Saturday, March 7, 2009

Daulat Tuanku! Rakyat Tuanku diganasi lagi hari ini




Daulat Tuanku!

Kami rakyat Tuanku diganasi lagi hari ini apabila hasrat kami hanya untuk menyampaikan suara rakyat Malaysia yang ingin melihat Bahasa Melayu dikembalikan ditempat yang sepatutnya kepada Tuanku setelah segala usaha kami dipandang remeh, segala rayuan kami dipekakkan telinga, segala bukti kami dipejamkan mata oleh pemerintah yang punya kuasa hari ini.

Kami rakyat sekalian bangun bersama setelah menyedari bahawa bahasa Melayu kini digadai dengan menggantikan bahasa asing sebagai bahasa pengantar mengajar anak-anak kami dalam matapelajaran Matematik dan Sains. Bahasa Melayu dinafikan haknya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu apabila bahasa asing diagungkan dan diutamakan dinegara kita sendiri.

Kami rakyat juga telah dijauhkan daripada pandangan dan pengetahuan Tuanku dengan benteng-benteng pihak keselamatan yang dibina pihak tertentu bagi mengasingkan antara raja dan rakyat.

Himpunan aman kami sekali lagi diganasi oleh pihak yang sepatutnya menjaga keselamatan, keamanan dan ketenteraman kami. Bagaikan pepatah 'harapkan pagar, pagar makan padi'. Kami rakyat dilayan bagaikan penjenayah dan penjahat. Jahatkah kami rakyat hanya kerana mahu kepagar istana Tuanku untuk menyampaikan memorandum kami? Apakah itu satu jenayah sehinggakan kami rakyat diperlakukan sedemikian rupa?

Para pemimpin bacul yang memulakan dan sepatutnya menyelesaikan permasalahan ini hanya tersengih sinis dihadapan kamera dan menghamburkan kenyataan biadap dan bodoh terhadap rakyat dengan mengatakan bahawa perkara ini telah dipolitikkan oleh pihak tertentu.

Kami rakyat menaruh harapan yang amat tinggi terhadap kebijaksaan dan keperihatinan Tuanku dalam menangani masalah ini. Tiada lagi tempat untuk kami mengadu didalam negara ini melainkan kebawah duli Tuanku semoga Tuanku dapat memartabatkan kembali bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan juga sebagai bahasa pengantar kepada pembelajaran disekolah-sekolah kami.

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!



No comments:

Followers