Sering-seringlah bertanya kepada akal sendiri, apa yang diperjuangkan? Mungkin akal akan menjawab, ''aku memperjuangkan Islam." Kemudian, tanyakan soalan yang sama kepada hati. Jika jawab hati (tentulah dengan sejujur-jujurnya), "aku ingin memperjuangkan Islam," maka ketika ini, hati dan akal telahpun bersatu.
Dan jika ada pihak lain yang juga akal dan hatinya telah bersatu, maka akan mudahlah terbentuk kerjasama antara kita dengan mereka. Kerjasama itu akan harmoni atas dasar kesatuan matlamat. Tetapi sekiranya, kerjasama sukar dibentuk atau kerjasama sering bermasalah, itu petanda matlamat antara kita dan mereka masih berbeza. Puncanya? Hati dan akal sesama kita masih belum bersatu. Mungkin hanya 'akal' yang berkata, "aku memperjuangkan Islam," tetapi hati merasakan yang lain.
Hakikat ini ingin saya kaitkan dengan usaha memperjuangkan 'produk-produk' dakwah Islamiah seperti kursus, program latihan, ceramah, buku, majalah dan lain-lain. Wajar dibezakan produk yang berasaskan dakwah dengan yang lain. Antara yang paling utama ialah para penceramah, pemilik syarikat dan aktivis produk dakwah wajib mengutamakan 'tujuan' berbanding 'keperluan'.
Apakah tujuan para penulis, penceramah, motivator, pemilik syarikat dengan produk dakwah Islamiahnya itu? Tidak lain hanyalah untuk mencari keredhaan Allah dengan mengajak orang kepada Islam. Dan apakah pula keperluan? Ya, sebagai manusia biasa pendakwah juga perlukan wang, gaji dan keuntungan untuk menyara kehidupan.
Perlu diingatkan bahawa pada diri pendakwah, tujuan (keredhaan Allah) wajib senantiasa mengatasi keperluan (gaji, keuntungan dan ganjaran). Jika berlaku sebaliknya, firman Allah ini telah memberi amaran:
"Dan janganlah kamu jadikan pesanan-pesanan dan perintah Allah sebagai modal untuk mendapat keuntungan dunia yang sedikit.." An Nahl 95.
Ingatlah, keredhaan Allah bertunjangkan tujuan itulah 'content'. Manakala keuntungan material bertunjangkan keperluan itulah 'container'. 'Content' perjuangan ialah Islam, manakala 'container' ialah kumpulan, organisasi atau syarikat dimana kita berada atau kita miliki. 'Content' perjuangan kita mesti satu dan sama, tetapi 'container' kita boleh banyak dan berbeza.
Jika ini benar-benar kita hayati, maka antara kumpulan atau syarikat yang mempunyai 'content' yang sama akan mudah bekerjasama. Mengapa? Kerana masing-masing meletakkan kepentingan 'content' (Islam) mengatasi 'container' (kumpulan). Tidak ada lagi 'taksub' kumpulan, syarikat atau obsesi diri. Kita sentiasa yakin bahawa Islam tidak boleh dimonopoli oleh mana-mana kumpulan. Tidak ada mana-mana pihak yang boleh mendakwa bahawa dia sahaja 'satu-satunya' pejuang Islam terbaik.
Marilah kita sinergikan akal hati dalam diri kerana jika itu sudah berlaku maka mudahlah kerjasama dilaksanakan melangkaui batas kumpulan, puak atau organisasi!
-Solusi #2
No comments:
Post a Comment