Wednesday, July 8, 2009

90 peratus hotel tiada sijil halal


KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) mengesahkan hanya 170 dapur di lebih 2,000 hotel, termasuk hotel bajet di seluruh negara mempunyai pensijilan halal.

HDC badan bertanggungjawab mengeluarkan sijil halal di negara ini turut mendapati kurang sambutan membabitkan permohonan pensijilan halal berikutan tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan setiap dapur hotel di negara ini perlu mempunyai sijil berkenaan, selain sikap pemilik hotel serta kekeliruan mengenai.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin, berkata daripada jumlah 170 pengeluaran sijil halal kepada hotel itu hanya 15 sijil dikeluarkan kepada hotel bertaraf lima bintang, 23 di hotel empat bintang, 101 di hotel tiga bintang dan 14 di hotel dua bintang.

Menurutnya, HDC berharap dengan pengeluaran sijil halal itu akan meningkatkan keyakinan orang ramai kerana hotel terbabit menerima sijil halal.

“Kami berharap lebih banyak hotel di negara ini tampil membuat permohonan walaupun tiada peruntukan yang mewajibkan mereka berbuat demikian,” katanya pada taklimat media membentangkan maklumat terkini berhubung pensijilan halal untuk industri hotel di Petaling Jaya, semalam.

Jamil berkata, kebanyakan pengguna juga tidak memahami pengeluaran sijil halal kepada hotel kerana mereka beranggapan apabila sijil halal dikeluarkan pemilik hotel tidak boleh menjual arak kepada pelancong asing di hotel mereka.

“Sebenarnya HDC hanya mengeluarkan sijil halal untuk dapur hotel berkenaan iaitu produk dan makanan yang dimasak dan bukannya sijil halal itu dikeluarkan untuk hotel berkenaan disahkan halal,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini HDC menerima 149 permohonan baru untuk pensijilan halal dapur dan 29 sudah diluluskan.

“Permohonan pensijilan halal dari hotel serta industri makanan dan minuman adalah secara sukarela seperti juga industri lain yang tidak mengenakan syarat wajib.

“Kami juga sudah mempertingkatkan sistem pensjilan halal apabila tempoh prosesnya juga dikurangkan bagi menghalang operasi perniagaan pemohon,” katanya.

Menurutnya, HDC turut mengadakan pertemuan dengan Persatuan Hotel-Hotel Malaysia, Persatuan Pemilik Hotel Malaysia dan Persatuan Pelancongan Malaysia kelmarin.

“Dalam pertemuan itu mereka membangkit isu kelewatan penganugerahan pensijilan halal yang dipohon.

“Sebenarnya kelewatan ini berlaku iaitu membabitkan kes lama sebelum kami ambil alih fungsi untuk mengeluarkan sijil halal pada 2008,” katanya.

Katanya, daripada 223 kes kelewatan, 162 daripadanya dokumen tidak lengkap dan lewat memberi maklum balas kepada permintaan HDC berhubung ramuan dan bahan mentah digunakan serta status pembekal.

“Tiga puluh dua daripadanya gagal mendapatkan pensijilan halal kerana tidak mematuhi standard ditetapkan seperti kebersihan dapur, manakala 28 sudah diberikan pensijilan.

No comments:

Followers