Ehsan Green

Ehsan Green

Mineral Water Al-Ehsan

Mineral Water Al-Ehsan

Sunday, August 1, 2010

Polemik tafsir diantara kaum tua dan kaum muda dinegeri Kelantan

Oleh: Ahmad Fadhli bin Shaari


Pendahuluan

Perdebatan dan perbezaan pendapat di kalangan manusia merupakan satu perkara yang lumrah dalam sejarah. Demikian juga dalam Islam, hal ini menjadi satu aspek yang tidak mungkin dapat dipisahkan dari sejarah itu sendiri. Bahkan sebenarnya perdebatan dan perbezaan pendapat itu menjadikan Islam itu agama yang dinamis, flexibel dan tidak jumud atau static.[1]

Perdebatan dan perbezaan pendapat dalam Islam meliputi berbagai masalah agama, baik akidah, syariah, falsafah, tasawuf dan lainnya. Menurut Muhammad Abu Zahrah (1898 1974 M), perbezaan-perbezaan ini tidaklah sama sekali menyentuh permasalahan asas atau lub al-din. Dengan kata lain, perbezaan pendapat ini hanya berlaku di dalam masalah-masalah furu sahaja.[2] Walaupun demikian, sejarah menyaksikan perbezaan-perbezaan pendapat yang berlaku di kalangan umat Islam yang melibatkan perkara-perkara furu ini seringkali membawa kepada lahirnya sikap kafir mengkafir antara satu sama lain.

Tinta sejarah juga tidak sunyi dari catatan-catatan pertumpahan darah di antara puak-puak yang bertelagah dalam soal-soal remeh temeh yang akhirnya membawa kepada perpecahan umat. Ini membuktikan bahawa perbezaan-perbezaan pendapat mengenai perkara-perkara yang ini mempunyai nilai-nilai yang sensitif di sisi sesetengah pihak.

Dalam perdebatan-perdebatan ini khususnya di bidang pemikiran, ia mengakibatkan lahirnya pelbagai aliran seperti tasawuf, ilmu kalam[3] dan lainnya. Khusus di dalam bidang ilmu kalam, lahirnya golongan seperti Khawarij[4], Syiah[5], Mutazilah[6], Asya`irah dan juga puak-puak lain.

Golongan-golongan ini bukan sahaja berbeza pandangan dari sudut teori politik, bahkan perbezaan ini merebak kepada isu-isu akidah. Perbezaan ini juga mengakibatkan pertumpahan darah yang tidak sedikit seperti yang termaktub di dalam sejarah Islam. Selain daripada itu, dengan kemunculan zaman moden, masalah aliran pemikian ini menjadi semakin rumit tambahan pula setelah umat Islam dihadapkan dengan cabaran-cabaran kolonialisme dan modernisme dengan unsur bawaannya. Dalam konteks inilah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan bahawa adalah satu realiti yang tidak dapat ditolak lagi bahawa di kalangan umat Islam terdapat pelbagai gerakan pemikiran seperti gerakan kiri (radikal), kanan atau liberal. Ada juga aliran yang berbau komunis atau sekular. Malah tidak kurang juga aliran yang berasal dari Islam tetapi kemudiannya menjadi penentang kepada Islam seperti aliran Bahai dan Ahmadiah Qadiani.[7]

Di Malaysia, di antara pertentangan yang agak besar di antara aliran pemikiran Islam khususnya di dalam bidang fiqh dan aqidah seterusnya merebak kepada penafsiran ayat-ayat al-Quran ialah pertikaiaan di antara kaum tua dan kaum muda.[8] Walaupun sebenarnya pertikaian ini sepatutnya berpunca dengan perbezaan kefahamaan terhadap ayat-ayat al-Quran, tetapi ia bermula dengan perbezaan dalam bidang fiqh dan aqidah. Ini kerana pada zaman awal perkembangan pendidikan Islam di Tanah Melayu, jarang sekali wujud perbincangan mengenai ilmu tafsir apatah lagi penulisan di kalangan ulama-ulama Melayu terdahulu[9]. Penulis di dalam masa yang sama tidak menafikan kewujudan aliran-aliran lain namun pertembungan di antara kedua-dua golongan ini dianggap sebagai paling dominan di dalam masyaakat umat Islam di Malaysia. Manakala sesuai dengan negeri Kelantan sebagai di antara lokasi bermulanya sejaah pendidikan Islam di Malaysia, maka penulis menjadikan negeri Kelantan sebagai fokus utama di dalam penulisan ini.

Siapakah Kaum Tua?
Secara umumnya, kaum tua boleh didefinasikan sebagai ulama-ulama tradisional yang berpegang kepada tradisi konservatif atau mempertahankan yang lama.[10] Sesui dengan pengertian konservatif, ulama-ulama ini sebagaimana biasanya Cuma melihat sejarah atau masa lampau sebagai sumber inspirasi atau sesuatu ang harus dipertahankan. Di dalam banyak perkara, mereka lebih suka mengekalkan status quo sesuatu amalan yang telah lama bertapak di dalam masyarakat.[11]

Setiap golongan yang disebutkan ini mempunyai pandangan-pandangan yang tersendiri di dalam membuat penafsiran terhadap nas-nas al-Quran bagi menyokong pendirian mereka.

