Wednesday, April 7, 2010

Hansard Parlimen: Pendedahan Anwar tentang agen Yahudi di dalam PDRM


(P/S : SILA FOKUS KEPADA TULISAN WARNA MERAH )



Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-
Pertua. Selamat kembali bertugas.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Alhamdulillah. Sihat wal’afiat,
mudah-mudahan lebih sihat dan sabar dalam...

Tuan Yang di-Pertua: Kalau senyap selalu sentiasa sabar. [Ketawa] Sentiasa
sihat. Kalau nanti bising-bising lagi akan sakit balik. [Ketawa] Jadi yang doa-doa itu tinggal doa sahaja. Sila teruskan.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Anggaran perbelanjaan
mengurus tambahan kedua menyentuh Jabatan Perdana Menteri dan ada kaitan
dengan SPRM dan Kementerian Dalam Negeri. Saya hanya rujuk kepada Global
Strategic Communications Campaign dan saya ingin memberi makluman kepada Dewan ini sambungan daripada isu-isu yang dibangkitkan dan kebimbangan kita tentang faktor keselamatan negara.

Saya rujuk kepada PDRM, satu projek yang dikenali sebagai APCO P25. APCO
P25 ini diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri menelan belanja RM980 juta dan kini RM999 juta di bawah kelolaan APCO International. Hal ini Tuan Yang di-Pertua, tidak saya sentuh dalam kenyataan minggu lalu. Kebimbangan saya ialah kerana ia ada kaitan kerana syarikat yang sama yang berkaitan juga diberikan kontrak RM900 kepada melalui Kementerian Pertahanan mengusahakan Taman Teknologi Sungkai 1,100 ekar.

Perkara ini mula didedahkan sejak tahun 2008 bulan Julai, apabila Tan Sri Musa
Hasan, Ketua Polis Negara mengejutkan dengan kenyataan bahawa beliau maklum dengan izin, “We were aware of the involvement of the Israelis in the Communications System Upgrading Project. We informed the Home Ministry as soon as we learned about it.”

Bila kita bincang sekarang Tuan Yang di-Pertua, ada dua orang petugas
daripada syarikat yang berkenaan di bilik server Bukit Aman, di tingkat 2 dan 3 -
sekarang meneliti bagi pihak syarikat yang berkenaan yang ada kaitan dengan apa yang disebut oleh Ketua Polis Negara. Pada bulan Julai berikutnya, Tan Sri Robert Pang, Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia menyerahkan sebahagian dokumen kepada BPR. Pada Oktober 2008, Yang Berhormat Ipoh Timur bangkitkan isu ini di Parlimen dengan beberapa makluman tetapi diketepikan dan dinafikan dengan sepintas lalu oleh Menteri Dalam Negeri.

Pada bulan November dan Disember, laporan polis dibuat oleh pegawai yang
bertanggungjawab di PDRM oleh pegawai polis dan disiasat oleh ASP Sairah. ASP Sairah kemudian dipindah ke Taiping dan tidak ada kemajuan tentang siasatan ini. Pada 23 November 2008, Menteri Dalam Negeri pada ketika itu mendapat taklimat khas pada jam 4.00 petang di Bilik VIP, KLIA kerana dibangkitkan oleh PDRM terutama Jabatan Logistik, Ketua Polis Negara dan Cawangan Khas tentang kehadiran risikan tentera Israel di PDRM Teknologi Maklumat seperti mana yang telah saya jelaskan di tingkat 2 dan 3 sekarang.

Pada 1 Disember 2008. Pengarah Jabatan Logistik, Datuk Mashuri Zainal
menulis kepada Badan Pencegah Rasuah pada ketika itu mengenai projek APCO P25 ini yang dikenali dengan Police Reporting System (PRS), fasa ketiga pembekalan dan penyelenggaraan 1,2,3, kepada Syarikat Masterplan Consulting Sdn. Bhd. Dalam surat itu disebut, “Pada Mei 2008, Pengarah Logistik Polis Diraja Malaysia menerima laporan daripada Pengarah Cawangan Khas berkenaan dengan penglibatan dua bekas pegawai tentera risikan Israel dalam projek PRS PDRM oleh MPC.”

