Saturday, April 17, 2010

Mufti perlu nyatakan pendirian mengenai APCO

Bagi mengelak salah faham daripada berlaku di negara ini, adalah perlu mereka yang mempunyai pengetahuan agama untuk menyatakan pendirian yang jelas mengenai APCO. Setakat ini, hubungan APCO dan kerajaan dibantah keras olah pembangkang dan beberapa NGO.

Tanpa pendirian jelas mufti mengenai isu ini ia akan terus mengelirukan rakyat. Apalagi jika isu ini cuba dimanipulasi oleh individu dan kumpulan tertentu bagi kepentingan mereka.

Apa yang terjadi di Masjid Sultan Shah II, Ipoh merupakan contoh terbaik. Sukar untuk ditentukan mana yang betul dan salah. Pembaca sebuah akhbar online mula memberikan komen dan pandangan dari sudut moral dan agama berkaitan peristiwa tersebut. Keseluruhan komen menjurus kepada apa yang berlaku di Ipoh. Ini adalah disebabkan oleh berita yang ditulis seolah-olah melindungi isu utama dan menonjolkan isu sampingan.

Ada komen yang langsung tidak menyentuh isu pokok iaitu APCO. Exco kerajaan negeri juga sempat memberi pandangn terhadap tindakan yang dikatakan biadap itu. Mufti tidak terkecuali daripada mengulas isu berkenaan. Sebagai orang Islam, saya mengharapkan agar mufti bukan sahaja memberi komen berkenaan dengan peristiwa di Ipoh, tetapi komen yang menunjukkan pendirian beliau mengenai APCO itu sendiri.

Jika di Ipoh, membaling telur dikatakan mencemar kesucian masjid. Kita juga mahu tahu mengenai hukum berkerjasama dengan kumpulan yang telah sekian lama mencemarkan masjid-masjid umat Islam di Palestin.

Kumpulan zionis ini bukan sahaja menconteng masjid, malah membunuh orang Islam Palestin yang bersembahyang di masjid, masjid dibakar dan dibom. Al-Quran dibakar dan dikoyak, umat Islam juga dihalang dari menunaikan solat di masjid.

Mufti perlu menjelaskan perkara ini bagi mengelak kekeliruan rakyat daripada berterusan. Mana yang lebih biadap? Kes di Ipoh atau kes di Palestin atau kedua-duanya biadap? Atau kes di Ipoh itu sangat biadap manakala kes di Palestin itu tidak biadap? Ataupun umat Islam tidak perlu ambil tahu nasib saudara kita di Palestin?

Terasa sedikit aneh apabila mufti begitu cepat memberikan komen jika timbul isu yang melibatkan kumpulan yang tidak sehaluan dengan kerajaan. Mungkin juga mufti ada mengeluarkan kenyataan mengenai kerajaan tetapi tidak disiarkan oleh media.

Semoga institusi mufti akan lebih dihormati.

- Seri

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...