Tuesday, March 17, 2009

Ali Rustam, Khairy didesak letak jawatan wakil rakyat, ketua menteri

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendesak agar Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat serta semua jawatan mereka dalam kerajaan.

Dalam satu sidang media khas di ibu pejabat Umno, Menara Dato Onn hari ini, Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengumumkan bahawa Ali Rustam dan Khairy didapati bersalah kerana terlibat dengan politik wang bagi tujuan merebut jawatan sempena Perhimpunan Agung Pemilihan Umno tahun ini.

Ali Rustam hari ini dilucutkan kelayakan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan dan Khairy pula hanya diberikan amaran dan masih boleh bertanding.

Walaupun ianya hanya melibatkan perwakilan Umno dan dalam organisasi Umno, mereka wajib letak jawatan dan melepaskan semua jawatan yang disandang sekarang dalam Kerajaan.

Ini selaras dengan tindakan Tan Sri Mohd Isa Samad yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah dan digantung keahlian Umno selama 6 tahun kerana terlibat dengan politik wang dalam pemilihan Umno 2004.

Politik wang adalah bahasa yang digunakan dalam Umno tapi rakyat secara keseluruhannya melihatnya sebagai rasuah. Walaupun ia dilakukan sesama ahli Umno tetapi ia juga tertakluk di bawah undang-undang negara kerana dilakukan dalam negara ini dan sekaligus menunjukan perlakuan jenayah yang wajib dibanteras.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajib bertindak dan mendakwa mereka
dimahkamah kerana perbuatan mereka itu adalah satu jenayah.

Umno mempunyai Lembaga Disiplin untuk menghukum dan mendidik ahlinya, tapi mereka juga perlu patuh pada undang-undang yang lebih tinggi dari Perlembagaan dan Peraturan Disiplin Umno. Selagi perbuatan itu dianggap jenayah maka tindakan undang-undang berdasarkan peruntukan di bawah kuasa SPRM wajib dilaksanakan.

SPRM tidak boleh menutup mata dan melihat itu sebagai isu dalaman Umno kerana rasuah tetap rasuah walaupun ia dilakukan sesama ahli parti sama seperti apa yang dilakukan oleh SPRM dalam pendakwaan Ketua Pemuda Umno Wilayah, Dato' Norza Zakaria yang dituduh terlibat politik wang.

Kami juga melihat bahawa tindakan mereka itu tidak sesuai dengan taraf mereka sebagai wakil rakyat dan pemimpin dalam kerajaan kerana jenayah itu dilakukan ketika mereka memegang amanah rakyat.

Jika dalam pemilihan parti pun mereka boleh berlaku curang dan tidak amanah, apakah jaminan bahawa mereka boleh menunaikan amanah rakyat melalui jawatan yang disandang sekarang tanpa sebarang penyelewengan.

Oleh itu mereka wajib meletakkan semua jawatan yang disandang untuk memberikan laluan buat rakyat memilih pemimpin yang lebih bersih dari mereka.

Kami bertegas untuk mendesak mereka letak jawatan. Sekiranya mereka enggan, Perdana Menteri wajib memecat mereka bagi menjaga nama baik kepimpinan negara ini.

Herman Samsudeen ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

- harakahdaily.net

1 comment:

mantra-indeeptots said...

Salam...

Apa perasaan Ali Rastam bila balik Melaka dengan jawatan Ketua Rasuah?

Followers