Ini saya rujuk surat 1 Disember oleh Pengarah Jabatan Logistik, Datuk Mashuri
Zainal. Pada bulan Ogos 2008, dalam surat ini juga Cawangan Khas mengesahkan penglibatan Israel melalui syarikat - sekarang disebut nama Syarikat Asiasoft Malaysia sebagai subkontraktor. Dalam surat pengarah logistik juga disebut bahawa Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia mengesahkan Asiasoft mempunyai dua pemegang saham Bees System Sdn. Bhd - RM70%, Asiasoft Pte. Ltd. - 30%. Didaftar di Singapura dan dikuasai oleh Asiasoft Global Private - berpangkalan di Tel Aviv, Israel. [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua: Nanti dahulu Ahli-ahli Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang
Berhormat, Yang Berhormat Permatang Pauh dalam berucap ini harus ambil kira Peraturan Mesyuarat 36(12).

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ya.

Tuan Yang di-Pertua: Sila.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya faham.

Tuan Yang di-Pertua: Pokoknya Yang Berhormat sedar itu. Sila

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Sedar. Sebab itu saya perhati
dan saya doakan Tuan Yang di-Pertua supaya adil dan bijaksana.

Tuan Yang di-Pertua: Kerana Yang Berhormat sekarang sedang merujuk
kepada dokumen-dokumen yang spesifik.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Yes.

Tuan Yang di-Pertua: Sila teruskan.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Dua Pengarah Asiasoft di Israel
ialah Izhak David Nakar dan Ido Schechter. Oleh yang demikian kesimpulan surat logistik ini ialah:

(i) Jabatan Logistik dengan ini mencadangkan agar Kementerian Dalam Negeri segera menamatkan kontrak tersebut kerana mengancam keselamatan negara; [Tepuk]

(ii) Alasan dalam surat itu bahawa Asiasoft sebagai subkontraktor telah tidak mendapat kebenaran bertulis daripada kerajaan, oleh yang demikian wajar ditamatkan; dan

(iii) Tidak ada yang berlaku pada 28 November 2008 - laporan polis telah dibuat oleh pegawai-pegawai yang berkenaan di IPD Dang Wangi mengenai pengisytiharan palsu MPC.

Pada 3 Disember, Jabatan Logistik menulis sekali lagi kepada Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri untuk perhatian penasihat undang-undang mengulangi kenyataan laporan kepada BPR yang saya sebutkan tadi. Pada 7 Januari 2009, Jabatan Logistik menulis sepucuk surat kepada Penasihat Undang-undang, Kementerian Dalam Negeri dengan judul sedemikian. Jabatan Logistik setelah mendapat maklumat daripada Cawangan Khas kelulusan Ketua Polis Negara, “Cadangan penamatan kontrak akibat pemecahan kontrak dan penglibatan tentera perisik Israel dalam syarikat sub kontraktor yang dilantik oleh Master Plan Consultancy Sdn. Bhd. dan DiGi.Com Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama”. Itu pada 7 Januari.

Penasihat Undang-undang, Kementerian Dalam Negeri menjawab kepada Pengarah Jabatan Logistik pada 12 Januari 2009 mengatakan perkara ini dirujuk kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, MAMPU dan Bahagian Teknologi Maklumat Kementerian Dalam Negeri dan prosedur penamatan akan hanya dilakukan setelah mendapat arahan pengurusan tertinggi PDRM. Tuan Yang di-Pertua, kesimpulannya.

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Eh..eh. [Bercakap tanpa
menggunakan pembesar suara]

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Judul atau kontrak...

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Pokok Sena, mahu perli Yang
Berhormat Permatang Pauh atau perli Speaker? [Ketawa]

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Dia terpegun.

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Saya tidak perli. Saya ingatkan
orang Tanah Liat, rupa-rupanya orang Israel.

Tuan Yang di-Pertua: Saya dengar “eh..eh..eh”. [Ketawa]

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Minta laluan Yang Berhormat
Permatang Pauh sebelum kesimpulan. Yang Berhormat Permatang Pauh mulakan dengan memetik peruntukan di bawah Global Strategic Communication Campaign di antara Kerajaan Malaysia yang membabitkan FBC Media Limited, Tuan Yang di-Pertua.

Kerajaan Malaysia untuk program Global Strategic Communication Campaign Yang
Berhormat Permatang Pauh, engaged dengan izin dengan FBC Media dan Dewan diminta untuk meluluskan RM28 juta. FBC Media pula, Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Permatang Pauh, engaged APCO Worldwide di London dan bayar USD70,000. Saya merujuk kepada lobbying report. Di Malaysia boleh sembunyilah, tetapi di UK dan di Amerika Syarikat tidak boleh. Mereka perlu isi apa yang disebut Lobbying Disclosure Act 1995 - seksyen 5, diisi oleh APCO Worldwide untuk pelanggannya FBC Media UK Limited. Yurannya ialah USD70,000 untuk spesifik lobbying issues dengan izin, “Raging awareness of the importance of policies in Malaysia, that are pro-business and pro-investment as well as significant of reform and anti-terrorism efforts in that country.”

