupun kritikan terhadap Tuanku? Pernahkah disanggah segala keputusan bijaksana Tuanku sebagai bekas Ketua Hakim Negara?

Tetapi kebelakangan ini terutama apa yang berlaku di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar selesai solat Jumaat tadi, adalah suatu fenomena yang baru di dalam kehidupan rakyat Perak.

Bantahan rakyat terhadap Tuanku kini ditunjukkan, dizahirkan tanpa selindung lagi. Rakyat menyatakan rasa marah mereka terhadap keputusan Tuanku yang menafikan hak mereka untuk memilih kerajaan negeri yang mereka mahukan selama ini. Pilihan mereka didalam Pilihanraya Umum ke-12 bulan Mac tahun lalu Tuanku rentap tanpa sebab walaupun setelah Tuanku diberikan hak keistimewaan untuk membuat keputusan bijaksana sebagai bekas Ketua Hakim Negara bagi membela nasib rakyat Tuanku sendiri. Hak membuat keputusan itu sebenarnya hanyalah atas rasa hormat dan sanjungan kerajaan negeri yang ada terhadap Tuanku.

Namun Tuanku telah memilih satu keputusan yang diluar jangkaan akal waras rakyat serta undang-undang yang difahami rakyat. Rakyat begitu kecewa sekali.

Baru 11 bulan rakyat merasakan kemanisan berada dibawah kepimpinan orang-orang yang amanah, berilmu, adil dan berjaya menyatu padukan rakyat Perak tanpa mengira apa agama, bangsa, warna kulit mahupun fahaman politik mereka. Banyak perubahan kearah kebaikan dan juga kearah membendung kemungkaran telah dilakukan oleh Dato Seri Haji Ir Mohammad Nizar Bin Jamaluddin bersama-sama barisan pimpinannya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik dan kerjaya.

Ambillah sedikit masa untuk Tuanku mengenang kembali kesemua Menteri Besar Perak yang telah berkhidmat dibawah Tuanku selama 25 tahun pemerintahan Tuanku di Perak ini.

Siapakah Menteri Besar yang paling berilmu baik duniawi mahupun akhirat diantara kesemuanya? Siapakah yang mempunyai rekod pengalaman kerja yang paling profesional dan berpengetahuan meluas diantara mereka? Siapakah yang boleh menuturkan pelbagai bahasa yang difahami oleh kesemua rakyat Perak? Siapakah yang berjaya menyatu padukan seluruh kaum rakyat Tuanku dan mengumpulkan mereka berbondong-bondong didalam satu program? Siapakah yang begitu berhemah dan berjimat didalam perbelanjaan negeri dan wang rakyat? Siapakah yang boleh mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran didalam setiap permulaan ucapannya? Siapakah yang boleh melaksanakan tuntutan seorang pemimpin dengan menyeru rakyat Tuanku agar tidak meninggalkan solat dan sentiasa memberikan tazkirah serta kuliah subuh dimasjid-masjid dan surau-surau di seluruh pelusuk negeri Tuanku?

Jawapannya sudah pasti Tuanku yang bijaksana dapat meneka dengan tepat. Hanya seorang Menteri Besar yang berkhidmat dibawah Tuanku mempunyai ciri-ciri seperti yang saya sebutkan tadi. Tak lain dan tak bukan ialah Dato Seri Haji Ir Mohammad Nizar Bin Jamaluddin. Seorang insan istimewa kurniaan Illahi yang dipinjamkan oleh Allah Taala kepada Tuanku dan juga seluruh rakyat negeri Perak bagi membina empayar yang cukup gemilang dan dikagumi oleh kawan dan lawan, dalam dan luar negara. Satu empayar yang memisahkan jurang diantara raja dan rakyat, kaum dan adat, kaya dan miskin serta politik dan ideologi.

Namun hari ini, insan istimewa inilah yang Tuanku hambat akibat bisikan syaitan bertopengkan manusia mengelilingi takhta tuanku. Insan istimewa ini jugalah sebenarnya yang Tuanku tabalkan sebagai Menteri Besar Perak dengan izin perkenan rakyat jelata pada Mac tahun lalu. Dan insan istimewa inilah yang Tuanku janjikan keselamatan jawatannya apabila Tuanku memperkenalkan surat akujanji oleh setiap adun bagi memastikan sokongan tidak berbelah bagi kepadanya. Kemanakah hala dan nilai surat akujanji tersebut yang Tuanku seakan lupa serta menidakkan kewujudannya hari ini. Sebagai bekas Ketua Hakim Negara pastinya Tuanku tidak lupa akan berharganya setiap tinta yang diturunkan keatas kertas yang bernama surat akujanji.

Tuanku, jangan biarkan pembisik-pembisik syaitan ini berlegar disekeliling takhta dan memalitkan najisnya merata-rata. Kelak kebebasan Tuanku berfikir dan memerintah akan direnggut oleh kuasa-kuasa jahat yang sudah berani bermain-main di istana.

Dan yang paling bahaya, Tuanku dan rakyat tidak lagi boleh bermesra seperti sediakala. Tembok-tembok besar akan menghalang penglihatan Tuanku terhadap rakyat dan rakyat pula tidak akan memperdulikan kehadiran Tuanku didalam kehidupan mereka.

Jika ini berlaku, sejarah kejatuhan dan kemusnahan kuasa-kuasa raja besar sedunia akan berulang di negeri Perak tercinta. Rakyat akan berbuat sesuka hati mereka dan kuasa-kuasa jahat yang menyorok dibawah tempat bersemayam Tuanku akan bergelak ketawa kerana hajat perut mereka telah terlaksana.

Andai Tuanku kemana-mana, turunkanlah cermin gelap kereta mewah Tuanku dan jenguk-jenguklah keadaan kami sekalian dinegeri ini. Kurangkanlah sedikit kelajuan kenderaan berkilat Tuanku agar dapat kami melambaikan tangan dan menunjukkan kepada anak-anak kami bahawa itulah pembesar dan pemerintah negeri yang keluar dari Istana batu untuk kejalanraya bersama-sama dengan rakyat baginda.

Dengan kalimah Bismillah juga, saya menyeru apalah kiranya Baginda Tuanku dapat mengusir hantu-hantu raya (atau putrajaya) yang kini berangan untuk bersemayam disinggahsana Baginda dan kembalikan hak rakyat agar dapat mereka melaksanakan tuntutan naluri sebagai insan untuk memilih pemimpin yang mereka suka dan percaya. Tidak kira walau yang mana kerana suara rakyat, suara keramat. Pengkhianat bakal dilaknat. Jalankanlah amanat kerana janji Allah haruslah senantiasa diingat.

Bersama-samalah kita mengkaji kembali siapakah yang empunya angkara di dalam episod kelam negeri Perak ini. Adakah 'Hang Jebat Moden' yang menderhaka kepada Tuanku ataupun penasihat zalim Tuanku yang membuatkan rakyat merasakan Tuanku-lah yang telah menderhaka kepada amanah, sanjungan dan harapan rakyat terhadap Tuanku.

Wassalam.

AZIZUL NIZAM BIN ZULKIFLI
Warga Perak Prihatin

1 comment:

~ The Jinggo ~ said...

Aku menyokong penuh agar mandat rakyat dikembalikan.. bukan dari sultan & umuno.. sultan hanya pemerintah... "Pemerintah Adil Pemerintah Yang DiSembah.. Pemerintah Tidak Adil..? didoakan dimasukan di NERAKA Jahannam

Followers