Monday, June 15, 2009

Tragedi Masjid Al-Furqan: Bersatu Perak desak PBB campurtangan


Berikutan tragedi berdarah di Selatan Thailand Selasa lalu yang melibatkan 12 orang penduduk mati ditembak, Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak ( BERSATU PERAK ) tampil mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kerajaan Thailand supaya menyelesaikan segera kemelut berdarah di wilayah itu.


Presiden persatuan tersebut, Mohd Hafez bin Sabri melalui kenyataan media yang dihantar semalam menyatakan konflik yang berlaku di Selatan Thailand sehingga kini masih belum dapat diselesaikan. Sejak 2004 berlakunya kemelut, hampir 3,700 jumlah umat Islam yang tidak berdosa dibunuh tanpa sebab. Bantuan ketenteraan yang disalurkan oleh kerajaan Thailand, menambahkan lagi parah konflik di wilayah bergolak itu.

Pada tarikh 9 Jun 2009 (Selasa), umat Islam seluruh dunia dikejutkan dengan 12 orang jemaah yang sedang bersolat Isyak di Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan, Sungai Golok telah ditembak mati oleh sekumpulan penyerang bersenjata rifel M-16 dan pump-gun, berseragam hitam dan bertopeng. Kejadian berlaku dalam tempoh lima minit.


Dalam kenyataan media berkenaan, ( BERSATU PERAK ) berpendirian kemelut yang berlaku sejak 6 tahun dahulu itu tidak akan berkesudahan sehinggalah ketenteraan Thailand diundurkan dari wilayah tersebut dan umat Islam diberikan kuasa dan hak autonomi terhadap wilayah mereka.

“Kami ( BERSATU PERAK ) mendesak kerajaan Thailand yang diketuai oleh Abhisit Vejjajiva bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian berdarah tersebut. Kerajaan wajib mengambil tindakan sewajarnya terhadap kumpulan pembunuh tersebut disamping mengadakan tindakan pencegahan.

( BERSATU PERAK ) menggesa kerajaan Malaysia dengan segera bertindak membantu menyelesaikan konflik selatan negara tersebut. Kerajaan Malaysia digesa agar menyalurkan bantuan pendidikan kepada wilayah tersebut bagi menyelamatkan umat Islam di selatan Thailand .

( BERSATU PERAK ) juga mendesak konflik selatan Thailand ditamatkan dengan memberikan ruang dan kuasa kepada umat Islam menjalankan kehidupan mereka tanpa sekatan dan ancaman.

( BERSATU PERAK ) akan memanjangkan desakan ini dengan menghantar surat tuntutan kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, Pengerusi OIC dan ASEAN agar ada desakan di peringkat antarabangsa terhadap isu penindasan & jenayah kemanusiaan ini,” jelas Hafez Sabri.

Dalam pada itu, dalam kejadian itu, enam lelaki bersenjatakan senapang automatik memasuki masjid Al-Furqan di daerah Cho-i-Rong, wilayah Narathiwat ketika waktu solat Isyak dan melepaskan tembakan ke arah jemaah menyebabkan 12 orang termasuk imam Wan Abdullah Wan Latif terbunuh dan 19 lagi cedera.

Setiausaha Agung OIC, Tan Sri Prof Ekmeleddin Ihsanoglu, menyifatkan serangan itu sebagai yang paling dahsyat dalam siri serangan ke atas masjid dan tempat beribadah di selatan Thailand.

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...