Monday, January 12, 2009

Gua runtuh, 2 parah, 1 hilang

ANGGOTA bomba dan penyelamat membawa seorang mangsa wanita yang cedera dalamkejadian runtuhan di Kuil Gua Perak di Jalan Kuala Kangsar di Ipoh semalam.


IPOH - "Semasa saya dan sekumpulan kira-kira 20 yang lain menikmati keindahan panorama indah Bandar Raya Ipoh dari puncak kuil, tiba-tiba sebuah bongkah batu kapur jatuh menghempap anak tangga.

"Runtuhan itu menyebabkan kami semua terperangkap selama kira-kira satu jam setengah dan keadaan di dalam gua itu kelam-kabut dan ramai menjerit ketakutan.''

Demikian cerita S. Vickneswaran (gambar kecil), 23, yang merupakan seorang mangsa yang terperangkap dalam runtuhan batu kapur di Kuil Gua Perak di dalam Gunung Tasek, Jalan Kuala Kangsar di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 3.23 petang itu, kira-kira 20 orang terperangkap di dalam kuil yang lebih dikenali sebagai 'Perak Tong' itu.

Dua yang terperangkap itu cedera parah terkena serpihan runtuhan.
Seorang lagi dipercayai masih terperangkap di bawah timbunan batu kapur.
Vickneswaran dari Sungai Siput di sini berkata, sebaik terperangkap, beliau telah menghubungi bomba.

Menurutnya, beliau dan 16 pengunjung kuil lain dapat dikeluarkan oleh anggota bomba pukul 4.50 petang.

Jaga masih terperangkap dalam runtuhan
Seorang lelaki dipercayai pengawal keselamatan Tokong Gua Perak atau dikenali Perak Tong, Jalan Kuala Kangsar, di sini dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan batu dalam gua batu kapur itu, petang semalam.
Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, pengawal keselamatan yang belum dikenal pasti identitinya dipercayai tertimbus, manakala 18 pengunjung termasuk dua daripada mereka berusia 20-an cedera parah dan patah kaki.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika melawat tempat kejadian, berkata pasukan mencari dan penyelamat terdiri daripada polis, bomba dan Rela mengadakan gerakan mencari dan menyelamat bermula jam 3.30 petang berakhir kira-kira jam 6 petang.

"Gerakan mencari dan menyelamat dihentikan bagi menunggu bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Kuala Lumpur. "Selain itu, gerakan mencari terpaksa dihentikan sementara berikutan berlaku keretakan serius dalam gua dan keadaan gelap. Kita akan meneruskannya semula jika keadaan disahkan selamat kerana maklumat awal memaklumkan seorang lagi mangsa dikhuatiri terperangkap dan tertimbus," katanya. Beliau tiba di tempat kejadian jam 5.55 petang.
Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Roshidi Hashim dan Exco Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Komunikasi, Su Keong Siong.
Mohammad Nizar berkata, mangsa pertama berjaya dikeluarkan jam 4.50 petang dan terakhir yang mengalami pendarahan serius serta patah kaki diselamatkan jam 6.55 petang dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini untuk rawatan.
"Siasatan masih dijalankan dan satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian diketuai Pengarah Jabatan Mineral dan Geologi negeri. Bagaimanapun, saya sudah mengeluarkan arahan kepada pengurusan tokong untuk menutup gua berkenaan sehingga mendapat arahan selanjutnya," katanya.
Beliau berkata, kebanyakan mangsa terdiri daripada penduduk tempatan dan masing-masing warga Nepal dan China yang bekerja di bandar raya ini ketika mengunjungi tokong berkenaan sempena cuti hujung minggu. "Maklumat awal menyatakan runtuhan batu berlaku di tengah gua menyebabkan laluan ke atas bukit yang menempatkan empat lagi tokong kecil terputus," katanya.

Ditanya berhubung dakwaan runtuhan berpunca daripada letupan bawah tanah yang berdekatan tokong itu, Mohammad Nizar berkata, siasatan masih dijalankan dan pihaknya tidak dapat mengesahkan punca runtuhan itu.
Jurucakap bomba berkata, tiga jentera bersama kira-kira 30 anggota dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan seorang mangsa jam 3.10 petang.

No comments:

Followers