Saturday, June 6, 2009

Husam terima kekalahan tapi gembira ketengah "pandangan politik"

TERIMA KEKALAHAN..Calon Timbalan Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengucapkan tahniah dan memeluk penyandang jawatan nombor dua parti, Nasharudin Mat Isa yang memperoleh 480 undi sekaligus memenangi persaingan tiga penjuru merebut kerusi tersebut.

SHAH ALAM: Datuk Paduka Husam Musa menerima kekalahan dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PAS dengan hati terbuka tetapi menegaskan "gembira kerana telah membawa "pandangan politik" menerusi pemilihan kali ini.

Bekas Naib Presiden itu menyifatkan beliau telah berjaya menyampaikan mesej mengenai pandangan politiknya yang memprotes sebarang kerjasama politik antara parti itu dengan Umno-Barisan Nasional (BN).

"Saya terima kekalahan ini dengan hati yang terbuka sebab saya sudah tahu akan kalah.

"Saya juga berterima kasih kerana mesej saya diterima pada peringkat pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan juga Naib-naib Presiden... saya percaya mereka dapat melaksanakan pandangan politik saya kerana mereka amat konsisten dalam perjuangan untuk parti," kata beliau pada sidang media hari ini.

Nasharudin Mat Isa berjaya mengekalkan jawatan Timbalan Presiden PAS buat penggal ketiga berturut-turut dengan menerima 480 undi untuk merekodkan majoriti 200 undi dalam pertarungan tiga penjuru.

Husam hanya menerima 281 undi manakala Muhamad Sabu pula mendapat 261 undi.

Pemilihan diadakan semalam dan keputusan diumumkan pagi ini.

Malah Husam berkata, keyakian pandangan politiknya diterima oleh para perwakilan telah dizahirkan berdasarkan pecahan undi diterima beliau dan Mohamad yang turut dikenali sebagai Mat Sabu.

"Kalau dicampurkan jumlah undi saya dan Mat Sabu ialah kira-kira 56 peratus dari undi keseluruhan... itu juga adalah kejayaan saya," katanya.

Mengulas lanjut mengenai harapannya agar barisan kepimpinan yang baru melaksanakan agenda pandangan politiknya, Husam berkata, beliau mahu PAS tidak menggunakan jalan pintas untuk mencapai kejayaan sebaliknya kembali kepada perjuangan asal parti itu.

"PAS mesti untuk Islam dan juga mencari jalan membawa perubahan, tapi tak ada jalan pintas untuk berkerjasama dengan Umno," katanya.

Ditanya mengenai tahap keseriusan perancangan kerjasama antara PAS dan Umno, beliau berkata, "ini yang akan saya pantau kerana ia akan merosakkan masa depan PAS."

"Yang penting sekarang ialah saya tak setuju parti dikaitkan dengan Umno... tak mustahak saya berada dalam atau di luar," katanya.

Ditanya sama ada ketiga-tiga Naib Presiden yang baru dipilih itu mempunyai haluan yang sama dengannya, beliau berkata, kesemua mereka sekadar berkongsi pandangan yang sama dengannya.



1 comment:

Unknown said...

Takpa ler Husam oii, pada teman mike menang dlm kalah.. Teman nak gak Husam menang TP kali ni.. baru up sikit imej umarak & professional dlm PAS untuk masa depan yg lebih baik. Us. Nasha dah ternyata lembik. Tapi ramai perwakilan ngok ngek..apa nak buat Husam, cuba lagi ler...janji agresif & efektif baru orang kata PAS leh buat kerja.. bukan duk rancang nak kongsi kuasa dgn UMNO jer tau...nasib baik Salehudin & Mahfuz menang Naib Presiden, kalo tak mmg sah perwakilan PAS Semua ngok ngek..

Followers