Justeru itu, pendokong kaum tua ini dilihat seringkali bersikap negatif terhadap pembaharuan dan perubahan. Golongan tradisionalis ini seringkali menganggap bahawa kemunduran umat Islam adalah kerana mereka menjauhkan diri daripada ajaran-ajaran generasi yang lalu, serta memutuskan hubungan tradisi mereka untuk mengikuti arus perubahan iaitu godaan syatian dari Barat.[12] Mereka lebih selesa untuk mengurung Islam dalam satu benteng tanpa jendela dan pintu kelua, tanpa ruangan terbuka ke aah langit, serta mempertahankan seluruh tradisi yang telah diwarisi oleh nenek moyang tanpa membezakan ajaran Islam yang tulen atau campuran dai pelbagi pengaruh yang lain.[13]

Sekiranya ditinjau dari satu sudut, memang benar aliran tradisionalisme cuba mempertahankan tradisi yang asal dan tulen. Bagaimanapun keaslian dan ketulenan dalam konteks ini lebih merujuk kepada jaran-ajaran paa ulama mazhabiyyah atau ang bertaqlid kepada imam-iamam mazhab yang empat.[14][15] Dalam konteks inilah Profesor Muhammad Kamal Hassan mengeaskan bahawa golongan ini ialah :
..tend of restrict the role of ijtihad in prefeence to, and out of defeence, for, the established opinions the matters of the scholls of Islamic jurisprudence..[16]

Dari sudut sejarah, penyakit bertaqlid dan pembekuan ijtihad ini khususnya di Tanah Melayu pada dasarnya hanyalah berlaku dalam bidang fiqh sahaja atau hukum-hakam sahaja. Rujukannya pun bukanlah kepada karya asal atau ajaran-ajaran Imam Mujtahid, tetapi kepada karya-karya para ulama mazhabiyah atau yang bertaqlid kepada imam-imam ini. Karya-karya ini muncul di dalam bentuk sarah, hasiyah atau hamisy yang mana kandungannya kadang-kadang lebih sukar untuk difahami dari kitab matan atau induk.[17] Seterusnya ia merebak kepada bidang Tauhid di mana kitab-kitab yang dibaca bukanlah ajaran-ajaran asal para pengasasnya, tetapi kitab-kitab syarah yang ditulis oleh ulama-ulama terkemudian. Begitu juga di dalam bidang tasawuf, yang diikuti oleh kebanyakan ulama-ulama tradisional ialah ajaran-ajaran daripada syeikh-seikh tariqat yang tumbuh dengan banyaknya selepas kejatuhan Baghdad.[18]

Penyakit bertaqlid ini sebenarnya bermula sejak abad keempat hijriah apabila Bani Abbasiyah didominasi oleh bangsa-bangsa asing, seterusna diperburukkan lagi dengan kejatuhannya di tangan kaum Moggol pada tahun 1258 M.

Itulah kesimpulannya gambaran secara umum kumpulan tradisional ataupun kaum tua sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan pihak. Manakala Nik Abdul Aziz bin Nik Hassan memberikan pengertian kaum tua sebagai :
..ulama-ulama yang enggan menerima pemikiran yang baru yang bercanggah dengan aliran-aliran pemikiran Islam yang sudahpun berakar umbi di kalangan masyarakat Melayu tempatan..[19]

Bilakah pemikiran kaum Tua ini mendominasi umat Islam di Kelantan? Jika ditinjau dari sudut kemasukan Islam ke negeri Kelantan, sejarah mencatatkan bahawa bumi Kelantan mula menerima gema syahadah sebelum abad ke-12 Masehi lagi. Ini dibuktikan dengan penemuan dinar di Kota Kubang Labu, Pasir Pekan, Kelantan.[20] Manakala dari sudut mazhab, jelas bahawa umat Islam di Kelantan sejak dari dahulu lagi berpegang teguh kepada mazhab Syafie, bacaan al-Quran menurut riwayat Hafs dan bunyi sebutan yang tidak ada beza dengan sebutan lidah Arab. [21] Oleh yang demikian, dapatlah dibuat satu kesimpulan bahawa umat Islam di Kelantan lebih dahulu menerima aliran pemikiran kaum Tua sebelum timbulnya polemik dengan kaum Muda.

http://al-ahkam.net/home/cache/multithumb_thumbs/1___images_stories_sheikh-osman.gifDi antara ulama-ulama yang kuat berpegang kuat dengan aliran kaum tua ketika awal perkembangan pendidikan Islam di Kelantan ialah :
i. Haji Noh Penambang [22]
ii. Haji Yaakub Legor (1892-1971)[23]
iii. Haji Mahmud Zuhdi[24]
iv. Haji Osman Jalaluddin al-Kelantani (1880-1952)[25]

Di samping nama-nama yang disenaraikan di atas, masih terdapat ramai lagi ulama-ulama yang lain yang berdiri sebaris dengan kaum tua dalam mempertahankan amalan-amalan keagamaan tradisi yang telah diwarisi zaman berzaman. Keterbatasan kemampuan penulis menjadi halangan untuk menyenaraikan semua nama-nama mereka.

Pengenalan Kaum Muda
Sebenarnya Kaum Muda ialah gelaran yang diberikan oleh ulama-ulama tradisional (ulama-ulama Kaum Tua) terhadap beberapa ulama di pantai barat Tanah Melayu, Pulau Sumatra dan Mesir. Gelaran ini diberikan oleh kerana ulama-ulama ini dikatakan cuba membawa sesuatu ciri yang baru di dalam ajaran agamas. Dalam perjuangan mereka, Kaum Muda ini menyeru anggota-anggota masyarakat supaya kembali kepada ajaran asli Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah serta mengamalkan ijtihad. Ulama-ulama Kaum Muda sangat kuat menentang amalan-amalan yang disifatkan sebagai bidah atau khuafat atau dalam erti kata lain amalan-amalan yang diadakan oleh orang-orang terkemudian yang tidakpun diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. [26]

Pemikiran Kaum Muda ini juga dikenali sebagai pemikiran islah atau reformasi. Mereka sangat menekankan kepada semangat pruitanisme iaitu penekanan terhadap ajaran Islam yang tulen (pristine). Bertolak dari semangat inilah, aliran Kaum Muda ini sangat-sangat menekankan kepada usaha-usaha islah atau tajdid. Islah di sini bermakna memperbaiki atau membersihkan Islam daripada pemalsuan dan penyelewengan. Sedangkan tajdid pula bermakna memperbaharui dan menyegarkan semula kefahaman dan komitmen terhadap ajaran-ajaran agama sesuai dengan tuntutan zaman. [27]