Bajet 2009 ini kita perlu lulus RM28 juta. Bajet Tambahan Pertama 2010 nanti di bawah Prime Minister’s Department juga RM42 juta lagi untuk perunding komunikasi. Itu yang kita sudah tahu RM70 juta. Yang Berhormat Permatang Pauh saya ingat landing lah dengan kesimpulan.

Kita sebenarnya memberikan gambaran apa? Sudah beberapa kali waktu kita
dedahkan kita dicabar, “Takkanlah Kerajaan Malaysia seperti itu sekali, takkanlah kita hendak jual maklumat rahsia negara, takkanlah kita tidak ambil berat. Takkanlah, takkanlah, takkanlah”. Itulah yang saya dengar. Hari ini kita beri faktanya, kita beri dokumennya dan mereka akan bunyi lagi, “takkanlah, takkanlah.” Jadi, Yang Berhormat Permatang Pauh saya tidak mahu panjang lagi. Saya hendak serah kepada Yang Berhormat Permatang Pauh untuk buat kesimpulan. Terima kasih. [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua: Takkanlah ucapan itu tidak dihabiskan? [Ketawa]
Silakan Yang Berhormat Permatang Pauh.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, terima
kasih Yang Berhormat Machang. APCO seperti mana saya dedahkan mempunyai satu level of sophistication dan dia tidak berfungsi semuanya terutama APCO. Malah kontrak RM980 juta yang disebut APCO 4-25 PDRM - Utusan Malaysia yang bertugas untuk membantu menyelamatkan partinya, menukar sekarang ini bukan APCO 4-25 tetapi projek itu dikenali sebagai RMP Net. Jadi, APCO tenggelam dan terpadam dengan sendirinya. Akan tetapi, seperti mana yang disebut oleh Yang Berhormat Machang, terima kasih. Seperti juga dengan FBC Media, Asiasoft, kaitannya sama.

Tuan Yang di-Pertua, kita boleh cerca, boleh fitnah dan boleh hukum. Oleh sebab itu bila kita bentangkan di sini kita berikan nama dan kita berikan tarikh surat surat itu dihantar. Kita berikan laporan yang dibuat oleh pegawai-pegawai yang punyai kesedaran ada batasnya bagi mereka untuk menelan apabila negara secara langsung terlibat – minggu lalu saya sebut APCO dari segi missionary propaganda ini sudah masuk ke bidang keselamatan negara. Kementerian Pertahanan saya sebut Taman Teknologi Sungkai, Kementerian Dalam Negeri termasuk server yang mempunyai nadi kepada seluruh. Kementerian boleh ambil sikap mengetepikan begitu sahaja, tetapi Tuan Yang di-Pertua percaya, tidak banyak negara yang membuat kerja sesumbang yang kita lakukan. [Tepuk]

Bicara keras menentang Israel, tidak mengiktiraf Israel, marah dan kesal apabila ada pembunuhan rakyat yang tidak berdosa, wanita dan anak-anak Gaza dan Palestin tetapi bersekongkol dengan satu rejim Zionis yang kejam. [Tepuk]

Saya mahu Menteri Dalam Negeri sekarang walaupun perjanjian ini dibuat
sebelum Menteri yang ada sekarang.

Seorang Ahli: Letak jawatan. [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya mahu...

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Permatang Pauh, kita perlu buat
standing order kalau tepuk meja kuat-kuat dan Speaker juga ada kuasa untuk mengarah keluar. [Ketawa] Jadi, ingat Yang Berhormat jangan tepuk kuat-kuat. Silakan Yang Berhormat Permatang Pauh.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, tepuk
kerana perkara ini terlalu serius ini bukan soal politik kepartian.
Tuan Yang di-Pertua: Saya faham.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya ajak Tuan Yang di-Pertua
sendiri sebagai seorang rakyat Malaysia bagaimana boleh kita timbang, terima dan condone perkara yang senakal dan biadab begini.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: [Bangun]

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: [Bangun]

Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: [Bangun]

Tuan Yang di-Pertua: Ada tiga, Yang Berhormat Permatang Pauh.

Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Balik Pulau sedikit.

Tuan Yang di-Pertua: Mana satu?

Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Balik Pulau sedikit.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Beri laluan kepada Yang
Berhormat Kuala Selangor.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya menekuni segala kisah yang dibuat oleh Yang Berhormat Permatang Pauh sebentar tadi dan saya kira sahabat sahabat saya di sebelah sini mahupun di sebelah sana cukup berasa terpanggil untuk terus dengan segala pertanggungjawabannya, bangkit seperti mana pernah kita lakukan secara by partisan, secara sebulat suara kerana isu ini bukan lagi isu politik, Tuan Yang di-Pertua, jelasnya ia adalah isu keselamatan negara. Jikalau sedikit waktu dahulu Yang Berhormat Permatang Pauh boleh dipersalahkan kerana cuba mahu menghubungkaitkan.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Kuala Selangor, ini hujah berasingan
atau minta penjelasan daripada Yang Berhormat Permatang Pauh.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Minta penjelasan sedikit sahaja. Cuma
mukadimahnya panjang sedikit.

Tuan Yang di-Pertua: Akan tetapi pada pandangan saya ada ciri-ciri ucapan
seolah-olah ucapan membela.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Mukadimah itu seperti Ibnu Khaldun.

Tuan Yang di-Pertua: Mencelahlah, mintalah penjelasan daripada Yang
Berhormat Permatang Pauh.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Sedikit sahaja.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Permatang Pauh tidak perlu dibela.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Lalu saya minta Yang Berhormat Permatang Pauh, apakah bersedia juga mengajak kawan-kawan - sahabat-sahabat Ahli Parlimen di sebelah sana supaya kita bangkit bersama-sama untuk terus menegaskan bahawa kerajaan ini dan negara ini wajar dipertahankan wibawa dan kedaulatannya dengan segera memberhentikan segala apa juga yang berhubungan dengan APCO Worldwide dan segala syarikat-syarikat strategic partner yang lain. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Yang Berhormat
Permatang Pauh laluan sedikit beri kepada Balik Pulau, lanjutan sedikit.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Lebih baik saya memberi laluan
dahulu sebelum saya menjawab.

Tuan Yang di-Pertua: Silakan Yang Berhormat Balik Pulau.

Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Bukan! Ini perlu
dijelaskan sebab Yang Berhormat Machang bangun mengatakan maklumat dapat kerana di UK yang saya pun maklum kerja-kerja melobi ini ialah kerja-kerja mengikut perundangan. Bukan mendapat maklumat secara rahsia. Kerja-kerja melobi di Malaysia sahaja kerja haram. Jadi, ini perlu diperjelaskan kerana saya tidak mahu...

Tuan Yang di-Pertua: Boleh Yang Berhormat Balik Pulau, hujah itu kita reserve
untuk perbahasan nanti sewaktu usul di bawah 27(3) itu.

Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Ya. Okey. Saya
pendekkan. Minta Yang Berhormat Permatang Pauh jelaskan, sebenarnya maklumat yang dibentangkan di Dewan yang mulia ini, adakah maklumat yang bersifat maklumat awam yang sebenarnya boleh didapati bukan seperti yang dikatakan oleh Yang Berhormat Rembau? Saya mohon penjelasan.

Tuan Yang di-Pertua: Silakan Yang Berhormat Padang Serai.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Terima kasih Tuan Speaker dan juga
Yang Berhormat Permatang Pauh. Apabila saya dengar daripada Yang Berhormat Permatang Pauh bagaimana ada agen-agen Israel boleh duduk dalam bangunan Bukit Aman dalam nadi perisikan Polis Diraja Malaysia. Saya andaikan bahawa saya melihat ini seperti Barisan Nasional sudah serah maruah dan kedaulatan negara ini kepada Israel. Saya rasakan macam itu.

Saya mahu tanya kenapa rakan-rakan yang selalu seperti Yang Berhormat
Rembau dan Yang Berhormat Kota Belud lintang-pukang mereka apabila Yang
Berhormat Permatang Pauh mengatakan tentang APCO, mereka mengatakan itu dan ini. Akan tetapi, hari ini apabila saya mendengarkan ini, saya merasakan mereka ini bagaikan penderhaka kepada negara ini!

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Padang Serai.

Datuk Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Tolong tarik balik.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Saya mahu tahu kenapa mereka...

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Padang Serai.

