Sunday, January 10, 2010

Kelab Penyokong PAS, memberi ERTI kepada DAKWAH PAS.

Semasa saya cuba berfikir berkenaan halatuju dan kemewahan faedah yang PAS dapati semenjak tertubuhnya Kelab Penyokong PAS (KPP) saya terbaca satu makalah bertajuk Managing Ethnic Relations in Post-Crisis Malaysia and Indonesia Lessons from the New Economic Policy? yang dikarang oleh Khoo Boo Teik (United Nations Research Institute for Social Development). Sepintas lalu sejarah perhubungan etnik di Malaysia dikupas secara konvensional iaitu hubungan yang terbina atas dasar toleransi orang Melayu beserta khidmat jasa kaum India Cina sejak zaman penjajahan British.

Kupasan makalah seperti ini sama sahaja dengan persepsi umum masyarakat Malaysia berkenaan ‘muhibbahnya’ hubungan etnik di Malaysia yang didasari oleh beberapa tindakan kerajaan seperti DEB, Transformasi politik sehingga tertubuhnya Perikatan dan BN, dan hubungan atas dasar rukunegara dan dasar dasar umum negara.

Namun begitu agak ketinggalan jika para penganalisa tidak memerhatikan aspek terpencil yang mampu membawa kepada pertautan erat antara kaum di Malaysia iaitu aspek budaya dan agama. Kini masyarakat mulai sedar keperluan mengadakan bengkel dan seminar antara kaum untuk memberi kefahaman dan memupuk ‘sikap memberi dan menerima’ di kalangan etnik.

Namun begitu formula pemahaman agama dan budaya juga mampu dilakukan melalui pentas politik atau menggunakan nilai homofili (sepunya) iaitu nilai politik, kehendak politik, persepsi politik dan sebagainya.

Kesedaran kaum-kaum bukan melayu terhadap kebejatan UMNO dan BN telah membuka peluang kepada PAS untuk mendekati mereka sekaligus memperkenalkan Islam dan PAS kepada mereka. Adakah ini satu tindakan drastik yang memaksa kaum bukan Islam menganut Islam? Apabila PAS menyebut istilah dakwah, ia bukan membawa maksud sedemikian. Berasaskan contoh dan model, PAS kini giat memperkenal dasar PAS dan pemerintahan cara Islam kepada kaum bukan Islam sekaligus mereka boleh kekal dengan agama dan resam masng-masing di bawah semangat keadilan Islam.

Adakah ini retorik? Jika kita menemubual sebilangan besar anggota Kelab Penyokong PAS, mereka akan secara yakin menyatakan, mereka bersedia berada di bawah sistem pentadbiran yang adil serta memahami dasar perjuangan PAS yang membela rakyat jelata tanpa mengira kaum.

Hebatnya aura DSAI suatu ketika dahulu pernah membawa satu fenomena ubah sokongan di kalangan Melayu apabila tragedi fitnah dan penangkapan DSAI secara biadab dan terancang. Saya masih ingat Majalah Lanun yang diketuai oleh saudara Ujang (dahulunya beliau mengetuai Majalah Ujang) membawa mesej dakwah, memapar potret Tuan Guru Nik Aziz, membawa mesej Barisan Alternatif dan mesej menentang kezaliman.

Tetapi hal ini hanya melanda kaum Melayu. Kaum Bukan Melayu tidak berganjak daripada menyokong MIC dan MCA sehinggalah PRU ke-12 baru baru ini. Krisis demi krisis, kezaliman dan kepura-puraan BN dalam menjalinkan hubungan antarakaum membawa fenomena lebih besar iaitu peralihan undi kaum bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat dan Pakatan Rakyat kukuh akibat meningkatnya sokongan kaum bukan Melayu terhadap Pakatan Rakyat. PAS menang di banyak kerusi juga akibat sokongan kaum ini.

Persoalannya, adakah boleh kita mengabaikan kaum bukan melayu ini yang telah memberi peluang kepada PAS untuk menampilkan aspirasi dan dasar PAS? Adakah kaum ini hanya perlu didekati setiap 4 tahun sahaja yang langsung tidak menampilkan jiwa dan sunnah Rasulullah yang menjadikan agenda ‘engagement’ dengan kaum bukan Islam sebagai rutin baginda?