Usaha tajdid berkait rapat dengan kegiatan ijtihad, malah tidak dapat memisahkan diri daripada ijtihad, sehingga dikatakan bahawa tajdid dan ijtihad ialah dua unsur yang saling melengkapi. Dari segi istilahnya, ijtihad bermakna bersungguh sehabis daya untuk menyimpulkan hukum-hukum syarak berlandaskan kaedah tertentu dalam menghadapi persoalan-persoalan baru yang tidak jelas hukumnya dalam nas-nas al-Quran dan Sunnah atau Ijma ulama.[28]

Walaupun gerakan tajdid ini secara zahirnya mendokong konsep rasionalisme, namun ia tetap bertentangan dengan gerakan modernisme di mana golongan reformis ini hanya berijtihad pada perkara-perkara yang kurang jelas (zanniyyah) kedudukan hukumnya manakala golongan modernisme pula berpegang terus kepada kepada akal di dalam berijtihad tanpa batas sama sekali sehingga termasuk kepada perkara-perkara yang sudah jelas (qatiyyah) hukumnya.[29]

Dari sudut sejarah, pertumbuhan aliran kaum Muda ini dikatakan bermula pada abad ke-17 dan 18M iaitu merujuk kepada peranan Muhammad bin Abdul Wahhab (1703-1787).[30] Tetapi sebenarnya aliran reformasi ini sudahpun bermula jauh sebelum itu iaitu ketika kemunculan Ibnu Taimiyyah (1263-1328) yang disifatkan oleh Profesor Ismail al-Faruqi sebagai the first and greatest Muslim reformer.[31]

Perkembangan aliran reformis di peringkat dunia diwarnai dengan kemunculan beberapa orang tokoh yang dianggap sinonim dengan gerakan ini. Antaranya ialah Jamaluddin al-Afghani (1838M-1897M)[32], Sheikh Muhammad Abduh (1849M-1905M)[33] dan Rasyid Redha (1865M-1935M)[34].

Pemikiran tokoh-tokoh ini akhirnya mempengaruhi beberapa orang ulama Melayu yang menuntut di Tumur Tengah pada akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20. Dalam konteks Tanah Melayu, gerakan Kaum Muda ini bermula dari Selatan iaitu Singapura seterusnya merebak ke Pantai Barat dan Kelantan merupakan antara lokasi terakhir yang berjaya diserapi oleh idea-idea Kaum Muda. Di antara tokoh-tokoh yang boleh disifatkan sebagai kaum muda ialah Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin (1869-1956), Syeikh Muhammad Salim al-Kalali, Syed Syeikh al-Hadi (1867-1934), Syed Muhammad Aqil dan Haji Abbas Mohd Taha. Mereka ini bergabung untuk menerbitkan majalah al-Imam (1906-1908) iaitu mirip majalah al-Manar dari sudut semangat dan prinsipnya.[35] Selain dari mereka, Dr. Burhanuddin al-Hilmi, Haji Abbas Taha dan Zaba sendri merupakan tokoh-tokoh pemikir yang mempunyai serapan pemikiran kaum Muda ini.

Pengaliran Fahaman Kaum Muda di Kelantan
Di Kelantan, pemikiran Kaum Muda ini berjaya menerobos masuk melalui beberapa orang tokoh, antaranya ialah seperti berikut :
i) Tuk Kenali (1870-1933)[36] sendiri. Ini boleh dilihat melalui minat beliau yang suka membaca akhbar-akhbar yang diterbitkan oleh Kaum Muda seperti al-Urwah al-Wuthqa, al-Manar, al-Imam dan Saudara. Minat yang sedemikian merupakan satu perkara yang agak luar biasa di kalangan ulama-ulama tradisional sebelum tahun 1940-an. Kebanyakan ulama pada masa itu hanya membaca dan mengajar kitab-kitab agama dan jauh sekali dari mentelaah karya-karya kaum Muda dan mengikuti perkembangan politik dunia. Pengaruh pemikiran Kaum Muda ini boleh dilihat melalui majalah Pengasuh yang disusun oleh Tuk Kenali yang memperlihatkan sebahagian idea-idea Kaum Muda seperti isu-isu kemerdekaan, islah dan tajdid.[37] Beliau juga menjadi penggerak utama kepada penubuhan sekolah-sekolah agama yang diketengahkan ideanya oleh Kaum Muda.


Menariknya, sekalipun Tuk Kenali kelihatan berminat dengan pemikiran-pemikiran Kaum Muda, beliau tidak pula menampakkan kecenderunggannya kepada Kaum Muda di dalam masalah hukum-hakam[38]. Beliau yang dikenali sebagai seorang ulama yang tidak suka melibatkan diri di dalam isu-isu kontroversi seringkali mendiamkan diri di dalam persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh Kaum Muda. Malah murdi-murid beliau sendiri yang seterusnya menjadi ulama-ulama terkemuka di negeri Kelantan seperti Haji Idris (meninggal 1927), Haji Abdullah Tahir bin Haji Ahmad (1897-1961) dan Haji Yaakob Legor dikenali sebagai golongan yang paling kuat menentang fahaman Kaum Muda.[39]

ii) Haji Wan Musa bin Haji Abdul Samad (1873M-1939M)[40] iaitu salah seorang anak Tuan Tabal. Beliau merupakan seorang ulama yang terkenal dengan sikap beraninya dalam mempertahankan pandangannya. Sekalipun beliau jelas sekali terpengaruh dengan pandangan ulama-ulama Kaum Muda di dalam bidang hukum-hakam seperti di dalam masalah usalli, niat dan talkin, beliau amat berminat dengan tasawuf.


