Saturday, January 17, 2009

Wahid mendapat tujuh undi pertamanya


KUALA TERENGGANU, 17 Jan: Calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut mendapat tujuh undi pertamanya apabila beliau, isteri serta lima anak mereka mengundi di SK Pusat Cabang Tiga kira-kira jam 8.15 pagi tadi.

Ketujuh-tujuh mereka sampai ke sekolah itu kira-kira jam 8.00 pagi ketika para petugas BN hampir belum ada di luar kawasan mengundi itu.

Sementara itu, pengundian di Kuala Terengganu berjalan lancar dengan para petugas PAS menguasai kebanyakan tempat mengundi kecuali di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman yang dikira banyak dikuasai penyokong BN.

Di tempat mengundi yang lain, SK Wakaf Mempelam, Sk Losong, SK Seri Nilam, SK Pusat Cabang Tiga serta SMK Tengku Bariah yang di tinjau dikuasai para penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar bersama isterinya.

Di situ, para penyokong dikira sama kuat antara BN dan PAS. Namun jirannya iaitu di Pasir Panjang, iaitu di SMK Tengku Bariah, penyokong PAS menguasainya.

Abdul Wahid ketika ditemui di SK Sri Nilam iaitu pusat mengundi untuk Merbau Patah berkata, pihaknya yakin bakal mencapai kemenangan jika tidak ada sebarang masalah besar sepanjang tempoh pengundian yang akan tamat jam 5 petang nanti.

Beliau melahirkan rasa kesal kerana Pegawai Pengurus Pilihan Raya ini, Datuk Mat Razali Kassim terpaksa meletakkan jawatan.

"Ini memalukan orang Terengganu sahaja kerana tidak pernah berlaku perkara sebegini sebelum ini.

"Pengerusi SPR orang Terengganu, Setiausaha orang Terengganu, kedua-dua calon orang Terengganu. Tiba-tiba RO kita Datuk Bandar Kuala Terengganu letak jawatan," kata Wahid kepada Siasah.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid juga yakin pihaknya akan menang berdasarkan segala gerak kerja penerangan yang dibuat menepati sasaran dan berjalan dengan baik.

"Kalau kalah pun kita amat berpuashati dengan kerja yang telah kita buat," katanya kepada Siasah.

Hampir 80,000 warga Kuala Terengganu akan membuang undi hari ini selepas lebih 1000 pengundi pos telah membuang undi sebelum ini.

Proses pengundian bermula pukul 8 pagi ini dan akan ditutup pukul 5 petang.

Pilihan raya kecil ini yang dilihat sengit dan disifatkan sebagai sangat penting untuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat menyaksikan persaingan tiga penjuru.

Persaingan itu membabitkan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dari BN, Mohd. Abdul Wahid Endut (PAS) dan Azharudin Mamat @ Adam (Bebas).

Daripada 80,229 pemilih yang layak mengundi kali ini, seramai 1,035 merupakan pengundi pos di mana kira-kira 96 peratus telah pun mengundi.

Lebih 88 peratus atau 70,834 pengundi di bahagian ini adalah Melayu, 8,735 atau 10.89 peratus pengundi Cina, 518 atau 0.65 peratus pengundi India dan 142 atau 0.18 peratus pengundi lain.

No comments:

Followers