Sunday, January 18, 2009

Najib: BN terima kekalahan dengan hati terbuka

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak (tengah) ketika mengadakan sidang media selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil Kerusi Parlimen Kuala Terengganu di Seri Iman, Kediaman Rasmi Menteri Besar Terengganu, di sini malam tadi. Turut sama Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said (kiri) dan calon Barisan Nasional Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kanan).


KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) menerima kekalahan calonnya pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan hati terbuka kerana menghormati pilihan rakyat selaras dengan sistem demokrasi di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah parti yang percaya kepada prinsip demokrasi, BN akur dengan keputusan itu kerana "suara rakyat adalah suara keramat". "Ini bukan bererti kita akan hentikan iltizam dan semangat BN untuk terus memberi khidmat kepada rakyat. Kita akan terus berkhidmat berlipat kali ganda untuk rakyat," katanya kepada pemberita di kediaman Menteri Besar Terengganu di Seri Iman di sini, malam tadi

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said; Setiausaha Agung Umno dan BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti 2,631 undi apabila memperoleh 32,883 undi.

Wan Ahmad Farid pula meraih 30,252 undi manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam memperoleh 193 undi dan hilang wang pertaruhan.

Najib berkata, BN akan melaksanakan setiap perkara yang perlu dilakukan bagi menyusun semula imej parti dan apa jua dasar supaya dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada parti itu.

"Saya masih amat yakin bahawa kesudahannya rakyat yakin BN tetap parti terbaik untuk memimpin negara kita," katanya.

Mengenai majoriti lebih besar yang diperoleh calon PAS itu, Najib berkata, BN tidak boleh membuat kesimpulan terhadap perkara itu walaupun ia memberikan tamparan terhadap Umno dan BN.

"Ini pilihan raya kecil...banyak faktor yang boleh tentukan keputusan dan faktor tempatan tidak boleh dibaca sebagai pertimbangan politik peringkat nasional," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri berkata, BN memandang serius keputusan itu dan akan mengkaji secara mendalam hala tuju Umno dan BN.

Beliau bagaimanapun berkata, terlalu awal untuk menentukan punca kekalahan namun sepertimana biasa BN akan melakukan kajian terperinci.

Ditanya sama ada keputusan itu bermakna rakyat menolak BN, beliau berkata: "Ini hanya pilihan raya kecil. Semestinya ia satu tamparan kepada kita (BN) tetapi kita akan terus berkhidmat kepada rakyat dan tidak akan tawar hati dengan keputusan ini.

"Kita akan meneruskan komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik lagi dan membangunkan dan memajukan lagi negara sehingga mencapai tahap kejayaan yang lebih tinggi, insya-Allah," katanya.

Beliau berkata kekalahan itu tidak akan dibincangkan secara khusus pada Konvensyen BN akan datang kerana konvensyen itu bertujuan menentukan masa depan BN secara keseluruhan.
Najib juga menolak andaian bahawa rakyat kini tidak lagi mahukan BN selepas kekalahan kedua parti itu pada pilihan raya kecil selepas di Permatang Pauh pada Ogos tahun lepas.

"Kita pernah kalah dulu (Permatang Pauh) tetapi kita akan sifatkan ini sebagai satu pengajaran yang harus kita timba hikmah dari kekalahan ini (di Kuala Terengganu) untuk kita mengorak langkah ke hadapan dengan lebih positif lagi," katanya.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri juga merasakan kekalahan itu tidak akan memberi kesan kepada prestasi BN pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Ia satu tamparan, tetapi hakikatnya ialah BN masih berkuasa di Terengganu," katanya.

Ditanya mengenai masa depan Wan Ahmad Farid, Najib berkata BN akan menentukan masa depan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu itu selepas ini. BERNAMA


Ajijoi ~ Najib telah gagal dan kecundang dengan teruk sebanyak 2 kali memimpin jentera parti BN (dibaca : kerajaan) didalam pilihanraya kecil peringkat Parlimen (Permatang Pauh dan Kuala Terengganu), orang yang seperti inikah akan kita harapkan untuk memimpin negara Malaysia tiba Mac nanti? Na'uzubillah...

No comments:

Followers