Saya juga kerap meninjau minda saudara Saad bin Ismail (Man Kasut) yang juga merupakan Penyelaras Kelab Penyokong PAS Perak. Beliau kerap berceramah menerangkan dengan adanya KPP, PAS berjaya memahamkan ramai kaum bukan Islam terhadap sistem syariah, keadilan ekonomi Islam dan agenda kebajikan Islam. KPP mengukuhkan Pakatan Rakyat serta memperkuatkan juga DAP dan PKR kerana segmen yang gagal ditembusi oleh perti tersebut berjaya diisi pula oleh KPP. KPP memusnahkan ruang paranoid, alah atau ketakutan kaum bukan Islam terhadap PAS. Tiada lagi ruang sesiapa menafikan peranan PAS terhadap kaum bukan Islam-Melayu kerana KPP boleh menjadi model dan fasilitator terhadap pelbagai tomahan dan lemparan isu berkenaan.

Keputusan PRK Bukit Gantang (boleh dijadikan indikator) menunjukkan peningkatan undi dikalangan kaum Cina sebanyak 10 % , kaum India meningkat 5% dan sedikit penurunan dalam undi Melayu, khususnya pada saluran satu. Dalam PRK ini isu Hudud, isu negara Islam tidak lagi menjadi senjata UMNO/BN kerana isu tersebut ternyata gagal di Kuala Terengganu (PRK sebelumnya).

Sejurus sahaja Presiden PAS menandatangani watikah penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS hari ini (Ahad 10 januari 2010), maka dunia dakwah menyaksikan sendiri bagaimana sebuah Parti/jamaah Islam yang memiliki skuad penyokong dan pendokong yang terdiri dari kaum bukan Islam, membenarkan kaum bukan Islam mengundi pemimpin gerakan Islam dan sebagainya. Hal ini jelas menunjukkan betapa PAS sebuah gerakan yang cukup RELEVAN dalam kosmo hidup majmuk di Malaysia. Peruntukan artikel 23 (7) (e) Perpembagaan PAS membenarkan di mana jawatankuasa PAS Pusat mempunyai kuasa untuk membina pasukan khas dan menyediakan peraturan sendiri.

Susur galur perjuangan ini bukan suatu yang mudah dicapai tanpa memahamkan ahli PAS sendiri berkenaan hakikat Dakwah Rasulullah. Resolusi Seminar Taklimat Lajnah Perpaduan Nasional Perak di Air Kuning 5 Disember 2009 menyaksikan ‘flow’ kerja yang cukup profesional di kalangan penggerak lajnah ini serta anggota Kelab Penyokong PAS negeri Perak.

Antara lain resolusi itu menyatakan kepentingan memperkukuh LPN/KPP di setiap kawasan-kawasan, mengemaskinikan keahlian Kelab Penyokong di kawasan masing-masing, menyelia dan menyelaras aktiviti KPP di kawasan, KPP dilibatkan dalam aktiviti parti mengikut kesesuaian PAS kawasan, serta mengukuhkan struktur organisasi KPP untuk transformasi sebagai salah satu sayap parti.

Konsep Prinsip Pendekatan Hikmah dan Bertahap (tadarruj) yang dinyatakan oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali (Seminar Pemerkasaan Belia Islam Serantau pada 2 Disember 2004) adalah antara konsep yang jarang sekali dikupas oleh pejuang PAS. Ahli PAS perli diberi pendidikan yang komprehensif berkaitan WAJIBnya mendekati kaum bukan Islam. Disiplin yang tinggi untuk bersabar membina generasi baru penguat PAS dari kalangan kaum bukan Islam. Generasi yang berhikmah perlu subur disemai di mana mereka perlu sedar antara perkara fiqh yang bersifat konseptual dengan fiqh harakiy/dakwah yang kontekstual serta tawazun(seimbang) dalam pelbagai aspek. Ahli PAS perlu memiliki keazaman yang kental serta optimis berkaitan masadepan KPP sebagai punca ahli PAS mencapai dasar PAS sebenarnya iaitu menyebar Islam dan menyemai nilai Islam di segenap lapisan masyarakat.

Tujuan perjuangan PAS diperincikan dalam Fasal 6 Perlembagaan PAS, antara lainnya:

1. Menyeru umat manusia kepada syariat Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

2. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

3. Memupuk dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan dikalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dam masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

4. Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.

5. Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.

6. Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

7. Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya di samping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.

8. Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.

9. Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.

Tanpa KPP, adakah benar dakwah kita, sikap kita, hasrat kita sampai ke dada dan sanubari kaum bukan Islam?

Sebenarnya Fasal 6 inilah yang menjadi titik tolak kepada konsistennya anggota Lajnah Perpaduan Nasional bergelut dan bersusah untuk menubuhkan Kelab Penyokong di serata Malaysia dengan satu tujuan, iaitu menekuni dan menginssafi DAKWAH sebenar Rasulullah SAW.

Muhammad Nuruddin Bashah

SETIAUSAHA LAJNAH PERPADUAN NASIONAL NEGERI PERAK

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...