iii) Tok Khurasan (1875-1944)[41] yang bertanggungjawab mengenengahkan pelbagai ilmu-ilmu baru yang belum dipelajari oleh umat Islam pada itu khususnya di negeri Kelantan. Di antara ilmu-ilmu yang baru diperkenalkan ialah tafsir al-Quran, ilmu hadith, falsafah, manthiq, fiqh hanafiyyah dan balaghah. Sekalipun demikian, beliau tidak ditentang oleh ulama-ulama yang lain kerana keengganannya melibatkan diri di dalam isu-isu kontroversi. Sekalipun tidak secara langsung terlibat di dalam gerakan Kaum Muda, namun beliau tetap dikira sebagai antara tokoh terawal membawa pemikiran islah ke bandar Kota Bharu. [42]

iv) Haji Nik Abdullah bin Haji Wan Musa (1900-1935)[43] yang merupakan anak kepada Haji Wan Musa. Beliaulah yang hakikatnya menjadi pendorong kepada bapanya untuk mendalami pemikiran kaum Muda. Semasa beliau berada di Mekah, surat-surat sering diutus kepada bapanya menceritakan pemikiran Syeikh Muhammad Abduh dan rakan-rakannya yang menyebabkan bapanya sedikit demi sedikit mula condong kepada Kaum Muda.

v) Datuk Haji Muhammad bin Haji Muhd Said[44] yang merupakan Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama. Melalui majalah ini beliau meniupkan api perubahan kepada masyarakat Melayu dan menggesa mereka supaya mencontohi orang Jepun yang sudah berjaya mencipta pelbagai jenis rekaan baru untuk menolong mereka dalam kehidupan sehari-hari. Beliau juga kuat menyeru umat Melayu supaya kembali berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah.

Selain daripada nama-nama yang disenaraikan di atas, masih terdapat ramai lagi di kalangan ulama-ulama yang boleh dikategorikan sebagai kaum Muda[45]. Bagaimanapun, penulis yakin bahawa tokoh-tokoh utama Kaum Muda khususnya di negeri Kelantan tidak lari dari sekitar nama-nama yang disebutkan di atas.

Polemik-polemik Yang Pernah Timbul Di Antara Kaum Tua dan Kaum Muda di Kelantan Yang Mempunyai Hubungan Langsung atau Tidak Dengan Pentafsiran Ayat Al-Quran

Menurut Ismail Awang, di antara perrtelingkahan Kaum Tua dengan Kaum Muda ialah di dalam masalah-masalah seperti berikut :
1. Talqin[46] : Haji Wan Musa dan anaknya Haji Nik Adullah tidak sependapat dengan para ulama di zamannya yang mengatakan talqin itu sunat. Bagi beliau dan ulama-ulama kaum Muda yang lain, tidak ada nas yang memerintahkan supaya dibaca talqin kepada jenazah di tanah perkuburan.

Hal ini bertentangan dengan ulama-ulama yang lain di masa itu. Untuk memuaskan hatinya, beliau sendiri menulis surat kepada Sayid Muhammad Rashid Redha meminta pandangannya mengenai hukum talqin.
Pada jawapannya, Rashid Redha menulis :
Yang bermaksud : Keterangan-keterangan yang disebut oleh al-Barmawi itu tidaklah kerana tidak ada satu hadithpun menthabitkan talqin itu sunat atau tidak oleh para sahabat, bahkan tidak ada satu hadith sahih atau hassan mengenai talqin. Hanya satu hadith yang dhaif (yang ada di dalam masalah talkin. Itupun - penulis) tidak dikeluakan oleh pengumpul-pengumpul hadith sahih dan sunan.[47]

Sekiranya ditinjau pada pandangan golongan salaf, talqin dikatakan makruh kerana tidak mendatangkan sebarang faedah berdasarkan fiman Allah swt yg bermaksud : Katakanlah: "Apakah Aku akan mencari Tuhan selain Allah, padahal dia adalah Tuhan bagi segala sesuatu. dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudharatannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan." (Surah al-Anam, ayat 64) Manakala sebahagian ahli ilmu dan Imam Syafie sendiri berpandangan bahawa talqin diharuskan berdasarkan hadis daripada al-Tabrani yang meriwayatkan dari Abi Amamah bahawa dia menyuruh supaya ditalkinkan mayat.[48]

2. Talfiq mazhab[49] di mana Haji Wan Musa telah mengemukakan pendapatnya kepada Yang Mulia Tengku Ibahim (yang kemudiannya menjadi Sultan Kelantan : 1944-1960) bahawa umat Islam boleh memelihara dan memegang anjing tanpa disamak bekas air mulutnya kiranya perlu bagi menjaga keselematan rumahtangga. Pandangan beliau ini yang didorong oleh anaknya Nik Abdullah mencetuskan polemik hebat mengenai isu jilatan anjing pada masa itu.[50]

Pada tahun 1937, satu perbahasan terbuka telah diadakan oleh Raja Kelantan di Istana Seri Cemerlang. Haji Wan Musa, Haji Abbas Taha dan Dr. Buhanuddin al-Hilmi[51]. Pihak Haji Wan Musa menafsirkan ayat al-Quran di dalam surah al-Baqarah, ayat 233 yang bermaksud : Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.
Bagi mereka, Allah tidak memberati manusia dengan sesuatu yang berada di luar kemampuannya. Maka untuk menjaga binatang peliharaan seperti anjing ini daripada tersentuh dan sebagainya adalah sesuatu yang sukar. Oleh yang demikian, mereka mengeluarkan pandangan yang kontroversi itu.