Datuk Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Tolong tarik balik.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Padang Serai. Yang Berhormat Padang
Serai.

Datuk Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Tolong tarik balik, Tuan Yang di-
Pertua. Suruh dia tarik balik Tuan Yang di-Pertua.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Saya mohon pendapat Yang
Berhormat Permatang Pauh.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Padang Serai.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Saya mohon pendapat Yang
Berhormat Permatang Pauh tentang...

Tuan Yang di-Pertua: Duduk dahulu Yang Berhormat Padang Serai. Sesak
sudah dada saya Yang Berhormat Padang Serai. Duduk sekejap dahulu. [Ketawa]

Datuk Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Suruh dia tarik balik Tuan Yang di-
Pertua.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Padang Serai! Sila duduk dahulu. Kalau
berhujah, jangan mengundang gaduh. Politik, politik juga. Akan tetapi kalau menimbul kekecohan, terpaksa saya mengambil tindakan. Saya benarkan mencelah minta informasi daripada Yang Berhormat Permatang Pauh bukan mengundang pergaduhan daripada Yang Berhormat Rembau sama Yang Berhormat Kota Belud.

Datuk Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Tarik baliklah. Tarik balik
menderhaka itu.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Saya...[Bercakap tanpa
menggunakan pembesar suara]

Tuan Yang di-Pertua: Tidak ada tarik, tarik balik. Sila. Yang Berhormat Kota
Belud duduk. Sila, sila.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: [Bercakap tanpa menggunakan
pembesar suara]

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Padang Serai. Yang Berhormat Padang
Serai. Yang Berhormat Padang Serai! Minta penjelasan Yang Berhormat Permatang Pauh, bukan di situ, di sini sama Yang Berhormat Permatang Pauh. [Ketawa] Habiskan ucapan. Sila habiskan penjelasan. Jangan provoke Yang Berhormat Rembau sama Yang Berhormat Kota Belud. Sila Yang Berhormat Permatang Pauh, Yang Berhormat Padang Serai sudah selesai kerana provokasi tidak disambut. [Ketawa]

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-
Pertua. Saya ucap terima kasih kepada rakan yang pertamanya tadi dari Kuala Selangor yang meminta kalau boleh penyertaan semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti. Apabila dalam isu APCO dan kini memang projek itu dikenali dengan APCO P25 walaupun tidak dikaitkan secara langsung dengan APCO dan sekarang ditukar namanya.

Akan tetapi, saya sudah mengeluarkan bukti dengan keterangan sebahagian
sahaja dahulu. Saya mahu melihat bagaimana Menteri Dalam Negeri ataupun Perdana Menteri hendak respons dan saya akan dedahkan maklumat lagi. Ini kerana bagi saya ini isu keselamatan dan kebetulan Ketua Polis Negara dan Jabatan Logistik dan Cawangan Khas sependapat mengesahkan tentang wujudnya – dan saya tidak faham setelah begitu, bagaimana pendapat ini dengan pengesahan diketepikan begitu sahaja kerana kontrak RM1 bilion. Apakah RM1 bilion boleh menggadai semua prinsip dan maruah kita?

Bagaimana harus kita terangkan? Kita belanja RM40 juta, RM20 juta, RM100
juta pergi ke Amerika, Eropah untuk melobi kekuatan kita, menutup keaiban seperti mana yang dilakukan APCO seperti yang terbukti dalam Harper’s Report. Boleh tutup semua kezaliman yang berlaku, tidak ada rule of law, jenayah, rasuah kerana membayar APCO untuk memberikan gambaran yang lunak. Akan tetapi, apakah boleh dipadamkan kenyataan ini? Kenyataan ini tidak boleh dipadamkan kerana kalau saya dicabar mana surat, itu tanggungjawab Menteri Dalam Negeri.

Tuan Yang di-Pertua, saya sengaja menyebut tarikh, siapa menulis kepada
siapa. Ini kerana kalau tidak, kawan-kawan saya sebahagiannya akan hanya menjerit dan mengatakan saya memfitnah tanpa bukti. Sebab itu sengaja saya sebut dan kebetulan Yang Berhormat Kota Tinggi ada. Yang Berhormat Kota Tinggi juga hadir bahkan mempengerusikan...

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: [Bangun]

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Mesyuarat di bilik VIP KLIA jam
4.00 petang.

