Monday, January 11, 2010

Kembalikan Fitrah Dakwah sejati PAS

Lajnah Perpaduan Nasional adalah satu jawatankuasa yang diamanahkan untuk menerbitkan semula dakwah dan hubungan harmonis antara PAS selaku sebuah Gerakan Islam dengan kaum bukan Islam. Walaupun pada dasarnya ia lebih menonjol sebagai satu identiti hubungan berasaskan politik, namun disebaliknya ia sarat dengan agenda memahamkan kaum bukan Islam berkenaan kondisi Islam, mengeratkan hubungan antara rakyat majmuk sekaligus merealisasikan dakwah rasul yang mengutamakan keadilan dan keamanan luar dan dalam negara.

Malah PAS lebih maju dalam aspek perpaduan dan toleransi kaum kerana tidak memerlukan entiti lain untuk ‘berkawan’ dengan kaum bukan Islam. Sebaliknya UMNO terpaksa menggunakan BN untuk menjadi wadah penyatuan dan perhubungan UMNO dengan kaum bukan Melayu. UMNO bukan parti agama, ia hanya untuk melayu dan bumiputera. Hubungan UMNO dengan kaum bukan melayu melalui BN barulah boleh disebut hubungan berasaskan niat politik semata-mata. Jelas retorik 1Malaysia adalah agenda bermotifkan politik dan bukan perpaduan jangka panjang seperti yang kita harapkan.

Jelas rasulullah adalah pelopor utama pembinaan perlembagaan dunia berasaskan kepelbagaian kaum walaupun kaum-kaum di Madinah berbahasa dengan bahasa yang hampir sama iaitu keluarga bahasa arab-semitik. Lihat sahaja Fasal ke-2 hingga fasal ke-10 Piagam Madinah yang membahaskan tanggungjawab/obligasi ketua kaum dalam menjalankan peranan mereka menjaga keamanan dan keadilan sepanjang bernaung di bawah negara Madinah. Ini membuktikan bahawa Islam amat meraikan kepelbagaian kaum, adat dan agama, malah Islam memberi hak perundangan kepada mereka secara sunnah Piagam Madinah ini (pada 622M bersamaan tahun pertama Hijrah).

Bagaimana pula sikap yang perlu ada dalam jiwa petugas PAS? Sewajarnya setiap ahli mengambil inisiatif untuk proaktif mengembalikan semula tugasan dakwah terhadap kaum bukan Islam melalui pemupukan kefahaman Islam sebenar kepada mereka. Sekian lama mereka menerima maklumat dari sumber yang salah malah manipulasi UMNO terhadap agama begitu bejat dan merosakkan paradigma kaum bukan Islam di Malaysia selama ini.

Sekian lamanya PAS berjuang mendaulatkan Islam dari seawal-awal organisasi, kewujudan Dewan Ulama’ (Persatuan Ulama’), penubuhan Unit Amal dan sebagainya sebagai agen dakwah PAS. Namun begitu sedar atau tidak konsentrasi dakwah ini hampir 90% menumpu kepada domain kaum Melayu. Malah seolah-olahnya PAS adalah parti dielektik UMNO sahaja tanpa sedar ia bukan bertugas untuk menyaingi UMNO semata-mata, tetapi juga untuk memahamkan seluruh rakyat Malaysia apa itu Islam, apa itu pentadbiran dan keadilan Islam.

Sejarah PAS yang bermula sejak pra merdeka dan bertitik tolak daripada penolakan ulama’ terhadap dasar sekular UMNO mengheret PAS untuk terus bergelumang dengan politik yang hampir kesemuanya menjawab isu kemelesetan UMNO ataupun menyiarkan hasrat PAS untuk memerintah.

Kebanyakan pertubuhan Islam/NGO pasca merdeka adalah menjurus kepada penjagaan dakwah syiar Islam negeri Melayu, menjaga adat istiadat melayu serta warisan keilmuan Islam di Tanah Melayu. Gelombang NGO seterusnya pula menerbitkan gerakan Islam yang mulai inklusif terhadap dakwah kaum bukan Islam dan inilah aspek yang PAS giatkan melalui KPP.

