Saturday, January 30, 2010

Pro-Mahasiswa selar menteri perlekeh siswa

KUALA LUMPUR, 30 Jan: Pro-Mahasiswa (Pro-M) menyelar kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin kerana sekali lagi mengeluarkan kenyataan memperlekehkan mahasiswa dengan ungkapan ‘tidak matang’ dan ‘tidak boleh terima kekalahan'.

Pengerusi Pro-M Nasional, Mohd Shafie Hashim berkata, kenyataan tersebut jelas menunjukkan keegoan seorang pemimpin rakyat yang tidak ada perikemanusiaan terhadap penindasan yang berlaku kepada mahasiswa yang juga sebahagian di bawah tanggungjawabnya.

Jika begitu, kata beliau sebenarnya Khaled juga tidak matang kerana mengeluarkan kenyataan tanpa menyelami apa yang mahasiswa rasai.

Di samping itu, beliau menyifatkan ulasan beberapa akhbar tabloid sama ada elektronik mahupun media cetak, Kosmo dan Mstaronline.com yang melaporkan keputusan yang tidak lagi diputuskan secara sah dalam pilihan raya kampung (PRK) kali ini berbaur penghinaan terhadap tindakan mahasiswa.

Akhbar yang melaporkan kenyataan palsu dan tidak beretika tesebut hanya mahu menimbulkan persepsi baik terhadap proksi Umno di kampus khususnya di Universiti Malaya (UM).

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Pro-M UM mendesak mereka menarik balik kenyataan dan meminta maaf kepada mahasiswa.

Katanya, walaupun di UM, pro-M hanya mendapat 17 kerusi manakala bebas 3 kerusi dan Pro- Aspirasi mendapat 21 kerusi, bukan bermakna Pro-M tidak berpuas hati dengan pencapaian itu.

Tambahnya, Pro-M sudah lama melalui masa-masa kalah dan juga masa-masa menang sebelum ini.

“Dahulu kita kuasai MPMUM kemudian kita kalah 4 tahun berturut-turut disebabkan sistem yang teruk sehingga mengenepikan aspek keadilan kepada mahasiswa.

“Pro-M sudah banyak bergenang air mata dengan kekalahan sebelum ini tetapi Pro-M tidak pernah lemah semangat dan terus berjuang sehingga diberi kemenangan yang sebenar.

“Buat apa kita menang dalam sistem yang teruk menindas mahasiswa, tidak mengapa kalah, yang penting prinsip dipertahankan,” tegasnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, Pro-M jelas dengan prinsip perjuangannya yang hanya mahu menegakkan keadilan dan menghancurkan kezaliman terhdap apa sahaja yang berlaku.

Katanya, Pro-M tidak bias kepada mana-mana pihak, yang salah tetap salah , yang benar tetap benar.

Tambahnya, dalam konteks PRK di UM kali ini, pihaknya berhadapan dengan sistem E-voting yang masih baru dan diragui lagi ketelusan dan integriti yang tiada pada pengendalian dan pengurusan sistem berkenaan.

Ujarnya lagi, dalam masa yang sama PRK UM berhadapan dengan pentas perlawanan yang tidak adil sehingga berlaku banyak penindasan yang sangat teruk.

Atas perkara itu , jelasnya Pro-M terus bingkas bangun mempertahankan kebenaran sehingga mendapat keputusan yang baik daripada NC untuk menyiasat dan menangguhkan segala keputusan pilihan raya yang sebelum ini telah diumumkan.

Oleh yang demikian, katanya tidak ada mana-mana pihak mendakwa dirinya kalah mahupun menang, lebih-lebih lagi mahu bercita-cita membentuk kabinet dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, mahasiswa adalah generasi pertengahan di mana jiwa dan roh semangat juangnya tidak dapat dihalang oleh mana-mana pihak kerana sekali mereka bangun, apa sahaja boleh terjadi.

“Jadi jangan perlekehkan mahasiswa, jangan pandang rendah pada mahasiswa.

“Menang, kalah bukan ukuran, tetapi mahasiswa tegas dan tetap pendirian di atas perjuangan untuk mempertahankan kebenaran dan keadilan sehingga menumbangkan segala kezaliman dan penindasan,” tegasnya.

-harakahdaily

Ajijoi ~ Siapa yang tak matang sebenarnya? Dan siapa yang tidak boleh menerima kekalahan? Jawapannya di video ini.

No comments:

Followers