Datuk Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Ha. Jawab. Jawab. [Tepuk]

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Penjelasan sedikit.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Jadi, hal ini saya harap dapat
seperti mana yang diminta oleh Yang Berhormat Kuala Selangor, jangan kita guna partisan politik dalam isu ini. Ada fakta, kita kemukakan.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Minta penjelasan sedikit.
Terima kasih.

Tan Sri Dato’ Seri Syed Hamid Albar [Kota Tinggi]: [Bangun]

Datuk Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Yang Berhormat Kota Tinggi. Bagi
Yang Berhormat Kota Tinggi.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Yang Berhormat Kota Tinggi
dahulu? Okey. No problem. [Ketawa]

Tan Sri Dato’ Seri Syed Hamid Albar [Kota Tinggi]: Ini saya – Tuan Yang di-
Pertua, saya minta penjelasan kerana nama saya....

Tuan Yang di-Pertua: Nanti dahulu Yang Berhormat Kota Tinggi. Apa ini?
Penjelasan yang dibuat 37(1)(a)(b) ataupun responding?

Tan Sri Dato’ Seri Syed Hamid Albar [Kota Tinggi]: Responding to what...
Tuan Yang di-Pertua: Okey. Sila.

Tan Sri Dato’ Seri Syed Hamid Albar [Kota Tinggi]: Tuan Yang di-Pertua,
terima kasih. Saya hendak tahu Yang Berhormat, Yang Berhormat membuat pelbagai tuduhan dan andaian dan banyak fakta-faktanya tidak mempunyai rangkaian untuk mengatakan betul atau tidak betul. Ini mengatakan saya ada di situ mempengerusikan mesyuarat, itu adalah satu perkara yang bohong! [Tepuk] Itu sahaja Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Jangan cepat hukum bohong
atau tidak. Mesyuarat masa itu, Menteri Dalam Negeri minta mesyuarat diadakan di bilik VIP KLIA 4.00 petang, 23 November 2008 diselaraskan oleh Menteri, hadir sama termasuk Pengarah Jabatan Logistik PDRM. Sepatutnya semak dahulu diari, jangan cepat sangat. Kalaupun tidak sebut, mungkin istilahnya mungkin mesyuarat, mungkin istilahnya pertemuan untuk mendapatkan laporan. [Ketawa] Okey. Saya boleh terima.

Akan tetapi, point nya apa? Point nya untuk mendapatkan penjelasan dan memberikan penjelasan tentang Laporan Cawangan Khas dan Logistik dan surat-surat yang saya sebutkan tadi. Surat...

Tan Sri Dato’ Seri Syed Hamid Albar [Kota Tinggi]: [Bangun]

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Yang Berhormat Kota Tinggi,
surat rasmi oleh Pengarah Jabatan Logistik...

Tan Sri Dato’ Seri Syed Hamid Albar [Kota Tinggi]: Tuan Yang di-Pertua,
minta Yang Berhormat Permatang Pauh – saya fikir saya selaku Menteri Dalam Negeri, banyak mesyuarat yang saya hadir. Akan tetapi, Yang Berhormat mesti tentukan apakah bentuk dan jenis kita punya perbincangan. Itu biasa sahaja kita ada itu. [Ketawa]

Akan tetapi, Yang Berhormat mengatakan Jabatan Logistik, APCO, ini semua
perkara-perkara Yang Berhormat telah mengelirukan Dewan yang mulia ini. [Dewan riuh]

Tuan Yang di-Pertua: Sila. Sila. Duduk dahulu Yang Berhormat. Terima kasih
Yang Berhormat Kota Tinggi.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Ini pun yang keliru. Hendak jadi
Menteri sekarang.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Padang Serai. Ahli-ahli Yang Berhormat,
di sinilah letak dilema yang paling besar untuk Speaker kerana sebagai Speaker, kami sesungguhnya kami bukan hakim yang boleh meminta dokumen-dokumen yang tertentu sebagai evidence.

Tugas pertama kami ialah untuk mempengerusikan Mesyuarat supaya berjalan
dengan lancar dan licin. Jadi, maka itu perkara-perkara seperti begini kalau ada
umpamanya hujah daripada Pembangkang secara kebetulan ada Yang Berhormat Kota Tinggi, balas-berbalas dengan cara baik. Jangan gunakan perkataan-perkataan seperti berbohong dan sedemikiannya kerana itu juga tidak baik.

