Monday, July 6, 2009

Manek Urai tanpa Calon Bebas

Seperti mana pilihanraya kecil yang sebelum ini, calon-calon bebas mencuri perhatian apabila mencuba nasib bertanding menentang calon-calon daripada parti yang besar.

Ramai yang berasa curiga dengan perkembangan calon-calon bebas ini sehinggakan ada yang menuduh mereka sebagai calon upahan daripada parti-parti tertentu untuk memecahkan undi.
Dan mereka-mereka ini sudah pastinya diberikan imbuhan yang agak lumayan.

Tetapi kali ini perkara seumpama begitu tidak berlaku di Manek Urai. Mengapa?

Adakah kerana culaan undi awal-awal lagi memihak kepada parti Pas sehinggakan tiada imbuhan yang ditawarkan kepada calon-calon bebas oleh parti-parti lawan? Pertandingan di Manek Urai dilihat sebagai berat sebelah membuatkan tiada keperluan untuk meletakkan calon-calon bebas bertanding sama.

Walaubagaimanapun, pastikan kemenangan Pas di Manek Urai.

Sah! Hanya satu lawan satu di Manek Urai

Saingan satu penjuru: BN, PAS turun gelanggang


TANDING... Calon Barisan Nasional, Tuan Aziz Tuan Mat (dua kiri) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai menjulang tangan bersama calon PAS, Mohd. Fauzi Abdullah (dua kanan) di pusat penamaan calon di Sekoleh Menengah Sultan Yahya Petra, Kuala Krai hari ini. -fotoTHE STAR oleh Sazuki Embong

KUALA KRAI: Sah! Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan menyaksikan saingan satu penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS.

BN diwakili oleh Tuan Aziz Tuan Mat, 39, manakala PAS pula Mohd. Fauzi Abdullah, 50.

Tuan Aziz yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Fauzi pula ialah Bendahari PAS Kuala Krai dan seorang pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai.

Status mereka sama ada layak tanding ataupun sebaliknya disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Manek Urai, Adnan Hussin kira-kira pukul 11.15 pagi tadi.

Ini merupakan pilihan raya kecil yang ketujuh sejak Mac 2008.

KOMEN CALON

Tuan Aziz yang ditemui selepas proses penamaan calon selesai berkata, jentera Umno dan BN akan bekerja keras untuk menawan kembali kerusi DUN Manek Urai yang pernah disandang BN selama satu penggal sejak 2004.

"Dari apa yang saya lihat mereka banyak memberi sokongan dan dokongan berterusan. Saya akan memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat," katanya.

Ditanya apakah yang dapat beliau janjikan kepada penduduk di Manek Urai sekiranya beliau menang pilihan raya kecil itu nanti, Tuan Aziz berkata: "Manek Urai sebuah penempatan yang berasaskan pertanian."

"Insya-Allah saya akan cuba usahakan untuk memberi tumpuan kepada sektor ini yang menjadi nadi penduduk kampung.

"Saya akan ikut kempen yang telah disusun oleh BN, namun dalam masa yang sama saya akan turun sendiri dan berjumpa dengan orang kampung untuk mendengar sendiri masalah mereka.

"Insya-Allah penduduk di Manek Urai akan bersama saya," katanya.

Mengenai strategi BN menarik kembali sokongan pengundi muda untuk menyokong kerajaan Tuan Aziz berkata: "BN telah meletakkan calon muda dalam pilihan raya kecil kali ini."

"Oleh kerana BN telah mengemukakan calon muda, saya harap mereka (golongan muda) akan beri sokongan kepada kita," katanya.

Sementara itu, Fauzi pula berkata, PAS tidak akan melanggar peraturan sepanjang tempoh berkempen.

"Sebagai sebuah parti Islam kita akan teruskan usaha kita dan bekerja keras untuk pertahankan kerusi Manek Urai," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob pada 22 Mei lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Ismail menang dengan majoriti 1,352 undi menewaskan calon BN, Mohamed Zulkifli Omar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Julai sebagai hari pengundian.

Seramai 12,293 pemilih termasuk 25 pengundi pos layak mengundi kali ini.

Daripada jumlah itu, 12,197 adalah pengundi Melayu merangkumi 99.2 peratus manakala pengundi Cina (56), India (28) dan lain-lain kaum 12 orang.

Penamaan calon telah berlangsung di Dewan Petra Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1 di sini.

Sembilan pusat pengundian akan dibuka dengan jumlah saluran mengundi 27 buah dan petugas pilihan raya seramai 497 orang.

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...