Perdebatan yang berlangsung itu berakhir dengan masing-masing kekal dengan hujah. Sultan Kelantan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan sendiri menurut pemerhatian mereka. Sekalipun Kaum Muda memberikan hujah yang agak mantap dengan bantuan ulama-ulama dari luar Kelantan, teori yang mereka utarakan sebenarnya tidak mendapat sambutan dari masyarakt. Ini boleh dilihat sehingga ke hari ini boleh dikatakan tidak ada di kalangan umat Islam di Kelantan yang memelihara anjing sebagaimana keharusannya yang didakwa oleh Kaum Muda.

3. Bina Masjid dari Zakat Fitrah : Haji Wan Musa tidak sependapat dengan keputusan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan yang hendak membina Masjid Muhammadi Kota Bharu dari wang kutipan zakat fitrah. Beliau menentang keputusan Jemaah Ulama Majlis keana beliau berpendapat bahawa zakat fitrah adalah hak kepada oang-orang miskin. Beliau berdasarkan ayat 60 dari surah al-Taubah yang bermaksud : Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yuang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana

Haji Wan Musa menyatakan bahawa berdasarkan ayat ini tidak terdapat nas yang jelas yang mengharuskan pembinaan masjid dengan menggunakan duit zakat.

Bagaimanapun Kaum Tua menegaskan bahawa pembinaan masjid diharuskan dengan duit zakat fitrah berdasarkan keumuman farasa iaitu di jalan Allah.

4. Masalah usalli : Haji Wan Musa yang mewakili kaum muda berpendapat bahawa kalimah usalli ketika hendak mengerjakan solat adalah tidak sunat berdasarkan hadis Bukhari yang bermaksud : Apabila kamu berdiri untuk sembahyang hendaklah kamu takbir..

Di dalam masalah ini, beliau mempunyai pertentangan pendapat yang amat hebat dengan ulama-ulama yang lain yang sezaman dengannya seperti Haji Ibrahim Haji Yusof (Mufti negeri Kelantan pada masa itu)[52], Haji Yaakub Legor, Haji Omar Nuruddin, Tengku Mahmud Zuhdi dan lain-lain yang menyatakan bahawa kalimah usalli adalah sunat bedasarkan pandangan ulama fiqh mutaakhirin.[53]

Manakala masalah ayat-ayat sifat yang menjadi pertentangan makruf di antara golongan Kaum Muda dan Kaum Tua, penulis tidak menjumpai fakta yang menyebut bilakah pertentangan ini berlaku. Ini kerana diketahui umum bahawa aqidah yang diajar oleh ulama-ulama tradisional pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 ialah aqidah aliran Asyairah, namun bilakah pertembungan dari sudut aqidah ini mula muncul di negeri Kelantan masih menjadi persoalan kepada penulis. Adapun pertentangan peringkat nasional berlaku dengan kemuncul majalah al-Imam yang dipelopori oleh Syeikh Tahir Jalaluddin dan rakan-rakannya.

http://al-ahkam.net/home/cache/multithumb_thumbs/b_150_100_16777215_0___images_stories_nik2.jpgBagaimanapun penulis membuat hipotesis bahawa aliran pengajian tafsir yang mengikut Kaum Muda atau manhaj salaf boleh dikatakan berkembang aktif semenjak kepulangan Ustaz Nik Abdul Aziz bin Nik Mat[54] pada tahun 1960-an dari Mesir yang mengembangkan insituti pengajian tafsir di masjid-masjid. Pengajaran beliau pada peringkat awal banyak mencetuskan kontroversi khususnya apabila menyentuh masalah fiqh dan aqidah. Oleh yang demikian, beliau dilihat melembutkan pendekatannya walaupun sebenarnya terus mengekalkan fahaman Kaum Muda.

Juga perlu disebutkan peranan seorang tokoh angkatan baru yang cukup gigih di dalam memperjuangkan idealisme Kaum Muda iaitu Abdullah al-Qari bin Haji Mohd Salleh, seorang ulama yang bukan sahaj memiliki perpustakaan poeribadi yang paling besar di negeri Kelantan, bahkan beliau telah mengarang dan menterjemah lebih daripada 100 buah kitab yang berunsur reformisme.[55]

