KENYATAAN AKHBAR JAMAIY PERAK 11/01/2010
Jaringan muafakat NGO-NGO Islam Perak (Jamaiy) mengambil sikap yang sangat prihatin terhadap perkembangan yang berlaku akibat isu penggunaan nama Allah yang dibuat keputusan oleh mahkamah tinggi baru-baru ini. Sikap emosi pihak-pihak tertentu yang bersikap melampau mengapi-apikan sentimen perkauman dan sentimen keagamaan yang melulu adalah tidak sihat dan merbahaya kepada keselamatan Negara dan kelangsungan hidup beragama di Negara ini.
Jamaiy ingin memberikan pandangan tulus dalam isu-isu ini dan kenyataan-kenyataan ini adalah berdasarkan pemahaman yang berlatarkan syariah.
i) Kehidupan rakyat yang pelbagai bangsa dan agama adalah satu realiti yang mesti diterima dengan baik. Umat Islam mesti tampil menunjukkan kehebatan mereka melalui dakwah yang tersusun dan berilmu.
ii) Keputusan-keputusan Majlis Fatwa di Negeri-Negeri termasuk Perak yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah kepada orang-orang yang bukan Islam dan pencetakan bahan-bahan agama lain dalam bahasa Melayu perlulah dihormati. Majlis-majlis Fatwa Negeri adalah institusi-institusi yang berwibawa dan dinaungi oleh Sultan-Sultan sebagai ketua agama Negeri-Negeri. Lebih penting adalah penguatkuasaan
undang-undang sedia ada melarang aktiviti menyebarkan agama lain kepada muslim mesti dilaksanakan dengan tegas.
iii) Perbuatan membakar gereja adalah tindakan tidak waras, merugikan dan bertentangan dengan prinsip Islam. Kalau semasa perang Islam menegah pemusnahan rumah-rumah ibadat agama lain tentulah semasa aman lebih lagi.
iv) Dalam menangani ketegangan rakyat yang pelbagai agama, pihak Kerajaan mestilah bertindak cepat dan cekap mengambil inisiatif menjemput semua pihak yang terbabit ‘stake holders’ – pimpinan parti-parti politik, pimpinan agama dan badan-badan NGO bagi mencari kesepakatan dan titik kebersamaan bagi menyelesaikan persoalan ini.
Semua pihak mesti mengelakkan diri dari mempolitikkan isu sensitif tersebut.
v) Kami berpandangan mahkamah bukanlah platform terbaik bagi menyelesaikan kes ini. Bukan semua pertikaian lebih-lebih lagi yang berkaitan agama boleh dirujuk ke mahkamah. Pendekatan musyawarah perlulah diutamakan.
6. Dalam pada itu Jamaiy menyeru umat Islam yang bangun secara aktif mempertahankan kalimah Allah juga mesti bangkit untuk mempertahankan hak-hak Allah khususnya dalam kuasa mutlak hukumiyah Allah (hak Allah menentukan dan mensyariatkan hukum) yang sangat terabai di Malaysia. Jangan kita ‘double-standard’ – hanya nama Zat Allah saja yang dipertahankan sedangkan hukum-hakamnya dan
perintah-perintah serta serta larangannya tidak dipedulikan.
7. Keperihatinan kita tentang murtad mestilah dipastikan selari dengan tindakan-tindakan menegur pemerintah supaya aktiviti-aktiviti kemungkaran dibanteras dari merebak menjejaskan aqidah anak-anak muda.
viii) Dalam masa kegawatan ekonomi yang melanda Negara dan rakyat sekarang, tindakan-tindakan melampau baik dipihak orang Islam atau orang-orang bukan Islam adalah ‘counter produktif’ kepada keyakinan dunia luar kepada iklim pelaburan di Malaysia. Jangan Bakar kelambu kerana nyamuk seekor !
Kenyataan oleh :
Dr. Hj. Khairudddin Bin Dato’ Abd. Malik
Pengerusi Jamaiy Perak
No comments:
Post a Comment