Jadi, Yang Berhormat Permatang Pauh sudah saya ingatkan tadi bahawa dalam
berhujah ingat 36(12). Ini kerana mana tahu nanti yang sebelah itu pun ada bukti-bukti tertentu bahawa yang itu tidak betul di bawah 36(12). Jadi, saya bersikap adil dalam soal ini. Sila teruskan.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tidak mengapa. Saya maafkan
Menteri kerana dia bekas Menteri sebab Yang Berhormat Kota Tinggi bila saya berikan tarikh surat-surat itu dia tidak ada. Dia tidak datang, bila sebut nama dia itu dia terkejut sedikit. Itu biasalah.

Akan tetapi, saya sebut mesyuarat itu dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri,
Pengarah Jabatan Logistik, Datuk Khairy Cawangan Khas, Superintenden Wahab Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri, ASCII, Rosli Abdul Rahman Timbalan Pengarah.

Tidak mengapa, sekadar hendak menjelaskan, jangan gopoh untuk menolak pandangan
ini. Ini kerana sebab itu saya sengaja mengaitkan surat-surat yang berkaitan. Yang Berhormat Pasir Salak.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih saudara Yang
Berhormat Permatang Pauh dan juga Tuan Yang di-Pertua. Saya juga amat bersetuju dengan Yang Berhormat Permatang Pauh, kita perlu menjaga keselamatan negara supaya tidak terancam sama ada dari segi politik ataupun ekonomi dan sebagainya. The concern, kebimbangan yang amat sangat ditunjukkan itu, saya tertanya-tanya ingin bertanya kepada Yang Berhormat. Yang Berhormat, dalam pengetahuan Yang Berhormat adakah kemungkinan besar Israel ini ada menjadikan Malaysia ini sebagai satu target untuk satu perancangan? Ada dalam pengetahuan Yang Berhormat yang menyebabkan begitu concern dan bimbang, apa agaknya matlamat Israel ini terhadap Malaysia ini? Terima kasih.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Yang Berhormat
Pasir Salak sepatutnya tanya kepada orang yang melantik Israel itu. Akan tetapi tidak apa, kerana dia sahabat, saya hendak jawab. Sebelum itu Yang Berhormat Balik Pulau bangkitkan soal lobi, saya tidak mahu sentuh kaitan dengan Yang Berhormat Rembau.

Saya ikut nasihat Tuan Yang di-Pertua.

Maklumat yang saya bentangkan minggu lalu, itu boleh kita Google search
kerana mana-mana perjanjian yang dibuat seperti mana yang disebut oleh Yang
Berhormat Machang, kalau APCO dengan Israel, itu berpangkalan di Amerika dan di Tel Aviv, maka perjanjian itu mesti dibentangkan di Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

Kalau APCO dengan Malaysia dengan Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia, itu juga di daftar, maklumat itu kita dapat. APCO dan Kerajaan Malaysia, itu belum saya dapat. Sekarang ini APCO, FCB, itu Yang Berhormat Machang boleh Google. Jadi cerdiklah sedikit, cari Google dan boleh cari, dapat. Kita perlu guna kecerdasan akal sedikit.

Akan tetapi dalam kes ini, tentu saya tidak Google. Kes ini kerana ada
kebimbangan di kalangan PDRM sehingga mereka terpaksa – sebahagian, ASP
Suhaimi kalau tidak silap saya membuat laporan polis dan pengarah logistik menulis kepada BPR pada ketika itu. Pengarah Logistik menulis kepada KSU dan Penasihat Undang-undang pada ketika itu. Penasihat Undang-undang jawab. Jadi hal-hal ini hendak diketepikan sebagai bohong, tidak boleh Tuan Yang di-Pertua.

Tidak boleh. Ini kerana maklumat itu terlalu kuat. Kalau ada siasatan, saya akan beri kerjasama tetapi tidak cukup hanya untuk menyatakan kita ini sengaja hendak khianat, kerana ini pengkhianatan lebih besar ialah bila kita izinkan keselamatan kita dirasuki, dimasukkan beberapa pegawai perisikan tentera Israel dan kita sebutkan nama orang yang terlibat dan pegawai-pegawainya saya tidak tahu. Itu terserah melainkan Menteri datang mengatakan Ketua Polis Negara salah, Cawangan Khas salah, Pengarah Logistik salah, seluruh PDRM (Polis Diraja Malaysia) itu semuanya salah. Hanya yang benar adalah keputusan untuk mengambil Asiasoft Sdn Bhd.