Kaum bukan Islam? Semasa itu pemisahan sosial antara kaum cukup besar, malah gelombang kedua pembawaan kaum Cina dan India oleh British ke Malaya adalah untuk mengisi kerja ekonomi penjajah. Mereka terasing dan terpencil dek kerana budaya bahasa dan agama. Mereka datang untuk bekerja dan mereka memiliki kaum kerabat di Cina, belajar juga berasaskan sistem vernakular China. Mereka bukan berebut politik bersama kaum Melayu. Hal ini menyisihkan kegiatan dakwah PAS terhadap kaum bukan Islam akibat faktor sosiopolitik dan budaya dan ia berbeza pada hari ini.

Trend PAS kini kian terbuka. Jika dahulu semasa PRU 1999, sebarang isu dan hal yang melibatkan kaum bukan Islam, PAS akan serahkan kepada DAP atau PKN. Namun begitu keterbukaan minda berlaku akibat kematangan dan asakan maklumat yang luas. Kaum bukan Islam mula mengenali PAS dan berhasrat bersama PAS. Kini PAS proaktif untuk mengambil niche yang terbuka luas dengan menubuhkan Kelab Penyokong PAS (KPP).

Kerja buat Rasulullah bukan sekadar menjaga kebajikan dan beraktiviti bersama sesama penganut Islam sahaja. Bayangkan di zaman Rasulullah, daripada hanya seorang muslim (Rasulullah sendiri) boleh menerbitkan lebih 400 muslim selepas 10 tahun berdakwah. Adakah ini berjaya jika rasul berpuas hati dengan 10 sahaja sahabat akrab Baginda?

Kerja Lajnah Perpaduan adalah kerja ‘sawwabit’ (tetap), pillar atau asas dalam PAS bagi sesiapa yang memahami. Kerja ini mentransformasikan kegiatan PAS kepada kefahaman kaum-kaum lain. Memang kerja di dalam PAS cukup sarat dengan kegiatan dan takwim tahunan. Namun begitu, wujudnya lajnah ini serta Kelab Penyokong PAS adalah petanda KEMBALINYA dakwah Islam sejati (Rasulullah) kepada PAS. Kerja ini bukan kerja samblan yang boleh diambil mudah.

Rasul tidak pernah memaksa sesiapa menganut Islam. Yang berlaku adalah contoh, sunnah, ajakan, perbahasan berhikmah, politik serta hubungan ekonomi yang adil oleh Rasulullaah terhadap kaum bukan Islam.

Obligasi bertugas dalam Lajnah Perpaduan bukan tugasan yang mudah. Mengurus Kelab Penyokong PAS sehingga mereka mampu bergerak secara konsisten dan mandiri adalah tugasan serius ahli PAS dan memerlukan komitmen dan kesabaran ahli. Hubungan yang erat antara Lajnah Perpaduan dengan anggota Kelab perlu baik serta mencanai satu hubungan antogonistik yang bernilai.

Cuba renungkan, dengan komposisi melayu 53.4%, Bumiputera 11.7%, Cina 26.0%, dan India 7.7%, di Malaysia, cukup untuk PAS bertindak menghargai kaum bukan Melayu serta meraih undi/sokongan mereka terhadap PAS. Adakah ia hanya berjaya jika komunikasi dan interaksi hanya berlaku 4 tahun sekali? Sebaliknya selepas pilihanraya ahli akan kembali bekerja seolah mereka hanya berjuang untuk kaum melayu dan akhirnya kembali mendekati kaum bukan melayu pada pilihanraya seterusnya? Bukankah ini jauh dari sikap dai’ ?

Muhammad Nuruddin Bashah

SETIAUSAHA LAJNAH PERPADUAN NASIONAL NEGERI PERAK

3 comments:

pis said...

tuan jijoi tuan boleh berhujah panjang berjela, tetapi satu kelemahan yang jelas kelihatan pada pas pada pandangan orang bukan politik ialah pas tidak seperti umno yang menjadi leader dalam BN sebagai mana sepatutnya islam memerintah dan tolenrasi diberi dan dihormati kepada kaum lain bukan seperti sekarang kaumlain dominan dalam pr pas menjaga kerharmonian dan tolenrasi kaum untuk kepentingan kaum lain. ingatlah melayu isu nama allah itu adalah bukan politik melayu tetapi tangan asing yang nak menhancurkan negara dan menguntungkan singapura. melayu jangan dok berbalah. orang kafir akan curah minyak hingga kita hancur.

