Tuesday, January 26, 2010

TV3 & TV9 sebar fitnah, diberi tempoh 24 jam untuk mohon maaf



IPOH: Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaludin telah meminta Setiausaha PAS Perak, Misbahul Munir Masduki menghubungi peguam Hanipa Maidin bagi membincangkan kemungkinan mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya yang terpalit akibat dakwaan TV3 DAN TV 9 kononnya Pegawai Khasnya telah ditahan oleh SPRM.

Menurut Misbah para bloggers UMNO BN telah memainkan isu ini dan mendakwa kononnya Pakatan Rakyat akan menuduh UMNO BNlah yang mengatur konspirasi ini menjelang keputusan Mahkamah Perseketuan 9 Februari ini.

"Kalau itulah yang didakwa UMNO BN, memang sungguh BN UMNOlah perencana konspirasi ini kerana sehingga sekarang tidak ada seorang pun Pegawai Khas Dato' Seri Nizar yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Pegawai Khas Nizar di pejabat Menteri Besar dahulu ada tiga orang, saudara Amran Haron, Muhammad K.Y Tiang dan Nadarajah. " jelasnya.

Manakala Pegawai Khasnya yang masih bertugas dengan beliau di Pasir Panjang Encik Hamidon, manakala Pegawai Khasnya di Bukit Gantang, Saharuddin , saudara Fadzil dan Encik Zainuddin dan Encik Bashir. Semuanya dilantik oleh Dato' Seri Haji Nizar.

"Tidak ada seorang pun di kalangan mereka yang ditahan, direman atau dihubungi oleh pihak SPRM. Jadi dakwaan tersebut adalah karut dan berniat jahat," katanya.

Dato' Seri Nizar melalui peguamnya Hanipa Maidin dijangka akan mengambil tindakan undang-undang ke atas TV3 dan TV9 bagi membersihkan namanya dan juga nama pegawai-pegawai khasnya.

Beri tempoh 24 jam

Menteri Besar Perak yang disingkirkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menafikan laporan dua stesen televisyen swasta, semalam bahawa pegawai khas beliau adalah antara 38 orang yang ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyeludupan pasir.

Beliau memberi tempoh 24 jam sehingga 3 petang esok untuk TV3 dan TV9 memohon maaf secara terbuka berhubung laporan yang disifatkannya satu fitnah.

"Sekiranya kedua-dua stesen televisyen berkenaan gagal membuat permohonan maaf berkenaan, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan," katanya kepada pemberita di Ipoh.

"Kami juga sedang cuba mendapatkan video berkenaan bagi menentukan perkataan yang digunakan," tambah Nizar.

Menurut Nizar besar kemungkinan stesen televisyen berkenaan mendapt maklumat 'palsu' itu daripada sumber yang rapat dengan ahli politik yang berseteru dengannya.

No comments:

Followers