Tuesday, July 21, 2009

Isu lilin: Tidak salah di sisi agama - Timbalan Mufti Kedah

ALOR SETAR - Perhimpunan menyalakan lilin sebagai memperingati si mati bukan amalan keagamaan dan hanya dianggap sebahagian budaya masyarakat bukan Islam.

Berikutan itu, orang Islam yang turut hadir pada perhimpunan seumpama itu, hanya sekadar memberi sokongan moral dan tidak salah di sisi agama.

Timbalan Mufti Negeri Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin ketika diminta mengulas pembabitan orang Islam dalam perhimpunan nyalaan lilin, berikutan kematian kontroversi Setiausaha Politik ahli Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock, menegaskan selagi tindakan itu bukan amalan agama tertentu, ia dibolehkan.

“Lilin bukannya alat keagamaan. Majlis memperingati yang diadakan itu pun tiada unsur-unsur keagamaan. Oleh itu, tidak salah sekiranya rakan-rakan Islam turut hadir memberi sokongan atau penghormatan terakhir,” katanya.

Syeikh Marwazi berkata, penyokong Islam yang hadir kemungkinan sekadar memberi sokongan politik, malah perhimpunan itu juga adalah berlandaskan fahaman politik, dan bukannya keagamaan.

“Mereka yang hadir juga tidak membuat sesuatu yang merujuk kepada perbuatan keagamaan, jika sekadar berdiri bersama lilin, tidak mengapa,” katanya.

Menurutnya, dalam kes ini, isu agama tidak timbul kerana kita hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

“Kehadiran orang Islam di situ hanyalah sebagai menyokong rakan-rakan mereka dalam politik sahaja, dan sekiranya boleh menimbulkan fitnah, eloklah sekiranya mengelak daripada hadir dalam perjumpaan seumpama itu,” katanya.

Malam kelmarin, satu perhimpunan memperingati kematian Beng Hock diadakan oleh pemimpin dan penyokong DAP di Simpang Kuala, di sini yang turut dihadiri pemimpin Kerajaan Negeri daripada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

- sinar harian

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...