Saturday, January 10, 2009

Perak negeri pertama mengumpul dana untuk membantu rakyat Palestin

Anak-anak kecil ini juga tidak melepaskan peluang untuk turut serta menyampaikan sumbangan berupa wang tabungan mereka untuk rakyat Palestin kepada Menteri Besar Perak.

IPOH (9/1/2009) : Perak merupakan negeri yang pertama mengumpulkan dana untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin. RM1 juta merupakan sasaran bagi mencapai maksud tersebut. Semoga Perak menjadi pemangkin kepada negeri-negeri lain untuk melaksanakan program yang sama.

Program Malam Solidariti Kemanusiaan Untuk Palestin yang dianjurkan bersama Kerajaan Negeri Perak dan Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak (Jama'iy) berjaya menghimpunkan hampir 4,000 rakyat Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Pelbagai kaum dan agama telah bersama-sama menyatakan pendirian mereka mengutuk dan mengecam serangan Israel kepada rakyat Palestin kerana isu Palestin bukan hanya isu agama malah ianya adalah isu kemanusiaan.

Majlis yang dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Hj Ir Mohammad Nizar, Menteri Besar Perak turut dihadiri oleh Setiusaha Kerajaan Perak, Datuk Bandar Ipoh, Exco Kerajaan Negeri Perak, Adun-Adun, Pegawai-pegawai kerajaan, parti-parti politik serta pelbagai pertubuhan dan juga orang ramai.

Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Ust Zulkifli Ibrahim, Pengarah Malam Solidariti Kemanusiaan Untuk Palestin, diikuti oleh Dr Khairuddin Dato' Malek selaku pengerusi Jama'iy.


Cikgu Azmi begitu bersemangat menerangkan kepada orang ramai bahawa kita semua perlu memboikot barangan keluaran Amerika kerana Amerika-lah yang menjadi menyumbang utama kepada ketenteraan Israel.

Ucapan mula menjadi bersemangat dengan dimulai oleh Mohd Hafiz Sabri, wakil mahasiswa daripada Bersatu Perak, wakil Jemaah Islah Malaysia (JIM), Pengerusi Teras Keupayaan Melayu (Teras), Cikgu Azmi Abd Hamid serta seorang wakil yang dibawa khas daripada Palestin.

Cikgu Azmi daripada Teras juga turut melancarkan Boikot Barangan Israel dan Amerika. Amat menarik apabila sebuah pentomim mengenai kesengsaraan rakyat Palestin dipersembahkan oleh pelajar semasa ucapan oleh Cikgu Azmi.

Persembahan multimedia pula menyusul dengan menayangkan video tentang sejarah penaklukan dan peperangan diantara Israel dan juga Palestin serta kezaliman puak rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin. Air jernih tergenang dikelopak mata saya tatkala menyaksikan tayangan video itu terutamanya yang melibatkan kanak-kanak.

Parti politik seperti Pas (Ust Ahmad Awang), PKR (Ayathurai) dan juga DAP (YB Nga Kor Ming)turut mengambil bahagian dengan ucapan yang begitu bersemangat sekali. Keadilan dan keamanan sejagat perlu dituntut walaupun berbeza agama dan bangsa. "Kulit kita mungkin berlainan warna tetapi darah kita tetap berwarna merah yang sama" kata YB Nga Kor Ming disambut dengan sorakan gemuruh hadirin serta laungan Allah Akbar.

Orang ramai yang turut serta hadir bagi menyokong program anjuran kerajaan negeri Perak dan Jama'iy ini.


YAB Menteri Besar Perak melancarkan dana RM1 juta untuk Palestin dengan sumbangan peribadi beliau.

Upacara kemuncak adalah Pelancaran Dana RM1 juta untuk Palestin oleh Menteri Besar Perak dengan pelbagai pihak naik ke pentas untuk menyampaikan sendiri sumbangan mereka kepada Menteri Besar.

Jumlah keseluruhan yang berjaya dikumpulkan pada majlis itu sahaja adalah sebanyak RM127,000.00.

YAB Menteri Besar Perak juga melancarkan sebuah kereta yang digunakan khusus untuk menerangkan isu Palestin disegenap ceruk rantau di negeri Perak ini.










2 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum

Sheikh Ajijoi,

Saya tumpang guna imej dalam posting tuan ni kat blog saya tanpa kebenaran . Saya tak berpeluang nak hadir majlis tu.

TK.

Abufaris

Ajijoi said...

Ya silakan. Benda yang baik tidak mengapa. Saya izinkan.

Followers