Semasa kami sekeluarga di Popular Book Store sedang memilih buku untuk dibeli, isteri saya memanggil kearah saya sambil matanya digenangi air. Ditangannya, sebuah buku bertajuk 'Catatan Hati Nik Nur Madihah'.
"Kenapa?" tanya saya kepadanya.
"Baca sikit daripada buku ni tadi, sedih pulak kisahnya. Belilah buku ni. Bagi kat Suha. Suruh dia baca. Biar dia rasa berapa susahnya nasib orang lain berbanding dengan dia. Bagus kisah Madihah ni. Boleh juga dijadikan motivasi untuk dia" terang isteri saya.
"Baiklah. Katakan pada dia buku ni hadiah dari ayah untuk keputusan periksa dia hari tu." saya memberikan persetujuan.
Memang menyedihkan apabila membaca kisah Nik Nur Madihah ini. Catatannya ini tepat mengenai hati saya. Air mata mengalir sendiri bila membaca kisah keperitan hidup mereka sekeluarga.
Saya mengesyorkan agar anda memiliki buku ini untuk bacaan sekeluarga. Betapa amalan 'Hablu Minallah Hablu Minannas - Hubungan dengan Allah, Hubungan dengan Manusia' amat baik untuk diterapkan kepada anak-anak untuk menjadi pelajar yang berjaya.
Sinopsis:
Si ayah bergelut dengan gelombang. Si ibu bergelumang dengan perit harian. Lantas si anak menyemat tekad untuk terus berjuang melepaskan mereka dari kesengsaraan.
Kesempitan hidup yang menyesakkan nafas tidak pernah sekalipun mematahkan semangatnya untuk hidup. Malah itulah tangkal dan azimat yang menjadi bekalan untuknya mengatur langkah, mencari permata yang tak ternilai harganya - ILMU! Menyalin semula sebuah kamus dengan tulisan tangan sendiri kerana tak punya wang untuk membelinya. Sering berpuasa menahan lapar dan dahaga demi untuk menjimatkan belanja. Menahan keinginan hati untuk memiliki barang-barang sendiri. Bukan senang mencapai bintang. Namun, tiada yang mustahil dalam kehidupan. Kepada Allah dia menyandarkan harapan. Agar diberi kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan cabaran hidup. Semoga diberi kesempatan untuk membalas keringat dan jasa ayah bonda.
Tekad si anak bukan mainan kerana dihujungnya adalah permulaan kepada sebuah KEJAYAAN!
No comments:
Post a Comment