Wednesday, July 15, 2009

Pas menang di Dun Manek Urai

MOHD. Fauzi Abdullah (dua dari kiri) bersama pemimpin-pemimpin PAS selepas memenangi pilihan raya kecil DUN Manek Urai malam ini.

KUALA KRAI: PAS berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai - kubu kuatnya - dalam pilihan raya kecil hari ini dengan majoriti tipis 65 undi.

Majoriti PAS pada Mac 2008 ialah 1,352 undi.

Calon PAS, Mohd. Fauzi Abdullah memperoleh 5,348 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat menerima 5,283.

Bendahari PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli mengakui BN telah memberikan saingan sengit kepada PAS kali ini.

"Jentera BN tidak lemah kali ini... PAS akan buat post-mortem mengapa majoriti yang diterima menurun (sangat)," katanya.

Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Adnan Hussin pada pukul 9.07 malam tadi di sebalik suasana cemas dengan kiraan semula undi di beberapa pusat mengundi sejak 7 malam tadi.

Malah, sejak 7 malam tadi muncul pelbagai desas-desus bahawa masing-masing calon PAS dan BN mencapai kemenangan di kubu kuat PAS ini.

Kerusi itu pernah dimenangi BN pada tahun 2004.

Awalnya disebutkan bahawa calon PAS telah menang dengan majoriti 2,000 undi dan ia turun kepada 1,200; 700; 300 dan akhirnya 106 undi.

Dan, ada ketika calon BN pula dikatakan telah menang dengan kiraan undi antara 31 dan 37 undi selepas undi dikira semula.

Buat pertama kali, twitter digunakan untuk menyebarkan ramalan dan keputusan tidak rasmi itu khususnya oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Kerusi DUN Manek Urai kosong berikutan kematian Ismail Yaacob pada 22 Mei lalu.

Ismail, 60, daripada PAS memenangi kerusi Manek Urai sejak pilihan raya umum 1985 kecuali pada 2004.

Pada pilihan raya umum ke-12, Ismail yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Krai menewaskan Mohamed Zulkifli dari BN dengan majoriti 1,352 undi.

Seramai 12,293 pengundi layak untuk memilih calon pilihan mereka antara Tuan Aziz dan Fauzi.

Kira-kira 87.33 peratus atau 10,736 pengundi daripada 12,293 pemilih berdaftar telah menjalankan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baru pada pilihan raya kecil ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, peratusan itu melepasi sasaran SPR iaitu 85 peratus keluar mengundi.

Hampir 99.2 peratus pemilih adalah kaum Melayu sementara hanya 0.46 peratus Cina, 0.23 peratus India dan 0.11 peratus kaum-kaum lain.

Manek Urai adalah satu daripada empat kawasan DUN dalam kawasan Parlimen Kuala Krai. Tiga lagi kawasan DUN ialah Mengkebang, Guchil dan Dabong.

-mstar.com

Ajijoi ~ Pada saya, SPR telah berjaya membantu BN mengurangkan majoriti Pas dengan mengadakan pilihanraya kecil Dun Manek Urai pada hari bekerja. Ini telah menyebabkan kesukaran kepada pengundi luar untuk pulang mengundi.

Dan perbuatan SPR ini juga telah menyalahi asas tanggungjawab SPR iaitu memastikan kemudahan, keselesaan dan hak setiap pengundi untuk mengundi pada hari pilihanraya.

Ternyata SPR masih lagi merupakan alat dan ejen (barua) penting untuk UBN menghadapi pilihanraya.


No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...