Sunday, January 31, 2010

Madrasah Hunain sebagai contoh tarbiah ta’lif untuk PAS

Berlayar bersama Lajnah Perpaduan Nasional memberi erti besar kepada diri saya sendiri betapa pentingnya sabar, tabah dan berjiwa besar dalam mengurus aktiviti parti bersama kaum bukan Islam. Faktor yang memerlukan kesabaran tidaklah terlalu besar, hanya satu iaitu pertembungan dan dialog antara budaya dan agama sedang berlaku apabila PAS mula giat menganjurkan aktiviti perpaduan dan intekasi bersama kaum bukan Islam.

Aktifnya PAS berinteraksi dan berkomunikasi secara sihat dengan kaum bukan Islam menjadi tanda besar bahawa PAS bersedia memerintah negara menggantikan UMNO.

Jika kita hanya menjalankan kerja amal Islami PAS hanya berlegar untuk ruang domain kaum Melayu, umumnya kita tidak mengalami permasalahan besar kerana domain itu masih ‘ngam’, masih sama serta harmoni dengan kehidupan sejumlah besar petugas PAS. Lantaran itu, menjadi satu ‘kejutan budaya’ kepada sesetengah individu yang diamanahkan dengan tugasan Lajnah Perpaduan Nasional apabila mula berinteraksi dengan kaum bukan melayu-Islam yang semestinya berbeza daripada rutin harian mereka.

Jelasnya inilah bermulanya dakwah dan bermulanya erti suatu perjuangan masyarakat madani Islami. Masyarakat madani Islami bukan hanya didiri oleh kaum Islam, malah ia segar membangun, maju dan terkehadapan hasil gemblengan dan paduan kerja antara kaum yang pelbagai, agama yang berbeza serta penumpuan kepakaran yang berbeza-beza. Inilah indahnya masyarakat madani Islami yang mengadun baik masyarakat bukan Islam secara saksama, adil dan terbuka.

Mengurus manusia memerlukan kita berjiwa manusia. Menubuhkan kelab Penyokong PAS (Kini Dewan Perhimpunan) atas alasan untuk mengaut undi 4 tahun sekali adalah perkara yang amat tidak masuk di akal serta zalim dari tujuan asal Islam. Tujuan utama Lajnah Perpaduan dan KPP ditubuhkan adalah menggalakkan semaksima mungkin, dialog budaya dan agama, semangat kerjasama dan toleransi, kolaborasi aktif yang positif untuk mencapai status masyarakat maju akhlak, maju peradaban dan kemakmuran.

Konflik diri di kalangan petugas PAS (mungkin) melingkari sebab yang cukup mudah iaitu diri tidak bersedia berinteraksi dengan kaum bukan melayu. Dasar pecah dan perintah British dan diteruskan oleh UMNO cukup terkesan hingga kini, malah ahli PAS juga cukup sukar keluar dari kepompong yang sama. Teoretikal dakwah yang kukuh termuat dalam usrah serta silibus haraki sukar diaplikasi secara maksima lantaran sosial kita masih terjerat dengan pemecahan sosio budaya tinggalan penjajah. Dari sebab itulah petugas LPN perlu merdekakan diri keluar daripada minda majoriti kaum melayu.

Cukup banyak isu yang timbul sepanjang perjalanan LPN menguruskan KPP. Antara yang kerap dibincang adalah perlunya kaum bukan melayu dididik cara PAS. Kaum Bukan melayu juga dikatakan hanya mendekati PAS untuk jawatan dan kuasa. Mereka tidak ikhlas melainkan hanya ingin menumpang momentum perubahan mood rakyat. Mereka banyak menuntut peruntukan dalam melakukan kerja parti, tdak seperti ahli PAS dikalangan kaum melayu yang selama ini berjihad tanpa bayaran.

Isu ini mudah untuk saya jawab sebelum saya menyediakan dalil sirah Rasulullah SAW. Pertamanya mereka bukan Islam. Alangkah sedihnya jika kita bercita-cita mereka memiliki sikap ‘jihad’, taqwa, ikhlas dan faham seperti kita yang ‘telah ditarbiah’. Jangankan jihad, mereka belum lagi mengenali Islam dan tujuan sosial Islam memandangkan kita masih jauh daripada melaksanakan obligasi dakwah kepada mereka. Mereka hanya menerima maklumat Isalm dari suasana masyarakat tinggalan penjajah.

Malah PAS bertuah apabila Buku Peraturan Dewan perhimpunan Penyokong PAS ada menggariskna tatatertib keahlian dan moral ahli DPP di mana PAS boleh mengawal moral dan etika mereka sepanjang bersama PAS. Lihat sahaja Fasal 23 (1) kurungan (a) hingga (f) di dalam Buku Peraturan DPP tersebut yang antaranya menegaskan kehendak ahli Dewan Perhimpunan untuk mengekal adat ketimuran, kesopanan serta menjaga kerahsiaan PAS.

Menurut YB Dr Mujahid semasa taklimat khas LPN bersama PAS ZON Utara Perak (24 januari 2010) yang lalu, disiplin yang diterapkan dalam Fasal 23 tersebut umpama ‘Baiah’ dan janji kaum bukan Islam untuk bersama dalam ‘ketumbukan’ gerakan Islam. Bukankah ini sunnah tinggalan nabi? Dakwah ‘graduality’ atau disebut sebagai sikap tadarruj dalam pemupukan budaya Islam perlu lebih awal, sebelum memahamkan mereka erti dasar perjuangan Islam.