-------------------------------------

[1] Saidul Amin (2002) Perdebatan Kaum Tua dan Kaum Muda di Minangkabau Dalam Beberapa Masalah Pemikiran Islam, Disertasi Sarjana Usuluddin, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, hal. 1. Lihat juga Taha Jabir al-Alwani (1994) The Ethics Of Disagreement in Islam, Virginia, USA : IIIT, h.13.
[2] Abu Zahrah, Muhammad (tt) Tarikh al-Madhahib al-Islamiyyah, Kaherah : Dar- al-Fikr, hal. 11.
[3] Dinamakan ilmu kalan kerana pada awalnya ilmu ini didasari oleh perdebatan di antara dua kelompok uamt Islam berkenaan dengan qadim dan hadithnya Kalam Allah. Perdebatan ini memakan masa yang panjang dan beralih sedikit demi sedikit daripada isu teologi kepada aliran politik sehingga mengakibatkan pertumpahan darah yang tidak sedikit. Di antara ulama yang terlibat secara langsung dalam isu ini ialah Imam Ibn Hanbal.Lihat Saidul Amin, op.cit, hal 2.
[4] Khawarij merupakan satu golongan yang timbul selepas peristiwa tahkim di antara Ali dan Muawaiyah. Pada awalnya kelompok ini berada di pihak Ali dan tidak bersetuju dengan majlis tahkim. Dari sudut lain, mereka berpandangan bahwa tahkim ialah satu warisan kebudayaan jahiliyyah. Mereka lantas berpandangan bahawa sesiapa yang berpegang kepada tahkim darahnya menjadi halal dan wajib dibunuh. Lihat Saidul Amin, ibid. Lihat juga al-Shahrustani, Abu al-Fath Muhammad bin Abd al-Karim (t.t) al-Milal wa al-Nihal, j.1, hal 114. Lihat juga laman web http://www.dorar.net/melal.asp?art_id=114, capaian 10 Februari 2006.
[5] Syiah pada mulanya hanyalah satu aliran politik yang membela Ali dan berkeyakinan bahawa hak khalifah atau imamah hanya pada keturunan Rasulullah (Ahl al-Bayt), iaitu keturunan Ali dan Fatimah. Namun pada akhirnya kelompok ini yang bermula bermula dari aliran politik akhirnya berubah kepada aliran yang banyak membahaskan persoalan-persoalan akidah. Di antara pokok pemikiran mereka ialah imamah dan taqiyyah. Lihat Saidul Amin, op.cit, hal 3
[6] Mutazilah merupakan satu kelompok yang terlahir akibat perdebatan Hassan al-basri dengan muridnya Wasil bin Ata berkenaan dengan pelaku dosa besar (murtakib al-kabair). Menurut Wasil pelaku dosa besar tidaklah mukmin dan tidak juga kafir. Mereka tidak layak untuk ke syurga atau ke nerakan tetapi di tempatkan di antar kedua-duanya (manzilah bayna manzilatayn). Di antara isu-isu utama pemikiran mutazilah ialah : al-Tawhid, al-Adl, Waad wa al-Waid, Amr bi al-Maruf wa nahy an al-Munkar dan Manzilah bayna manzilatayn. Dinamakan mutazliah yang berrerti golongan yang berpisah kerana berpisahnya Wasil daripada gurunya Hassan al-Basri. Lihat al-Imam Abd al-Qadir bin Tahir bin Muhammad al-Baghdadi (1994), al-Farqu Bayna al-Firaq, Dar al-Marifah, Beirut, hal 29.
[7] Muhammad Yusuf al-Qaradhawi (1983), Kritik dan Saranan Untuk Para DaI, terj. (Jakarta, Media Dakwah). hal. 217.
[8] Pengertian kedua-dua istilah ini akan dibincangkan selepas ini.
[9] Ismail Awang (1987), Pengajian dan Tafsir al-Quran, Kota Bharu : Dian Darulnaim, 186-187.
[10] Abdul Rahman Haji Abdullah (1998), Pemikiran Islam di Malaysia : Sejarah dan Aliran, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hal. 5. Lihat juga Karl Mannheim, Conservative Tought, dalam K.Mannheim, Essas on Sociolog and Socail Psycholog (London : outledge & Kegan Paul, 1966), hal 95 & 96.
[11] Temuramah penulis dengan seorang tenaga pengajar (yang mahukan namanya dirahsiakan) di Pondok Lubuk Tapah, 26 Februari 2006.
[12] Abdul Rahman Haji Abdullah, op.cit, hal 6
[13] Roger Garaudy (1982), Janji-janji Islam, terj. Jakata : Bulan Bintang, Jakarta, hal 223-224.
[14] Dalam konteks Malaysia, mazhab fiqh yang dipegang sungguh-sungguh oleh kaum tua ialah Mazhab Syafie.
[15] Abdul Wahab Khallaf (1971), Ringkasan Sejarah Perundangan Islam, terjemahan Pustaka Aman Press, Kota Bharu. Hal 149-156.
[16] Muhammad Kamal Hassan (1980), Muslim Intellectual Response to New Oder Modernization in Indonesia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Hal. xi.
[17] Abdul Rahman Haji Abdullah, op.cit, hal 7.
[18] ibid
[19] Nik Abdul Aziz bin Nik Hassan (1983), Islam dan Masyarakat Kita Bharu Sekitar Tahun 1900-1940, dalam Nik Abdul Aziz bin Nik Hassan, Islam di Kelantan, Persatuan Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur. hal. 19
[20] Haji Nik Mahmood Ismail (1926), Kitab Jografi dan Tarikh Negeri Kelantan, Kota Bharu : t.pnt, hal .15.
[21] Ismail Awang (1978), op.cit, hal. 78
[22] Seorang ulama yang mendapat pendidikan di Masjidil Haram, Mekah. Beliau mengajar agam di surau kampungnya iaitu di Penambang. Lihat ibid.
[23] Nama sebenarnya ialah Haji Yaakub bin Ismail bin Abdul Rahman, seorang ulama yang bukan dilahirkan di Kelantan tetapi berkahwin dan menetap di Kelantan. Berasal dari Legor, Thailand dan mendapat pendidikan awal di Pattani. Sempat belajar dengan Tok Kenali di Kelantan. Menjadi salah seoang tenaga pengajar di Masjid Muhammadi sebelum peperangan dunia pertama tetapi akhinya meninggal dunia di Thailand. Lihat Ismail Awang (1996) Haji Yaakub Legor, di dalam Ismail Che Daud (1996) Tokoh-tokoh Ulama Semenanjung Melayu (2), Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Kota Bharu. Hal. 187.
