Tuesday, January 20, 2009

PAS bantah konsert Rihanna 13 Februari


PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS membantah penganjuran konsert Rihanna Live in Kuala Lumpur pada 13 Februari ini atas alasan ia tidak sesuai dengan budaya tempatan dan sentimen menghormati rakyat Palestin.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad berkata, pihaknya akan menghantar memorandum bantahan dalam tempoh terdekat kepada syarikat telekomunikasi tempatan, Celcom (M) Berhad yang menaja penganjuran konsert tersebut.

"Penganjuran konsert ini menunjukkan Celcom tidak sensitif dengan budaya ketimuran kerana keperibadian penyanyi tersebut boleh merosakkan akhlak masyarakat di negera kita khusunya golongan remaja," katanya kepada mStar Online.

Tambah beliau, tingkah laku serta cara berpakaian penyanyi antarabangsa itu sangat bertentangan dengan gaya hidup timur dan amalan umat Islam.

"Dalam konsert-konsertnya sebelum ini beliau mempamerkan aksi yang cukup tidak elok dengan budaya kita serta boleh melalaikan," kata beliau.

Selain itu menurutnya, bantahan tersebut juga berasaskan kepada perkembangan terkini apabila rakyat disaran supaya memboikot produk-produk Amerika Syarikat (AS) yang selama ini menjadi sekutu kepada kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.

"Kita perlu boikot bukan sahaja produk malah artis-artis mereka bagi mengelakkan pengaliran wang ke AS.

"Kita sibuk menderma untuk tabung kemanusiaan Palestin, tapi pada yang sama kita sumbangkan duit untuk konsert Rihanna yang secara tak langsung menyumbang kepada
kekayaan AS yang akhirnya digunakan untuk kepentingan Israel," katanya.

Jelas Kamaruzaman, pihaknya sebelum ini pernah mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang meluluskan permit penganjuran konsert tersebut.

"Kita sudah bincang dan mengemukakan surat bantahan kepada DBKL, tapi tiada sebarang reaksi positif, jadi nampaknya kita teruskan usaha bagi membantah penganjurannya dengan berjumpa dengan pihak pengurusan Celcom pula," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata bantahan konsert tersebut bukan beerti PAS mengamalkan sikap antihiburan.

"Kita bukanlah antihiburan, tapi kalau hiburan atau konsert yang dianjurkan itu bertentangan dengan tuntutan Islam serta boleh merosakkan akhlak, kita tetap akan bantah.

"Kalau dianjurkan konsert yang mengikut lunas Islam, sudah pasti kita akan menyokong," katanya lagi.

2 comments:

Cikli said...

rihanna? anak sapa ni... af2 ke af5?

Ajijoi said...

anak nana penang kot? af tu al fadhil ke?

Followers