Agenda ta’lif adalah agenda utama dalam dakwah Rasulullah sehinggakan tiada alasan lagi bagi kaum tulaqa’ (kafir yang masih berada di Mekah semasa pembukaan mekah) dengan kaum Badwi dan Tai’f yang degil dengan Islam. Konsep muallafatul qulub ada di dalam bab zakat. Sirah merakamkan pada zaman Nabi SAW kaum yang jinak dengan Islam, tetapi belum memeluk Islam akan diberi zakat. Pada Zaman Saidina Umar RA barulah diberi kepada yang telah masuk Islam (muallaf).

Aspek keduniaan boleh digunakan untuk agenda ta’lif (menjinakkan kaum bukan Islam). Kerajaan Kedah meletakkan syarat menjadi ahli KPP jika ingin melibatkan kaum bukan Islam itu dalam program kerajaan negeri. Inilah sikap Baginda SAW apabila ditanya oleh Aus dan Khazraj, adakah kami boleh disatukan sekiranya kami mengikut kamu? (kesatuan dan perpaduan adalah nilai duniawi yang dilihat oleh penduduk Madinah). Lihat juga sikap Baginda terhadap Abu Sufian dan para tulaqa’ sebelum dan selepas memeluk Islam.

Saya berminat untuk mengupas sedikit berkaitan sunnah muallafatul qulub yanag ditinggalkan oleh Nabi dalam sirah Peperangan Hunain.

Ahli PAS (angoota Lajnah Perpaduan) mungkin masak dengan konsep Himayah iaitu bantuan boleh diterima oleh Islam dari kaum bukan Islam atas dasar kekitaan, perkauman atau persaudaraan. Namun begitu dalam permulaan perang Hunain, terdapat bantuan dari kaum bukan Islam kepada Rasulullah atas dasar bernaung di bawah organisasi/sistem Islam yang sama. Rasulullah berjaya meminjam 100 baju besi daripada Safwan Bin Umaiyyah (masih kufur) serta Nabi mengucapkan terima kasih kepada Safwan atas bantuan tersebut ( Ibnu Majah 2/809).

Jika kita ahli PAS risau kebajiran kaum bukan Islam dalam PAS hanya bertujuan untuk pangkat dan kedudukan, lihat pula bagaimana Rasulullah memaafkan golongan Tulaqa’ yang baru memeluk Islam (ada yang belum Islam) yang meminta Rasulullah membuat seumpama berhala dengan menggunakan pohon Dhat Anwat semasa perjuangan di Hunain. Bayangkan bagaimana sikap kita jika kaum bukan Islam meminta kita berbuat demikian. Mereka bukan sekadar ingin pangkat malah ingin membuat berhala sepanjang kempen peperangan Islam. Rasulullah menolak dengan lembut malah menasihati mereka berkenaan budaya dan syariat Islam. (Sunan At Tarmizi 3/3212-2, Hasan sahih)

Sepanjang bersama kaum Tulaqa’ dan Badwi di Hunain, Rasulullah sedar dan faham benar bahawa kaum-kaum ini tidak faham apa erti jihad. Mereka sertai perang hanya untuk rampasan perang dan nama baik keluarga mereka. Mereka fokuskan keduniaan dalam peperangan suci kaum Islam. Mereka menumpang disebalik kemenangan kaum Islam, mereka akan senang dan selesa di bawah pemerintahan Islam. Ini sikap biasa bagi kaum bukan Islam. Rasulullah cukup sabar mentarbiah mereka walaupun jumlah mereka yang ingin dita’lif tersebut ramai.

Sikap optimis Safwan Bin Umayyah (muallaf belum memeluk Islam) terhadap kejayaan Islam cukup tinggi. Beliau memarahi sesiapa sahaja yang tidak yakin dengan kemenangan Islam. Beliau rela diperintah oleh Quraisy (Rasulullah) berbanding kaum lain (Hawazin dari Taif). Lantaran atas sikap perkauman dan kekitaan mereka menyokong Rasulullah. Rasulullah tidak mencela walau sedikitpun sikap mereka.

Kesetiaan kaum bukan Islam terhadap PAS perlu dipupuk melalui SIKAP dan DAKWAH ahli PAS kepada mereka. Mereka setia selagimana mereka memandang PAS boleh memberi kemakmuran, keadilan dan keharmonian hidup kepada mereka. Jika ahli PAS masih mewarisi persempadanan kaum tinggalan British dan UMNO, mungkin terlalu jauh lagi misi perpaduan nasional yang ingin dipeluk oleh PAS. Semasa sengit di medan Hunain, sejumlah besar Badwi dan Tulaqa’ meninggalkan Nabi sehingga hanya belasan sahabat besar Nabi sahaja yang menjadi perisai kepada Baginda. Bayangkan, tanpa kefahaman Islam (malah belum memeluk Islam) bagaimana mungkin Bagi boleh memaksa mereka setia dalam peperangan yang mengorbankan nyawa? Adalah logik jika kaum bukan Islam meninggalkan perjuangan Islam atas dasar keduniaan atau kebendaan. Itu lumrah. Yang menjadi tugas kita adalah mendidik mereka faham erti perjuangan Islam sebenarnya.

Ummu Sulaym memohon nabi membunuh para Tulaqa’ dan Badwi yang melarikan diri tersebut (Sahih Muslim 3/1442). Nabi enggan berbuat demikian, malah Nabi sedar terdapat beberapa Tulaqa’ dan Badwi yang kembali berjuang apabila melihat pasukan nabi mulai kuat.

Sebenarnya masa depan PAS akan kian cerah jika gemblengan tenaga dan kesatuan pemikiran ahli dan pendokong berlaku dalam hal membina interaksi sihat dan konstruktif dengan kaum bukan Islam. Tuntasnya Islam untuk semua tanpa mengira kaum dan keturunan.

Muhammad Nuruddin Bashah

SETIAUSAHA LAJNAH PERPADUAN NASIONAL NEGERI PERAK

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...