PKR (PUNTUNG KAKI ROKOK) said...

Wahai Ajijoi ,

Kertas Putih bertarikh 8 November 1984 melaporkan bahawa Dewan Ulama Pas yang bersidang pada Ogos 1963 di kediaman menteri Besar Kelantan, JKR 10 Jalan Kampung Sirih, Kota Bharu telah mengeluarkan hukum bersifat fatwa seperti berikut:

“Orang-orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara menjadi kafir atau haram”.

Kemudian hukum yang bersifat fatwa ini akhirnya diringkaskan dengan nama kafir berikat.

Pengikut-pengikut Pas pun mulalah menyebarkan fatwa itu dari mulut ke mulut dan kemuncaknya berlakulah pemulauan sakit mati, nikah kahwin dan seterusnya sembahyang berasingan.

Pusat pertama mendirikan sembahyang Jumaat dua sekampung ialah FELDA Kampung Rahmat Chalok, Setiu pada tahun 1975. Seterusnya berjangkitlah ke seluruh negara dalam negeri Terengganu kecuali Kemaman kerana percubaan mendirikan sembahyang berasingan gagal setelah tindakan segera dibuat oleh pihak berkuasa di daerah tersebut.

Dengan kuasa Allah s.w.t. melalui usaha murni Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, pada tahun 1974, Pas masuk bergabung dalam kerajaan Barisan Nasional.

Segala hukum agama yang menyeleweng pun berhenti dan perhubungan masyarakat Islam pun bersatu kembali tanpa mengira parti lagi.

Untuk membuktikan kebenaran pemerintah kongsi kuasa tajaan UMNO selama ini tiba-tiba keluarlah sebuah buku karangan Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ketika itu Ketua Dewan Ulama Pas Pusat. Buku itu dinamakan Sikap Saya bertarikh 4.1.1398 Hijrah bersamaan 15 Disember 1977 Masihi.
Pada muka surat 3, perenggan ke 4 dan 5 dalam buku tersebut ada merakam keputusan Dewan Ulama Pas Pusat iaitu:

Apa hukum Pas menyertai kerajaan campuran?”

“Kes ini atau sebagainya yang bersifat pokok dan menyeluruh, memang tepat untuk dibahas oleh dewan ulama. Sebab itu ia telah dibahas satu masa dulu dengan sepuas hati dan telah pun memberikan jawapannya : harus; dan kemudian dibahas sepenuhnya oleh kongres untuk ‘diterjih’ mana satu pihak yang mesti diambil”.

Dengan itu jelaslah bahawa hukum yang dibawa oleh Pas untuk menuduh UMNO kafir bekerjasama (berikat) dengan orang kafir dahulu bercanggah dengan hukum Allah dan ternyata hukum ciptaan ulama Pas. Pimpinan Pas tidak berterus-terang dengan pengikutnya. Sebab itulah setelah Pas keluar daripada BN hukum kafir itu dihidupkan semula.

Kalau dikirakan sudah jelas hukum jenis apakah apabila UMNO sahaja menjadi kafir tetapi apabila melakukan perkara yang sama menjadi harus pula.

Inilah kata orang “waharamun (haram) kalau makan seorang, wahalalun (halal) kalau bagi dua”.

Untuk lebih jelas lagi mengenai palsu dan karut-marut Pas ini ialah terjalinnya kerjasama Pas dengan DAP secara rasmi. (Harakah 12 April 1999).

Dengan itu terdedahlah segala yang tersembunyi.

Dalam kenyataan Nik Aziz pada 11 Mei 1999, barulah diberitahu bahawa Nabi Muhammad s.a.w. sendiri pernah menantangani perjanjian kerjasama dengan musuh tradisi Islam iaitu kafir Yahudi di Madinah.

Oleh itu kata Nik Aziz, “Pas juga sanggup bekerjasama dengan DAP”

Persoalannya mengapakah sejarah Nabi berkongsi kuasa di Madinah dengan kafir Yahudi yang sudah berlaku lebih seribu tahun lalu disembunyikan oleh ulama Pas ketika menjatuhkan hukuman kafir berikat ke atas UMNO pada tahun 1963 dahulu?