[24] Berasal dari Pattani dan menjadi Saikhul Islam di Selangor. Beliau datang ke Kelantan atas jemputan Datuk Haji Nik Mahmud bin Haji Ismail (Perdana Menteri Kelantan) untuk mendengar hujah beliau mengenai masalah usalli dan niat. Lihat Nik Abdul Aziz bin Nik Hassan, op.cit, hal 19.
[25] Dilahirkan di Kampung Panjang, Daerah Sering, Kota Bahru. Melanjutkan pelajaran di Mekah sebanyak dua kali. Pernah membuka pondok di Penanti, Bukit Mertajam. Sebelum itu, beliau juga mendiikan pondok di Pasi Kasa, Sering dan juga Kampung Tapang. Mengarang kitab Matali al-Anwar wa Majami al-Azhar ang mengandungi jawapan-jawapan terhadap Ibnu Taimiyah. Meninggal dunia di Mekah pada 1952. Lihat ibid, hal. 18. Lihat juga Ismail Awang, op.cit, hal. 503-519
[26] Nik Adul Aziz, op.cit, hal 15
[27] Adul Rahman Abdullah, op.cit, hal 13.
[28] Muhammad Yusuf al-Qaradhawi (1987), Ijtihad dalam Syariat Islam, terj Jakarta Bulan Bintang, hal 1-5
[29] Abdul Rahman Haji Abdullah, op.cit, hal14.
[30] Dilahirkan pada 1115H/1701M di Uyainah, Arab Saudi. Mendapat pendidikan awal oleh bapanya sendiri, Syeikh Abdul Wahab. Seterusnya belajar di Mekah, Madinah dan Basrah. Berguru dengan ialah Syeikh Abdullah Ibarhim bin Saif an-Najdi dan Syeikh Muhammad Hayah al-Sindi. Terpengaruh dengan pemikiran Ibnu Taimiyyah lalu mengasaskan penentangan terhadap pemerintah Mekah pada masa itu dengan bergabung dengan gerakan Bani Saud. Kuat menentang khurafat dan bidah. Lihat Zakaria @ Mahmood bin Haji Daud (1996), Muhammad bin Abdul Wahab, di dalam Prosiding Seminar Tokoh-tokoh Mujaddid Islam, Badan Perhubungan Penerangan Islam (BPP1) Selangor dan Wilayah Persekutuan, hal 20.
[31] Abdul Rahman Abdullah, op.cit, hal 19.
[32] Kelahiran Afghanistan dan membesar di bandar Kabul. Nasabnya sampai kepada Husayn bin Ali r.a. Meneruskan pengajian di India dan diusir keluar oleh penjajah Inggeris dari bumi Afghanistan kerana meniupkan api kemerdekaan. Beliau seterusnya berpindah ke Mesir, namun diusir oleh pemerintah Taufik Basya akibat tekanan Inggeris. Beliau seterusnya berpindah randah ke India, Paris, London, Iran dan bersama-sama Syeikh Muhammad Abduh mengasaskan Urwatul Wusqa. Beliau menyeru kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah dan meninggalkan taklid buta. Dituduh oleh sesetgah pihak bahawa beliau bermazhab Syiah Jafari namun ini dinafikan olehnya sendiri. Wafat di Iran pada tahun 1897M. Sesetengah pihak mengatakan bahawa beliau mati akibat diracun oleh sesetengah pihak yang tidak senang dengan perjuangannya. Lihat Samir Halabi, AlAfghani: Muslih Raghmu al-Jidal, laman web http://www.islamonline.net/Arabic/history/1422/12/article20.shtml. Capaian pada 20 Februari 2006.
[33] Anak tempatan Buhairah, Mesir. Mendapat pendidikan awal di Masjid Ahmadi, Tanta sebelum meneruskan pengajian di al-Azhar. Berguru dengan Syeikh Darwisy, Muhammad al-Basyuni, Hassan al-Tawil dan juga Jamaluddin al-Afghani ketika datang ke Mesir. Dibuang negeri kerana dituduh terlibat dengan pemberontakan Urubiyyah. Bergabung dengan Jamaluddin al-Afghani di Paris untuk menerbitkan Urwatul Wusqa yang kemudiannya disebar luas ke negara-negara Islam. Kembali ke Mesir pada tahun 1889 dan wafat pada tahun 1905. Lihat http://www.islamonline.net/Arabic/history/1422/07/article29.shtml.
[34] Murid Syeikh Muhammad Abduh dan pengasas majalah al-Manar. Dilahirkan di perkampungan persisiran pantai Lubnan. Mendapat pendidikan dari ayahnya Ali Redha. Bertemu dengan Syeikh Muhammad Abduh di Beirut dan seterusnya berutus surat dengannya. Terpengaruh dengan pemikiran Syeikh Muhammad Abduh dan pernah cuba untuk bertemu dengan Jamaluddin al-Afghani tetapi tidak berjaya. Berhijrah ke Mesir pada 1898M dan mengasaskan majalah al-Manar pada tahun yang sama. Majalah ini menyeru kepada tajdid dan reformasi masyarakat secara menyeluruh dan besar-besaran. Majalah ini tersebar luas di dunia Islam. Beliau wafat pada 1935M. Lihat Ahmad Tamam, Rashid Redha : al-Islah Yubda` bi al-Sohafah wa al-Talim, capaian pada 20 Februari 2006 menerusi internet. Laman web :
http://www.islamonline.net/Arabic/history/1422/08/article13.shtml
[35] Abdul Rahman Abdullah, op.cit, hal 268.
[36] Nama sebenarnya ialah Muhammad Yusuf bin Ahmad. Dilahirkan di Kg Kenali, Kubang Kerian pada tahun 1968 dan nama timangannya ialah Awang. Dibesarkan di zaman pemerintahan Sultan Muhammad II atau dikenali sebagai Sultan Mulut Merah. Pada tahun 1886, beliau melanjutkan pelajaran ke Mekah dan di sanalah beliau mula didedahkan dengan idea reformasi. Sekembalinya ke Kelantan, beliau selalu berinteraksi dengan karya al-Manar dan al-Urwah al-Wusqa yang menyebabkannya terpengaruh dengan idea-idea reformasi. Pernah melawat Mesir pada tahun 1903 dan bertemu dengan Syeikh Muhammad Abduh. Pengarang pertama majalah Pengasuh (1918) dan di antara tokoh pengasas Majlis Ugama Islam (1915) dan Madrasah al-Muhammadiyah (1917). Meninggal dunia pada 19 November 1933. Lihat Yusoff Zaky Yaacob (2001), Tok Kenali di dalam Ismail Che Daud, Tokoh-tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1)¸ Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan, Kota Bharu, hal 255-266.
