Sunday, April 18, 2010

Ulasan buku: Supaya Gelisah Bernilai Ibadah

Ingat lagi keluhan saya bulan lalu mengenai masalah kewangan yang senantiasa menghantui fikiran?

Alhamdulillah, kini fikiran saya kembali tenang. Bukan kerana masalah itu telah menghilang tetapi kerana ada teman yang sudi bertandang.

Teman yang saya maksudkan adalah sebuah buku yang saya beli sewaktu cuti Maulidur Rasul yang baru lalu iaitu buku 'Supaya Gelisah Bernilai Ibadah'.

Buku tulisan Dr. Ibrahim Fiqhy ini bersifat ringan dan mudah dihadam tetapi amat sarat dan padat dengan pesanan dan kupasan-kupasan mengenai kegelisahan dan kesedihan yang melanda umat Islam hari ini.

Beliau berjaya mengalihkan kegelisahan dan kesedihan yang berupa ujian lalu diubah di minda dan fikiran kita sebagai ibadah yang membawa nilai di sisi Allah Subhanahuwataala.

Penulis juga membentangkan sebuah inspirasi daripada ceramah Syeikh Aidh al-Qarny buat pembaca yang sedang dipeluk gelisah.

Antara inti ceramah tersebut adalah :-

  • Setelah kesusahan pasti ada kemudahan.
  • Berfikir dan bersyukurlah.
  • Apa yang berlalu tidak akan kembali.
  • Harimu...harimu.
  • Biarkanlah masa depan hingga ia datang.
  • Bagaimana menghadapi kritikan pedas?
  • Jangan pernah menunggu ucapan terima kasih daripada orang lain.
  • Berbuat baik kepada orang lain akan melapangkan dada.
  • Usirlah waktu luang dengan aktiviti.
  • Keputusan dan ketentuan.
  • Buatlah daripada lemon minuman yang nikmat.
  • "Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesusahan." (an-Naml: 62)
  • Ganti daripada Allah.
  • Iman adalah kehidupan.
  • Ambillah madunya dan jangan rosak sarangnya.
  • "Bukankah dengan berzikir dapat mententeramkan hati." (ar-Ra'du: 28)
  • "Atau mereka dengki kepada manusia (Muhammad) lantaran kurnia yang Allah telah berikan kepadanya?"
  • Terimalah hidup apa adanya.
  • Menghiburkan orang yang ditimpa musibah.
  • Solat...solat.
  • "Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung." (Ali Imran: 173)
  • "Katakanlah: Berjalanlah di muka bumi." (al-An'am: 11)
  • "Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku)." (Yusuf: 18)
Yang paling terkesan di hati saya apabila membaca buku ini sehinggakan terasa hati mula berair lalu mengalir dari celahan kelopak mata apabila membaca pandang sisi buku ini oleh idola saya, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tuan Guru menulis:

Bagi orang yang beriman, dia kena tahu bahawa Allah jua yang mendatangkan ujian-ujian ini. Jika dirujuk kepada al-Quran, salah satu ujian adalah untuk menguji dan mengasingkan orang beriman dengan orang yang kurang beriman. Wahai orang yang beriman, tolong tengok-tengoklah maksud ayat ini:

"Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan (begitu sahaja dengan) mengatakan: Kami telah beriman sedangkan mereka belum diuji lagi. Dan sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (al-Ankabut: 2-3)

Selaku orang yang beriman, apabila kita ditimpa musibah, kita kena cepat-cepat ingat kepada Allah Taala dan kembali kepada-Nya. Dengan kembali kepada Allah Taala, kita sudah berada di dalam sebuah hamparan bernama ibadah yang sangat luas. Mengambil kesempatan di atas kegelisahan musibah dengan menukar keadaannya itu adalah sebuah kebijaksanaan.

Mukmin yang bijaksana adalah mukmin yang tidak terlalu cepat merungut dan mencari manusia untuk bercerita. Seorang mukmin adalah seorang yang cekal dan tabah mengharungi ujian yang sengaja dibawa di hadapan-Nya. Hatinya penuh tepu dengan Allah Taala kerana sebelum datangnya ujian, dia sudah lama mengenali sifat-sifat Allah Taala.

Allah Taala menguji bukan bermakna Dia membenci. Bahkan itu tandanya orang itu sedang dirahmati kerana diberi perhatian.

Memang tepat sekali. Manusia bukanlah tempat mengadu segala masalah kerana manusia juga tetap lemah seperti kita. Sebaliknya Allah Taala adalah sebaik-baik tempat mengadu dan tempat pengharapan bagi menyelesaikan segala bentuk ujian dan masalah.

Dapatkanlah buku ini sebagai panduan untuk kita menukarkan segala kegelihan supaya bernilai ibadah di sisi Allah Taala.

Wallua'lam.

Harga : RM15.00
Terbitan: Kemilau Publika Sdn Bhd

No comments:

Followers