Friday, August 27, 2010

Salam Nuzul Al-Quran 1431H

Hari ini adalah hari cuti umum bersempena dengan Nuzul Al-Quran. Kemana kita hari ini? Apakah kegiatan seharian kita dihari cuti ini?

Menggunakan hari cuti ini untuk membeli-belah bagi persiapan raya? Ataupun memanfaatkannya semaksimum mungkin bagi lebih mendekatkan diri kita dengan Al-Quran dihari memperingati turunnya Al-Quran kemuka bumi dibulan Ramadhan yang diberkati?

Jawapan bagi persoalan diatas pastinya berbeza diantara setiap kita. Ianya bergantung kepada tahap keakraban kita kepada Al-Quran yang kita bina selama ini.

Walaupun ada sesetengah kita hanya kembali menyelak helaian lembaran Al-Quran setibanya musim Ramadhan, namun itu satu permulaan yang amat baik didalam madrasah Ramadhan ini. Semoga permulaan itu bakal berkekalan dengan rahmat daripada Allah.

Adakah hanya diri kita sahaja yang perlu mendakap kitab itu hari ini? Bagaimana dengan ahli keluarga kita? Isteri/suami kita, telah berapa surah yang dibaca sepanjang Ramadhan ini? Anak-anak kita, sudahkah lancar bacaan mereka? Tajwid mereka?

Pernahkah kita semak semua itu? Ataupun kita hanya mementingkan diri kita sendiri sahaja?

Imam at-Tabrani meriwayatkan dan Ali r. a. bahawa Nabi s. a. w. bersabda:
Maksudnya : “Didiklah anak-anak kamu pada tiga perkara iaitu mencintai Nabi kamu, mencintai ahli baitnya dan membaca Al-Quran. Sebab orang-orang yang memelihara Al-Qur'an itu berada di dalam lindungan singahsana Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain perlindunganNya beserta para Nabinya dan orang-orang yang suci”.
(Hadis Riwayat Ad-Dailami)

Sabda Nabi s.a.w. :
Maksudnya : “ Sesungguhnya orang yang di dalam rongganya tidak melekat sesuatu ayat Al-Quran, maka ía laksana rumah yang runtuh”.
(Hadis Riwayat Ahmad)


Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya : “Al-Quran adalah pemberi syafaat dan kitab yang wajib diyakini (kebenarannya), barangsiapa yang menjadikan Al-Quran di hadapannya, Ia akan memandunya ke Syurga dan barangsiapa yang meletakkan Al-Quran di belakangnya pula, Ia akan memandunya ke Neraka”.
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Surah Al-Quran yang hilang

Masihkah kita ingat akan peristiwa kehilangan surah-surah Al-Quran yang berlaku di Ipoh, Perak pada 1987 lalu?

Kejadian berlaku dimana seorang nenek berumur 51 tahun, Hjh Azizah Abdul Razak mendapati beberapa ayat Al-Quran hilang didepan matanya ketika sedang membaca Al-Quran tersebut bersama beberapa rakan di dalam bulan Ramadhan di Masjid Tengah, Ipoh.

Mukasurat yang didapati hilang adalah daripada surah Al-Mukminun ayat 45-80 dan 116 hingga akhir, Surah Nur ayat 1-20, 32-47 dan 61 hingga akhir, Surah Al-Furqaan ayat 1 hingga 11.

Setahun kemudian, perkara yang sama berlaku kepada Hajah Azizah ketika beliau sedang mengajar tafsir Al-Quran daripada buku tafsir Sheikh Dato Hj Mohamed Nur Hj Ibrahim, Kitab 'Pimpinan Ar Rahmaan'. Mukasurat yang hilang kali ini adalah daripada Surah Hud ayat 62-70, 77-85, 92-105 dan 113-123.

Semoga kita mengambil iktibar daripada peristiwa ini dengan senantiasa membaca Al-Quran sebelum ianya diangkat kelangit oleh Allah Taala berdasarkan hadis sahih Bukhari dan Muslim, antara tanda-tanda kiamat ialah apabila Al-Quran diangkat kelangit.



Peringatan buat diri penulis sendiri agar lebih 'Quran friendly'.

No comments:

Followers