Ketika itu Nik Aziz inilah juga orangnya yang menjadi Ketua Dewan Ulama Pas Pusat. Jika mengikut hukum Allah yang sebenar orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) sebenar disisi Allah adalah orang yang zalim. Sila rujuk ayat 140 Surah Al-Baqarah.

Berdasarkan kepada kebenaran yang terserlah maka cara pendekatan politik kongsi kuasa yang ditaja oleh UMNO semenjak tahun 1955 lagi adalah tepat dengan sejarah Rasulullah di Madinah.

Pas sekarang mula meniru cara pendekatan UMNO setelah 46 tahun berlalu fitnah kafir berikat kepada UMNO. Jadi apa hukumnya pula sekiranya Pas dan DAP bergabung mengikut pandangan Pas dan ahli-ahlinya?


Sekian.

PKR (PUNTUNG KAKI ROKOK) said...

Wahai Ajijoi,

Apakah Muhammad Nuruddin Bashah mahu menidakkan sejarah atau tak pernah tahu pasal sejarah PAS atau sejarah mengenai politik negara sejak dahulu lagi.

Saya nak tanya kenapa terlalu sangat menafikan UMNO sebagai tunjang umat Islam dan Melayu dan peranan UMNO dan BN.

Awak boleh berdolak-dalik dalam hal ini tapi mampukah awak berdolak-dalik mengenai PAS yang banyak kelemahan dalam politik negara dan tambahan pula keadaan makin teruk setelah berkawan dengan DAP dan PKR.

Walaupun PAS pada pandangan awak adalah sebuah parti memperjuangkan Islam, tahukah itu semua untuk mengaburi mata semua orang yang terpaku dengan PAS termasuk awak?

Cuba beri pandangan terhadap persoalan ini.

a) Kenapa PAS berjuang atas landasan politik sahaja?

b) Adakah berjuang untuk Islam terhad kepada politik sahaja?

c) Sejarah perjuangan PAS bermula dengan keluar dari UMNO disebabkan mahu memperjuangkan Islam?

d)Bagaimana pula dalam sejarah PAS ada isu kafir, sembahyang dua imam, sembelihan ahli UMNO tidak boleh dimakan, halal darah ahli UMNO, demonstrasi jalanan, rusuhan, pengundi hantu dan lain-lain?

e)Adakah ini yang dilakukan oleh Rasulullah dalam perjuangan Islamnya?

f)Pendek kata, adakah perjuangan PAS sama dengan cara Rasulullah?

g)Adakah perjuangan PAS menyebabkan Islam, ilmu, iman dan amal orang Melayu bertambah baik seperti di Kelantan?

h)Tidakkah awak sedar bahawa PAS berjuang untuk Islam pada landasan demokrasi ciptaan barat?

i)Tidakkah awak sedar bahawa DAP itu siapa sebenarnya? Adakah dasarnya bersesuaian dengan PAS? Tahukah awak tentang sejarah DAP ini?

j)Siapa yang mencadangkan kerajaan perpaduan? PAS atau UMNO? Dan Siapa yang menolaknya? PAS atau UMNO?

k) Menolak perpaduan sesama Islam, adakah ini perjuangan Islam?

l) Sejak akhir-akhir ini, PAS dilanda konflik di Kelantan sebagai sebuah kerajaan termasuk pemerintahan Nik Aziz sekeluarganya dan kena RM800 juta saman. Hendak tuduh UMNO lagikah?

m)Baru sahaja memerintah di negeri tertentu, dah bermasalah dan bermain politik sahaja bukan untuk bekerja.

Dan banyak lagi persoalan lain yang perlu ditanya.

Jawablah persoalan ini.

Kalau gagal memberi maklum balas dengan pengetahuan yang ada bermakna awak hanya mampu berdolak-dalik dan berselindung.

Saya telah lama mengkaji sejarah Malaysia secara keseluruhannya dan politik amnya.

Untuk pengetahuan awak, PAS tidak dapat pergi jauh selepas ini.

Dan tidak ada pemerintahan yang sempurna sejak pemerintahan Rasulullah.

Sekian.

Followers

Video ajijoi

Loading...