[37] Abdullah al-Qari bin Haji Salleh (1967), Sejarah Hidup Tok Kenal, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, hal 35.
[38] Soal hukum-hakam yang kontroversi pada masa itu ialah soal usalli, niat, talkin dan masalah jilatan anjing.
[39] Nik Abdul Aziz bin Nik Hassan, op.cit, hal 28.
[40] Anak kelahiran Kota Bharu yang mewarisi ilmu dan amalan ayahandanya, Tuan Tabal. Menuntut ilmu di Mekah selama 5 tahun. Beliau mempelajari bidang-bidang tasawuf, fiqh dan usul serta mengamalkan tareqat Ahmadiah seperti bapanya juga. Dilantik menjadi mufti pada tahun 1909M menggantikan Haji Nik Wan Daud dan meletakkan ekoran beberapa kontroversi pada tahun 1916. Meninggal dunia pada tahun 1939. Lihat Ismail Awang, Mufti Haji Wan Musa, di dalam Ismail Che Daud, Tokoh-tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1)¸ Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan, Kota Bharu, hal 385-397.
[41] Nama sebenarnya Abu Abdullah Sayyid Hassan bin Nur Hassan. Dilahirkan di Pakistan pada 1875M tetapi berhijrah dan menetap beberapa lama di Afghanistan. Menuntut ilmu di India dan merupakan seorang penuntut ilmu yang rajin. Beliau dikatakan tidak pernah tidur pada waktu siang hari selama 9 tahun. Menguasai lebih 10 bahasa dan berhijrah ke Singapura untuk menyebarkan ilmu pengetahuan dan seterusnya datang ke bumi Kelantan pada 1911M ketika usianya 37 tahun. Bertanggungjawab membawa masuk ilmu hadith buat kali pertama ke bumi Kelantan. Meninggal dunia pada 4 September 1944. Jasadnya dikatakan mengeluarkan bau wangi semasa diusung ke perkuburan. Lihat Ismail Che Daud (2001), Tok Khurasan, di dalam Ismail Che Daud, Tokoh-tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1)¸ Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan, Kota Bharu, hal 434-450.
[42] Nik Abdul Aziz Nik Hassan, op.cit, hal 16
[43] Anak kepada Haji Wan Musa dan cucu kepada Tuan Tabal ini dilahirkan di Jalan Merbau, Kota Bharu poeada tahun 1900. Antara guru-gurunya ialah bapanya sendiri, Tok Khurasan dan Hj. Nik Wan Abdullah. Melanjutkan pengajian di Mekah. Di sana beliau terdedah dengan tariq Syah Waliullah al-Dehlavi. Apabila pulang ke Kelantan pada tahun 1934, beliau diberikan sambutan hangat oleh penduduk negeri Kelantan. Namun beliau hanya sempat berada selama 8 bulan bersama masyarakat Kelantan kerana akhirnya dipanggil mengadap Allah pada 24 Mei 1935. Lihat ibid, hal 47.
[44] Beliau lebih dikenali sebagai Datuk Laksamana merupakan seorang tokoh yang amat berminat dengan agama. Anak tempatan Kota Bharu yang pertama yang belajar di Mesir dan bersimpatai dengan perjuangan Syeikh Muhammad Abduh. Pada 1922, beliau menerbitkan sebuah novel terjemahan ke dalam Bahasa Melayu yang diberi nama Citra Kecurian Lima Million Ringgit. Lihat Nik Abdul Aziz, op.cit, hal 16
[45] Antaranya mengikut pandangan penulis ialah Abdullah al-Qari bin Haji Salleh, seorang penulis dan tokoh ilmu yang terkenal buat masa sekarang di bumi Kelantan. Lihat temuramah bersama Majalah I (Januari 2006), Kumpulan Karangkraf, Kuala Lumpur, hal 23-29.
[46] Pidato pendek yang dibaca di atas kubur pada akhir upacaa pengebumian seseorang yang mati dan di dalamnya terkandung nasihat-nasihat untuk si mati bagaimana menjawab soalan-soalan malaikat penyoal nanti. Kaum Muda menyatakan amalan ini adalah bidah. LihatWilliam R.Roff (1975), Nasionalisme Melayu, terj. Ahmad Boestaman, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. hal. 87
[47] Ismail Awang, op.cit, hal. 391.
[48] Sayyid Sabiq (1999) al-Fiqh al-Sunnah, Dar al-Fath li al-Ilam al-Arabi, Kaherah, j.1 hal.380.
[49] Konsep ini membawa makna tidak teikat dengan mana-mana mazhab tertentu tetapi beramal menurut pendapat-pendapat yang diyakini paling kuat sahaja sekalipun ia merupakan pandangan dari mazhab lain.
[50] Ibid, hal 390
[51] Kemudiannya terkenal sebagai tokoh politik di Tanah Melayu. Beliau pernah memegang jawatan Presiden Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan seterusnya sebagai Yang diPertua Persatuan Islam Se Tanah Melayu (PAS)
[52] Dilahirkan pda 1872 dan meninggal dunia pada tahun 1952. Beliau di sebelah bapanya berasal daripada Minangkabau dan sebelah emaknya daripada Jawa. Semenjak kecil belajar di Mekah dan berhijrah ke Kota Bharu dengan menetap di Banggol. Beliau menjadi mufti Kelantan antara tahun 1928 hingga tahun 1941. Lihat Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hassan, op.cit, hal 59.
[53] Lihat Ismail Awang, Mufti Haji Wan Musa, di dalam Ismail Che Daud, Tokoh-tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1)¸ Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan, Kota Bharu, hal 389.
[54] Sekarang Menteri Besar Kelantan
[55] Temuramah dengan anak beliau, Dr. Ahmad Najib bin Abdullah al-Qari pada 25 Februari 2006. j

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...