Wednesday, May 9, 2012

Rahim Noor tiada autoriti cakap soal agama

KOTA BHARU, 8 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, berkata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, tidak ada autoriti langsung untuk membicarakan soal agama, apa lagi menghukum seseorang sebagai 'bapak kafir'.

Katanya, tuduhan tersebut lebih kepada melepaskan dendam semata-mata dan beliau tidak ada hak untuk menyatakan sedemikian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Rahim Nor sebagaimana dilaporkan akhbar NST hari ini yang menyifatkan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai 'bapak kafir' di JKR 10, petang tadi.

Husam yang juga anggota exco kerajaan negeri seterusnya berkata, dengan kenyataan penghinaan sedemikian di samping gambar skandal yang tidak bermoral, telah meletakkan politik negara terkeluar dari landasan moral dan agama.

"Berbeza dengan Pakatan Rakyat yang lebih mengutamakan kesopanan dan akhlak dalam perjuangannya disamping bertindak balas dengan cara yang boleh diterima masyarakat," ujarnya.

Sehubungan itu, rakyat pelbagai bangsa dan agama di Negara ini diseru menolak kerajaan yang ada sekarang kerana telah mengamalkan budaya politik kotor dan lucah sehingga sanggup memperalatkan media arus perdana.

Bukan itu sahaja, menurutnya lagi media hari ini juga saban waktu menyiarkan bahan berita berunsur fitnah, tuduhan tanpa fakta dan berbagai lagi tuduhan liar.

"Sudah sampai masanya amalan kotor seperti ini dihentikan dan amalan kotor seperti itu boleh ditamatkan. Segalanya perlu dinyatakan pada pilihanraya umum akan datang," ujarnya.

Sementara itu, Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan mengutuk kenyataan yang disifatkan melampau dan tidak beradab.

Ketua Penerangannya, Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata kenyataan itu juga telah membangkitkan kemarahan rakyat di Negara ini tanpa mengira bangsa dan agama.

"Beliau tidak layak melebelkan seseorang itu Islam atau sebaliknya apa lagi masyarakat Negara ini telah mengetahui sejarah dan latarbelakangnya sewaktu menjadi Ketua Polis Negara," ujarnya.

Pada masa yang sama PAS Kelantan turut menyokong penuh berhubung kenyataan Mursyidul Am itu menyeru rakyat di negara ini menyertai Bersih 3.0 walaupun ianya dilabelkan perhimpunan itu haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

- Harakahdaily

No comments:

Followers