Friday, June 5, 2009

Hadi: Sandarkan gagasan politik Islam PAS mahu pimpin perubahan



SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu bersedia menawar diri untuk memimpin perubahan dan memikul amanah kepimpinan negara selepas pilihan raya umum ke-13.

Sambil menekankan ucapan dasarnya bertemakan "Islam Memimpin Perubahan", Hadi berkata, PAS terus-menerus komited untuk mendefinisi dan mentakrif perubahan yang akan berlaku berdasarkan kerangka rujukan Islam bersifat universal.

"Berdasarkan kepada latar belakang politik yang kelam-kabut dan iklim dunia yang semakin parah suasana geopolitiknya pada waktu ini, maka marilah kita sama-sama mengorak langkah untuk terus mara dengan memimpin rakyat dan negara ke arah perubahan hakiki menerusi tema muktamar kali ini iaitu Islam Memimpin Perubahan.

"Kita memimpin untuk merubah masyarakat yang menyanjung tinggi materialistik dan semakin rosak ini kepada ma'aruf.

"Kita bukan sahaja mencegah kemungkaran, tetapi juga menyokong perubahan ke arah kesejahteraan rakyat dan kekuatan Islam," katanya pada Muktamar Tahunan PAS Ke-55 selama tiga hari yang bermula hari ini.

Hadi menambah, PAS ingin memimpin perubahan dengan membawa satu gagasan politik Islam yang akan menyatukan kaum di negara ini dengan keadilan sejagat.

Dalam pada itu, Hadi menggariskan enam strategi, antara lain mahu menampilkan satu imej dan citra sebagai parti Islam yang sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa jua cabaran semasa dan mendatang.

Hadi berkata, PAS perlu menampilkan satu pendekatan imej yang bersifat 'usuliy' dari segi prinsip-prinsip perjuangan, 'mu’asirah' dari segi kepimpinan dan organisasi-jentera, 'istiqbaliy' dari segi persiapan dan kesediaan untuk menggempur senario perjuangan masa depan.

Selain itu, Hadi yang menerajui PAS sejak 2002 berkata, beliau mahu semua peringkat ahli parti memperkukuhkan ukhuwwah, mahabbah dan persaudaraan dalam saf jemaah khususnya di peringkat kepimpinan serta aktivis parti sehingga ke seluruh akar umbi.

"Arahan ini juga termasuk memperkukuhkan Kelab Penyokong PAS sehingga kebersamaan mereka dalam perjuangan PAS dapat terus diperkasakan," katanya.

Malah, Ahli Parlimen Marang itu berkata, pihaknya ingin memimpin perubahan dalam negara ini dengan Islam.

"Semua petugas parti perlulah mencari formula dan ruang yang ada untuk menonjolkan kepimpinan Islam dalam segenap segi kehidupan dengan cara yang penuh hikmah dalam menangani harapan rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya serta terus kekal dengan iltizam disiplin yang tinggi supaya tidak goyah oleh perancangan jahat musuh," kata beliau.

Tiga strategi lain yang diketengahkan Hadi ialah:

- Melaksanakan mesej dakwah secara muwajahah silmiyyah, dengan bersedia berdialog, bermuzakarah dan berdebat dengan sesiapa sahaja demi merealisasikan tema Islam Memimpin Perubahan.

- Terus-menerus memperkasakan parti dan mempersiapkan kepimpinan PAS bagi menangani cabaran persaingan yang semakin sengit dari segi tuntutan intelektual dan mendepani permasalahan negara dalam konteks global. Para pimpinan ulama PAS juga perlu berani berijtihad bagi menangani polemik-polemik baru dalam urusan perundangan dan kancah politik yang serba mencabar ini.

- Mengeratkan persefahaman dan keserasian setiakawan dan kelancaran bekerja di semua peringkat dalam Pakatan Rakyat sehingga benar-benar dapat menyerlahkan kredibiliti dan perpaduan Pakatan Rakyat khususnya di semua negeri-negeri yang kita tadbir bagi bersiap sedia untuk menempah kejayaan yang lebih besar dalam pilihan rata umum ke-13.

2 comments:

山城大熊 said...

hai

Ajijoi said...

hello and welcome to my blog.
thanks for drop by.

Followers