Soalan Yang Berhormat Padang Serai, kita tahu dia tengah agak panas sedikit,
sepatutnya panas, kalau orang dengar maklumat ini dan dia diam, dia itu sebenarnya terlibat dalam pengkhianatan pada soal keselamatan negara. [Tepuk] Seharusnya panas walaupun dalam keadaan Tuan Yang di-Pertua mesti control blood pressure, jangan panas sangat.

Yang Berhormat Pasir Salak tanya saya, adakah pada pengamatan saya melihat
kepada peranan APCO dan peranan Asiasoft Pte Ltd. yang berpangkalan di Tel Aviv yang didukung sekarang ini dengan pengetahuan beberapa Menteri dalam kabinet. Ini saya syorkan kepada Yang Berhormat Pasir Salak untuk meminta Menteri-menteri berkenaan memberi penjelasan dan yang sebaiknya ialah bersetuju dengan cadangan PDRM membatalkan kerana pembatalan itu berdasarkan alasan subkontrak kepada Asiasoft itu tidak mengikut prosedur biasa dan tidak mendapat kelulusan. Berdasarkan maklumat ini, saya juga mengesyaki dengan sesungguhnya ada muslihat perisikan Israel untuk terlibat secara langsung dalam perjalanan kerajaan, bukan sahaja melalui APCO tetapi melalui sekutu-sekutunya, nampak ada jaringan yang terlalu kuat.

Saya minta kawan-kawan, rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat supaya teliti hal ini dan jangan hanya guna kuasa majoriti secara rakus menekan orang yang
mengemukakan fakta ini.

Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Minta laluan
sedikit.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saudara Ahli Yang Berhormat
boleh pertikai, boleh tanya, boleh minta penjelasan tetapi tidak boleh mengetepikan ataupun menangkis kerana kali ini Yang Berhormat Kota Belud, kali ini tidak boleh rakan-rakan Yang Berhormat di sebelah sana mengetepikan begitu sahaja kerana bukti yang dibawa terlalu kukuh untuk didustakan. [Tepuk]

Yang Berhormat Rantau Panjang. Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya sungguh tertarik dengan apa yang didedahkan, maklumat yang cukup menyentuh hati kita sebagai rakyat Malaysia, bagaimana negara kita bukan kita di ceroboh tetapi kita menjemput penceroboh masuk ke dalam pertahanan negara kita. [Tepuk] Saya ingin penjelasan daripada Yang Berhormat Permatang Pauh, apakah ini ada kaitan sebagaimana kenyataan Ketua Polis Negara sebelum ini bahawa ada arahan pihak ketiga di dalam pasukan polis? Minta penjelasan daripada Yang Berhormat.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Sheikh Mohammed al-Ghazali pernah mengingatkan kita bahawa sementara imperialisme dan penjajahan itu selesai, yang belum selesai ialah [Bercakap dalam bahasa Arab] iaitu penjajahan pemikiran dan roh, dan apa yang dilakukan dalam konteks ini iaitu mengizinkan, kerana mungkin keuntungan, mungkin komisen, maka boleh menggadai keselamatan negara kita kepada Israel yang kita canangkan bukan main keras. Saya 12 tahun Tuan Yang di-Pertua, 12 tahun dicanangkan sebagai ejen Yahudi. Alhamdulillah, Allah Maha Kaya, sekarang terdedah bukti siapa sebenarnya. [Tepuk]

Saya ulang, saya tidak pernah musuh Yahudi, saya musuh Israel yang zalim
kepada rakyat Palestin. [Tepuk] Itu perlu dibezakan. Jadi oleh yang demikian, seperti mana yang disebut oleh Yang Berhormat Rantau Panjang, Tan Sri Musa Hassan ada dua kenyataan, pertama yang saya bacakan tadi bahawa Polis Diraja Malaysia pada bulan Julai 2008 mengesahkan adanya penyertaan tentera risikan Israel di PDRM. Kali kedua baru-baru ini bila dia sebut tentang tangan ketiga tetapi diketepikan begitu sahaja.

Saya tidak tahu sama ada tangan ketiga ini tangan APCO dan Israel seperti yang
dibangkitkan. Tuan Yang di-Pertua, saya pohon perkara ini selain daripada dikaitkan dengan Belanjawan 2009, pohon perkara ini diberi pertimbangan yang serius oleh Perdana Menteri. Jangan hanya untuk menaikkan imej peribadi, kita korbankan naluri dan maruah kita sebagai negara merdeka dan berdaulat. [Tepuk].

No comments:

Followers